Wacana Halatuju Sistem Pendidikan Dalam Talian di Malaysia bersama Tun Dr Mahathir
Julai 26, 2022Wacana Halatuju Sistem Pendidikan Dalam Talian di Malaysia bersama Tun Dr Mahathir
Perubahan teknologi yang berlaku secara pesat memberi kesan kepada kehidupan manusia. Tidak terkecuali antara bidang yang turut mendapat manfaat melalui kemajuan ini adalah sistem pendidikan dunia. Sebagai sebuah negara yang mempunyai akses terhadap segala inovasi yang diperkenalkan, ternyata Malaysia juga tidak terkecuali bersaing dalam menghasilkan lebih ramai pelajar yang dilengkapi dengan ilmu terbaik.

Namun sejauh mana, penggunaan teknologi ini digunakan sepenuhnya oleh pelajar dan tenaga pengajar di negara ini. Justeru, Pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI mengadakan wacana berjudul Halatuju Sistem Pendidikan Dalam Talian di Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad bersempena meraikan kecemerlangan 335 pelajar pada Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2021, baru-baru ini.

Bersetuju dengan kenyataan teknologi sebagai keperluan dalam sistem pendidikan kini, namun menurut negarawan ini juga tidak semua boleh diaplikasikan secara mendadak kepada pelajar memandangkan perlu ada saringan dalam membentuk karakter yang sesuai.

“Kita tahu, teknologi bergerak laju dan hampir setiap hari ada penemuan baharu. Menjadi keperluan melengkapkan pelajar dengan kemahiran ini namun kita juga perlu pastikan pengetahuan yang diberikan perlu sesuai dengan karakter.
Melihat kemajuan yang diraih negara luar melalui sistem pendidikan yang menggunakan teknologi terkini. Malaysia juga tidak ketinggalan berada pada landasan yang sama, namun dalam mengoptimumkan kelebihan yang ada, bekas Perdana Menteri itu yakin perlu ada pembahagian kerja antara tenaga pengajar yang lebih efisien.

“Kita perlu akur bukan semua guru terbaik dalam negara dan kesannya ke atas pelajar jika guru-guru ini tidak dilengkapi dengan ilmu. Apa yang boleh kita buat adalah melalui bantuan teknologi yang akan membantu guru-guru terbaik ini menyampaikan bahan pengajaran secara meluas sekali gus membolehkan pelajar-pelajar ini mendapat peluang belajar dengan guru yang sama.
Berkongsi mengenai ketegasanya dalam memastikan setiap anak-anak di negara ini mendapatkan pendidikan ketika di era pemerintahannya nyata membawa kepada perubahan Malaysia kini.

Tambahnya antara yang menjadi fokus utamanya juga bagaimana pendidikan juga tidak boleh disalurkan melalui cara yang sama memandangkan tahap penerimaan murid berbeza mengikut kemampuan.
Menjadi amalan yang baik juga, jelasnya setiap pelajar ini harus mengulangkaji setiap pelajaran itu secara berulang kali dalam memastikan ilmu itu dapat difahami dengan lebih baik.

Pada majlis sama, Tun Dr Mahathir turut melancarkan inisiatif Malaysia Bangkit Belajar yang memfokuskan kepada pelajar tingkatan tiga hingga lima untuk mendapatkan pembelajaran secara percuma melalui pembelajaran dalam talian yang dikendalikan oleh PTTI.
0 comments