Terkini | New

KOLABORASI PRASARANA BERSAMA BLINK: PENGGUNAAN TRANSAKSI TANPA TUNAI UNTUK KEMUDAHAN PENGGUNA

KOLABORASI PRASARANA BERSAMA BLINK: PENGGUNAAN TRANSAKSI TANPA TUNAI UNTUK KEMUDAHAN PENGGUNA

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pada hari ini telah memeterai satu usahasama dengan BonusKad Loyalty Sdn Bhd (BonusLink) di mana para pengguna boleh membeli pas perjalanan tanpa had My50 secara atas talian dan membuat transaksi tanpa tunai menerusi aplikasi BonusLink yang dikenali sebagai BLINK.
  

Kolaborasi ini telah dilancarkan oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Encik Mohd Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Eksekutif BonusLink, Encik Melvin Ooi, di dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Rafizah Amran, Timbalan Ketua Divisyen Komunikasi & Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana.

Kerjasama ini merupakan antara inisiatif terbaharu Prasarana bagi meningkatkan kemudahan kepada para pengguna dengan menyediakan alternatif bagi pembelian pas perjalanan tanpa had My50 yang sebelum ini hanya boleh dibeli secara tunai di stesen LRT, MRT, BRT atau hab-hab bas terpilih.

Berucap di majlis berkenaan, Azharuddin berkata kolaborasi bersama BonusLink merupakan titik permulaan bagi Prasarana bergerak segara agresif untuk meningkatkan kemudahan dan pengalaman pengguna atau customer experience sejajar dengan hasratnya untuk menarik semula minat orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam.


Setakat ini, Rapid KL mencatatkan jumlah penumpang harian (hari bekerja) seramai 500,000 orang.

“Aplikasi BLINK yang boleh dimuat turun dari Apple App store dan Google Playstore ini boleh dimanfaatkan oleh para pengguna untuk membeli terus pas perjalanan My50 melalui transaksi atas talian dan tanpa tunai. Jika sebelumnya pengguna perlu membuat pembelian secara tunai di Kaunter Perkhidmatan Pelanggan #RapidKL, sekarang hanya di hujung jari menerusi aplikasi BLINK,” ujar Azharuddin.


Kolaborasi ini akan bermula 15 Mei 2022 secara rintis dan Bukti Konsep (proof of concept) selama tiga (3) bulan, dan BLINK akan digunakan sebagai landasan utama bagi pembelian dan penebusan mata atau loyalty points sebagai ahli BonusLink. Dimiliki bersama oleh syarikat-syarikat gergasi Shell, AmBank dan Parkson, BonusLink mempunyai 14 juta jumlah keahlian dan lebih 750,000 pengguna berdaftar di bawah aplikasi BLINK. Dengan pas perjalanan My50, para pengguna boleh menaiki semua aset-aset Rapid KL seperti seperti LRT, MRT, Monorel, BRT, bas Rapid KL dan perkhidmatan bas perantara MRT di Lembah Klang selama 30 hari tanpa had.


Di majlis yang sama, Ooi turut berkongsi setiap pembelian pas perjalanan My50 oleh ahli BonusLink di dalam tempoh promosi akan menikmati pulangan Mata Ganjaran (atau BonusLink Points Rebate) sehingga 40% sekiranya pembayaran dibuat menggunakan Kad AmBank BonusLink Visa atau mana-mana Kad Visa.  



“Jika anda belum lagi menjadi pengguna aplikasi #BLINK, sekarang adalah masa terbaik untuk memuat turun aplikasi ini di peranti anda. Ini juga peluang bagi kami di #BonusLink untuk memberi sedikit kemeriahan atau ganjaran kepada rakyat Malaysia yang menggunakan pengangkutan awam setiap hari.”


“Kami telah melalui suatu cabaran yang begitu sukar kebelakangan ini disebabkan oleh pandemik COVID-19. Namun, cabaran ini telah memberi peluang untuk kemajuan sektor utama ekonomi negara, dan kami di BonusLink percaya bahawa kerjasama dengan Prasarana ini adalah permulaan yang baik untuk ahli-ahli BonusLink dan pengguna rangkaian pengangkutan awam Prasarana dalam menyediakan kemudahan tambahan untuk perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia,” ujar Ooi.


“Dengan kerjasama dan promosi yang akan datang, kami berharap ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” tambah Ooi.  

Melalui video pengenalan Prasarana X BLINK, pengguna yang telah membeli atau menebus pas perjalanan My50 melalui BLINK dan berjaya menghantar butiran lengkap akan menerima Surat Baucar Elektronik atau E - Voucher yang mengandungi butiran kod baucar alphanumerik. Pengguna seterusnya boleh membuat penebusan dengan mengemukakan baucar yang dicetak (dengan kod baucar alphanumerik) dan MyKad ke sepuluh (10) stesen terpilih bagi penebusan pas perjalanan #My50. 

Senarai Stesen Terpilih 

Laluan Ampang
1. Masjid Jamek
2. Plaza Rakyat

Laluan Kelana Jaya
3. KLCC
4. Pasar Seni
5. KL Sentral

Laluan Monorel
6. Imbi
7. Hang Tuah

Laluan MRT Kajang
8. Bukit Bintang
9. Maluri

Hab Bas
10. Pasar Seni

“Jika mendapat sambutan yang menggalakkan, fasa kedua akan terus dilaksanakan di kesemua stesen Rel dan Bas kendalian Rapid KL. Ia juga akan dipertingkatkan dengan mengembangkan saluran jualan atas talian dan tanpa tunai melalui aplikasi PULSE oleh Prasarana,” tambah Azharuddin.  


Untuk keterangan lanjut mengenai kolaborasi ini, para pengguna boleh melayari website rasmi Rapid KL di www.myrapid.com.my dan website rasmi BonusLink di www.bonuslink.com.my.