Recent comments

Terbaru

10 Tempat menarik di TASIK KENYIR, TERENGGANU yang harus anda lawati

Pengalaman menjelajah bersama Ekspresi Media 2019 ke Terengganu baru-baru ini membuatkan ramai tertanya-tanya apakah uniknya negeri pantai timur ini. Memang tak cukup masa untuk mengelilingi Tasik Kenyir, Terengganu yang telah lama terasa untuk di terokai. Kali ini kami kongsikan kepada anda apa yang menarik untuk anda rasai sendiri keindahan, budaya, makanan, senibina dan tempat-tempat menarik.

kredit photo : discoveryterengganu

Tasik Kenyir menjadi pilihan Ekspresi Media2019 kali ini untuk merasai pengalaman menerokai keindahan panorama yang indah. 

Sejurus tibanya di Pengkalan Gawi, kami berpeluang menaiki houseboat besar yang boleh menempatkan sekitar 20-30 peserta dalam satu-satu masa. Kebanyakan houseboat mempunyai kemudahan bilik tidur, bilik mandi, ruang rehat, jaket keselamatan, 2 fiber boat, dapur, peralatan dapur dan tempat bbq. Jika dalam kumpulan kecil anda boleh menempah pakej boat harian dari travel operator di Pengkalan Gawi.



Tasik Kenyir Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia kedua terbesar di Asia Tenggara. Terletak di tengah-tengah Negeri Terengganu, lanya merangkumi kawasan seluas 209,199 hektar.


Tasik yang indah ini dikelilingi oleh hutan hujan tropika yang tertua di dunia. Dengan keluasannya yang besar sehingga ke bahagian barat Kelantan dan juga selatan Pahang. Tasik Kenyir adalah juga menjadi pintu masuk alternatif untuk ke Taman Negara. 

Setelah siap pembinaan Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud pada tahun 1985, tadahan air di kawasan pendalaman Terengganu meningkat. la telah mengubah kemuncak bukit dan tanah tinggi menjadi 340 buah pulau.



Keindahan alam semulajadi membuatkan Tasik Kenyir menjadi sebagai santuari dan juga tempat perlindungan untuk pelbagai jenis spesis ikan air tawar, hidupan liar, flora dan fauna yang bermakna bagi pencinta alam semulajadi.




Tasik Kenyir adalah ibarat syurga dunia bagi pencinta alam semulajadi. la merupakan tempat tumpuan yang terkenal di kalangan pemancing ikan air tawar, penggembara hutan, pendaki gunung, pemerhati burung, penyelidik dan juga penghuni kota yang rindukan kedamaian yang ingin lari dari kebisingan kota.



1. SANTUARI KELAH.
Mandi bersama ikan kelah di santuari Kelah.
Pengunjung berpeluang merasai pengalaman untuk menyentuh dan dikerumuni beribu-ribu ikan kelah dan mandi bersama-sama memang sesuatu kelainan yang menarik untuk anda cuba. Pengunjung akan diberikan penerangan, peraturan dan pengawasan oleh pihak KETENGAH ketika mandi bersama-sama ikan.


Pusat Santuari Kelah, Tasik Kenyir telah dibuka kepada pelawat bermula dari bulan Mac hingga Oktober dan ia terletak di Sungai Petang, kira-kira 45 minit dari Jeti Pengkalan Gawi.



Sesi penerangan oleh pihak KETENGAH dan nature guide.








 




Sungai ini mempunyai 91 aliran yang mengalir dari Gunung Padang, kawasan ini diwartakan bagi perlindungan, pemeliharaan dan pembiakkan ikan kelah. Aktiviti memancing adalah dilarang sama sekali di kawasan perlindungan ini bagi tujuan mengekalkan kawasan pembiakan semulajadi untuk ikan-ikan kelah.


2. MENEROKAI GUA BEWAH.
Menerokai Gua Bewah yang terbesar di Tasik Kenyir adalah satu pengalaman yang menarik bagi mereka yang belum mencuba.





Gua Bewah terletak di Bukit Bewah dan merupakan habitat bagi spesis haiwan dan serangga yang mendiami gua. Merupakan gua terbesar di Tasik Kenyir dengan pintu masuk melengkung 40 meter di atas paras air. Pada tahun 1970-an, ahli arkeologi menjumpai satu penemuan yang menarik di dalam gua iaitu rangka seorang manusia pra-sejarah dan artifak primitif yang digunakan semasa zaman batu seperti periuk, kapak dan alatan dapur. 




