Terkini | New

Kerjasama 3 Penjuru UNITAR-UPNM-PRIHATIN untuk membangun, menyokong dan memperkaya pembangunan penyelidikan dan pendidikan tinggi untuk memacu pertumbuhan negara

Kerjasama 3 Penjuru UNITAR-UPNM-PRIHATIN untuk membangun, menyokong dan memperkaya pembangunan penyelidikan dan pendidikan tinggi untuk memacu pertumbuhan negara.

* Bekerjasama dalam siri Jelajah Pendidikan Prihatin bagi membantu kategori pelajar B40 yang memenuhi syarat kemasukan ke UNITAR dan UPNM.
* Berkolaborasi dalam penganjuran program pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan bagi meningkatkan sahsiah dan kemahiran insaniah pelajar UNITAR.
* Menjalankan kolaborasi latihan pemindahan teknologi bagi pengajaran dan pembelajaran dalam talian.
* Melaksanakan program-program akademik dan lain-lain program yang memberi faedah kepada kedua-dua institusi pengajian tinggi UNITAR-UPNM, misalnya Micro-Credentials.


Universiti Antarabangsa UNITAR (“UNITAR”), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (“UPNM”) dan Yayasan Prihatin Nasional (“PRIHATIN”) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman tiga penjuru bertujuan untuk membangun, menyokong dan memperkayakan pembangunan penyelidikan dan pendidikan tinggi bagi pemacuan pertumbuhan negara.



Sempena majlis tersebut yang telah di adakan di kampus induk UNITAR di Kelana Jaya, dan sebagai sebahagian daripada aktiviti Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (“JPKM”), turut diadakan acara penyerahan sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (“MAIWP”) kepada anak-anak Wilayah Persekutuan yang termasuk komputer riba, wang tunai dan keperluan kelengkapan diri.

YB Datuk Seri Jalaluddin bin Alias, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan turut menghadiri dan menyempurnakan program majlis dengan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut.


Menurut Naib Canselor UNITAR, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Bin Abu Bakar, UNITAR, yang meraikan sambutan jubli peraknya yang ke-25 tahun ini, adalah universiti maya pertama di Asia Tenggara yang mampu mewujudkan inisiatif dan aktiviti berasaskan teknologi, seperti pembelajaran dalam talian yang telah menjadi nadi dan kepakaran UNITAR yang telah diiktiraf ramai dalam industri pendidikan.


Tambah beliau, UNITAR kini mempunyai Sekolah Pengajian Siswazah, yang menempatkan segala program akademik dan inisiatif berkaitan pasca siswazah dengan lebih daripada 50 profesor adjung, yang terdiri daripada para pemimpin industri berkepakaran, berpengalaman dan berkaliber. Beliau yakin bahawa pengetahuan mereka yang mendalam berserta pengalaman yang luas di dalam industri akan memberikan nilai tambah kepada segala bentuk kerjasama antara UNITAR, UPNM dan PRIHATIN.




Berikutan perbincangan antara UNITAR dan UPNM, kedua-dua universiti melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman antara kedua-dua pihak hari ini, berhasrat untuk mewujudkan kerjasama dan meneroka peluang untuk membangun, menyokong dan memperkaya pembangunan penyelidikan dan pendidikan tinggi dalam bidang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua institusi seperti:

i. Menjalankan kolaborasi latihan pemindahan teknologi bagi pengajaran dan pembelajaran dalam talian;
ii. Melaksanakan sangkutan staf (staff attachment) kepada staf akademik dan bukan akademik;
iii. Membangunkan kolaborasi penyelidikan dalam bidang-bidang tujahan yang berkaitan; dan
iv. Melaksanakan program-program akademik dan lain-lain program yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak, misalnya Micro-Credentials.



Menurut Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya bin Abdullah, pihak UPNM beraspirasi dan sentiasa percaya bahawa setiap ahli masyarakat, khususnya anak-anak muda yang berasal dari keluarga berkeperluan, mesti diberikan sokongan yang sewajarnya dan peluang untuk mendapat akses pendidikan terbaik. Dalam merealisasikan hasrat ini, UPNM berasa bahawa UNITAR dan PRIHATIN dalah rakan-rakan strategik yang sesuai untuk sama-sama berkongsi wadah sepunya untuk membina upaya mahasiswa sebagai bakal pemimpin masa hadapan.


Beliau menambah bahawa sebagai antara Universiti Swasta terawal ditubuhkan di Malaysia, UNITAR amat terkenal dan disegani dengan prestij serta kehebatannya dalam penawaran pelbagai program pengajian, manakala ekosistem PdP dalam talian bertaraf global yang menerima penarafan QS 5-Bintang adalah pencapaian yang menjadi bukti kerja keras warganya. 

Sesungguhnya, beliau berasa bahawa peningkatan kapasiti UNITAR yang begitu luar biasa, menjadi inspirasi dan contoh terbaik dalam amalan tadbir urus kepada universiti lain termasuk UPNM. Justeru, beliau percaya kerjasama UPNM dengan UNITAR akan membuahkan hasil yang baik untuk memacu perkembangan positif dalam penyelidikan dan pendidikan tinggi.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin bin Mohd Ghazali, matlamat mereka sebagai rakan strategik adalah bagi mengangkat martabat serta menjayakan program-program berteraskan Pendidikan untuk membantu anak-anak Keluarga Malaysia mendapatkan ilmu pengetahuan dan mendapat peluang meneruskan pengajian ke peringkat Menara Gading.




Tambah beliau, MAIWP turut menjadi rakan strategik PRIHATIN sejak penubuhan yang telah banyak menyumbangkan dana bagi memastikan program-program PRIHATIN terlaksana, seperti penyerahan komputer riba bagi Bantuan Pendidikan JPKM hasil sumbangan dana daripada MAIWP kepada anak-anak Wilayah Persekutuan yang layak pada majlis hari ini.




Beliau berharap agar PRIHATIN dapat memeteraikan perjanjian dan bekerjasama dengan lebih banyak Institusi Pengajian Awam mahupun Swasta serta agensi kerajaan bagi membantu dan meringankan beban lebih ramai anak-anak Keluarga Malaysia, masyarakat dan rakyat Malaysia yang terkesan dan tidak bernasib baik di samping kita juga dapat menyahut seruan kerajaan yang menekankan prinsip ‘Keluarga Malaysia’.





Beliau turut merasakan bahawa melalui kerjasama Prihatin bersama UNITAR dan UNPM, pelbagai aktiviti dan program dapat dirancang dan dilaksanakan bersama dalam pembangunan pelajar yang berdaya saing ke arah melahirkan modal insan dalam kalangan graduan untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.



MENGENAI JELAJAH PENDIDIKAN KELUARGA MALAYSIA 2022

Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia 2022 telah mengenal pasti sasaran 2,000 pelajar lepasan SPM dan STPM untuk ke Menara Gading seterusnya memberi bantuan berbentuk bantuan dana kewangan , komputer riba dan keperluan kelengkapan diri kepada anak - anak Wilayah Persekutuan yang layak .

Rakan - rakan strategik PRIHATIN terdiri daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta , Institusi Kemahiran Tinggi dan TVET yang telah bersama - sama berjuang menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air bagi mencapai objektif Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia 2022 bagi mencari , mengenal dan membantu pelajar lepasan SPM / STPM tahun 2017-2021 yang tercicir dalam mendapat Pendidikan di peringkat tinggi .