Terkini | New

Ratu Rock Ella Tetap Memukau Dalam Konsert Mini Rentak Budaya 2026

Ratu Rock Ella Tetap Memukau Dalam Konsert Mini Rentak Budaya 2026


Hanya tiga lagu tetapi tetap tidak menghampakan hampir 2,000 peminat Ella untuk hadir menyaksikan persembahan Ratu Rock Malaysia itu pada mini konsert Rentak Budaya 2026 di Padang Merbok di sini, malam tadi.


“Layar Impian”, “Jauh Di Mata” dan “Sembilu” yang popular pada era 90-an menjadi dendangan penyanyi berusia 60 tahun itu sambil mengajak para penonton bernostalgia dan menyanyi bersamanya.

Dalam hampir setengah jam pemilik nama sebenar, Nor Zila Aminuddin ini menghiburkan mereka yang turut tidak melepaskan peluang merakamkan video persembahannya dengan telefon pintar masing-masing.

Sesuai dengan tema dan matlamat Rentak Budaya, Ella turut tampil manis dan anggun dengan mengenakan baju kebaya berlatar putih bercorak merah.

Rentak Budaya 2026 merupakan anjuran Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) berlangsung sejak kelmarin dan berakhir malam ini.

Ratu Rock itu juga sempat memberitahu konsertnya kepada para penonton, "Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026: Sidang Penutup" pada 5 Disember ini di Arena Unifi, Bukit Jalil.

Semalam juga menjadi giliran anak saudara Ella, Kaka Azraff menghiburkan para pengunjung Rentak Budaya 2026 dengan lagu-lagu seperti “Gila” dan “Bawa Aku Pergi”.

Rentak Budaya 2026 turut diwarnai gerai-gerai jualan pelbagai makanan tradisional dan moden yang cukup menyelerakan malah menjadi daya tarikan khususnya para pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Konsert mini malam tadi didahului dengan persembahan pembukaan Colour Of Malaysia: Dikir Bertingkah oleh Artis Budaya Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN) WPKL.

Ini diikuti persembahan joget “Si Pinang Muda” dan Ronggeng 2 Kitaran oleh Artis Budaya DBKL serta tarian zapin, tarian Cina – Wu Xian Jie Zou dan India – Kolattam serta Sarawak dan Sabah – Sigar Birami dan Magunatip selain “Visit Malaysia Year”.

Seorang lagi artis jemputan ialah Roger Kajol manakala Zieha dan Kzie sebagai pengacara bersama konsert mini ini.