  



Selain itu, terdapat rangka seorang manusia pra-sejarah yang baru dijumpai di kawasan itu yang dianggarkan berusia 16,000 tahun. lanya digelar sebagai "Bewah Man" dan dipercayai rangka tertua pernah ditemui dalam negara.



Selain merungkai kesan-kesan peninggalan sejarah dari zaman Paleolitik dan Mesolitik dan misteri legenda Bewah, peneroka juga mendapat peluang untuk menyaksikan pelbagai saiz dan aneka rupa stalaktit dan stalagmite yang terbentuk secara semulajadi. 



Pengembaraan lebih menarik kerana pengunjung berkesempatan untuk melihat pelbagai jenis kelawar dan serangga yang tinggal di habitat semulajadi mereka.




3. MERENTAS HUTAN MENCARI POKOK MELUNAK.
Tasik Kenyir sesuai bagi tempat bagi pencinta alam semulajadi. Dengan keindahan gunung-ganang, gua-gua, air terjun tasik-tasik dan juga sungai-sungai yang mengalir tenang, pastinya banyak aktiviti hebat yang boleh dilakukan oleh para pengunjung di Tasik Kenyir. 



Kami sempat menerokai sendiri dan merentas hutan bagi menyaksikan sendiri pokok melunak yang besar sebanyak 24 sambungan ukuran depa tangan orang dewasa.


Untuk merentas hutan anda disarankan membawa guide terlatih dan berdaftar bagi menjaga keselamatan anda di dalam hutan. Pelbagai jejak binatang di temui semasa perjalanan kami menuju ke pokok gergasi itu. Sempat kami menemui tanda jejak gajah bergesel badannya di bucu batuan gua, sememangnya menarik dan teruja.





4. AIR TERJUN LASIR DAN SAOK.
Terdapat banyak air terjun di Tasik Kenyir yang terkenal di kalangan pengunjung yang gemarkan perkelahan yang santai sambil menikmati kecantikan alam semulajadi. Jika sudah menjejakkan kaki ke Tasik kenyir, pasti terasa rugi jika tidak mengambil peluang untuk berkelah di salah satu lokasi air terjun. 






Air Terjun Saok. 
Dari Jeti Pengkalan Gawi, ia mengambil masa sekitar 15 minit dengan menaiki bot untuk sampai ke Air Terjun Saok. Kaki air terjun yang rata dan berpasir membuatkan ianya menjadi lokasi yang strategik untuk perkelahan dan bermandi manda.










5. AKTIVITI LASAK.
Tasik Kenyir bukan sahaja destinasi yang sesuai untuk ekspedisi memancing, malahan ia juga merupakan lokasi yang sesuai untuk pelbagai sukan air. Antara aktiviti lasak yang sempat kami cuba adalah seperti flying fox water drop dan waterfall abseiling.






Tasik Kenyir yang juga dikenali sebagai litar sukan air, terdapat pelbagai aktiviti sukan air yang boleh disertai para pengunjung yang gemarkan sukan air seperti berkayak, jet ski dan berakit, 





Tasik Kenyir juga menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan lasak antarabangsa seperti Regatta, Triathlon, pertandingan memancing, cabaran kenderaan pacuan 4 roda, kejohanan mountain bike dan motorcross.



6. MEMANCING.
Tasik Kenyir merupakan destinasi kegemaran buat kaki pancing. Terdapat pelbagai jenis baka ikan yang boleh ditemui di sungai dan anak sungai di tasik ini, antaranya adalah kelisa, kelah, toman, baung, sebarau dan lampam. 






Pemancing-pemancing digalakkan untuk memancing ikan di empat-tempat yang telah dikhususkan seperti Pulau Cacing, Leban, petuang, dan Saok. Pengusaha bot persendirian perlu mendapatkan permit memancing daripada Jabatan Hidupan Liar.






Tasik ini mempunyai kawasan tadahan air seluas 38,000 hektar dengan lebih 300 spesis ikan air tawar. Terdapat pokok-pokok mati di bawah air yang berfungsi sebagai tempat pembiakan ikan, manakala dahan-dahan pokok pula berfungsi sebagai nutrisi utama untuk ikan-ikan di sini.


Selain memancing anda boleh juga bersantai sambil menenangkan fikiran mencari idea dan menulis. Hanya sesetengah tempat sahaja yang mempunyai rangkaian telefon. Pastikan anda merasai sendiri masakan ikan segar di Kenyir.









7. TAMAN HERBA.
Taman Herba Tasik Kenyir terletak di Pulau Sah Kecil, kira-kira 10 minit dari Jeti Pengkalan Gawi. Terdapat lebih daripada 200 jenis pokok herba tradisional di sini.





Antaranya ialah tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, mas cotek dan lain-lain. Ada antaranya rasa pahit tetapi berkhasiat untuk tubuh badan.



Pengunjung juga boleh melihat pelbagai jenis tumbuhan herba yang terkenal dengan fungsinya dalam tujuan perubatan tradisional. 




Selain itu juga, pengunjung boleh menikmati hidangan minum herba tongkat ali, kacip fatimah atau mahkota dewa yang terkenal dengan nutrisinya yang berkhasiat. Pengunjung juga boleh membeli herba seperti tongkat ali di sini yang pastinya asli.



8. TAMAN ORKID.
Taman Orkid merangkumi Pulau Hulu Selimbar, Pulau Hilir Selimbar dan Pulau Belit. la terletak kira-kira 20 minit dari Jeti Pengkalan Gawi. Di Taman Orkid, terdapat pelbagai spesis orkid liar termasuklah dari spesis orkid tempatan dan juga antarabangsa yang dikacuk dan begitu unik sekali. Orkid-orkid di sini mekar dengan cantiknya dan mampu membuat pengunjung terpukau melihat warnanya yang sangat mempersonakan.







Taman Orkid ditubuhkan sebagal hub bagi penanaman orkid, pemeliharaan dan penyelidikan. Taman ini mengekalkan ekosistem semulajadi untuk membolehkan keajaiban alam semulajadi untuk terus hidup dan membiak. 






















Kami sempat melihat sendiri tanaman strawbery yang masih dalam percubaan di tanam di kawasan ini. Terdapat ternakan ikan talapia bersebelahan taman orkid dan tempat penginapan yang masih dalam pembinaan.




9. SANTUARI GAJAH.
Santuari Gajah ini terletak di Sungai Telemong. Pengunjung boleh melihat dan berinteraksi dengan haiwan terbesar yang terdapat di sini. Pengunjung dialu-alukan datang ke Santuari Gajah untuk merasai sendiri pengalaman memberi makan kepada gajah. 







Santuari Gajah ini ditubuhkan oleh Unit Pengurusan Gajah di bawah bidang kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Kerajaan Negeri Terengganu. 








Santuari Gajah merupakan pusat translokasi gajah liar yang ditubuhkan untuk memastikan kestabilan populasi gajah dan mengurangkan konflik antara gajah dan manusia.

















Telatah pengunjung yang juga turut terhibur dengan persembahan gajah serta penjaganya. Pengunjung juga boleh membeli tebu yang di jual kepada gajah-gajah.



 10. MEMBELI BELAH 
DI KEDAI BEBAS CUKAI
Kedai bebas cukai juga menjadi daya penarik bagi mereka yang ingin membeli belah. Pelbagai barangan dapur, pinggan mangkuk dan barangan peribadi turut di jual.







Pengunjung juga boleh singgah bagi merasai sendiri masakan dan ikan segar di Tasik Kenyir. Antara yang menarik adalah ikan patin dan ikan baung masak tempoyak. Terdapat beberapa kedai yang menjual makanan istimewa ini.







Rancang semua perjalanan anda ke Terengganu dan pastikan anda bergambar-gambar di setiap lokasi menarik nanti. Ucapan terima kasih tak terhingga Tourism Malaysia, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, KETENGAH, PERHILITAN Terengganu dan mereka- mereka yang terlibat menjayakan Ekspresi Media 2019.




Selamat membaca jangan lupa SHARE post ini dengan semua kenalan. Terima kasih pada semua.


dboyfotopages@gmail.com
INSTAGRAM
Jemput Follow Instagram @dboy_studio

No comments

Travel Blogger, Event, and Malaysia Food networking
Please send me a message at dboyfotopages@gmail.com.
Thank you for comment :)