Terkini | New

Majlis Sumbangan Susu Dan Diapers Kepada Pesakit Kanser Kanak-kanak

Majlis Sumbangan Susu Dan Diapers Kepada Pesakit Kanser Kanak-kanak

Majlis Sumbangan Susu Dan Diapers Kepada Pesakit Kanser Kanak-kanak Tajaan Adina Charity Circle Kerjasama Bersama Kumpulan Ibu Bapa Dan Sokongan Anak-anak Kanser (Kids).


Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS) dengan kerjasama Adina Charity Circle akan mengadakan program agihan susu dan diapers kepada ibu/bapa pesakit kanser kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan kemoterapi di Wad 10B, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur. Program dilaksanakan pada 7 Oktober 2023 bertempat di Restoran HOMST, Kg Bharu Kuala Lumpur.



Program sumbangan atau bantuan susu dan diapers ini adalah salah satu aktiviti kebajikan persatuan KIDS. Ia telah bermula sejak tahun 2018 lagi di mana ia juga merupakan tanda prihatin persatuan kepada ibu bapa yang mengalami kesukaran dalam pembelian barangan keperluan ini.

Sebagai makluman, semasa di dalam rawatan kemoterapi, keperluan susu dan diapers kanak-kanak ini meningkat akibat dari kesan rawatan. Gejala kekurangan zat akibat kurang selera makan dapat dikurangkan dengan pengambilan susu formula khas seperti Pediasure dan Nutren Junior.



Bantuan yang dilaksanakan ini dapat membantu meringankan beban ibu bapa yang sememangnya menghadapi pelbagai kemelut kewangan semasa anak di dalam rawatan kemoterapi.

Program agihan sumbangan pada kali ini melibatkan seramai 40 orang pemohon di luar wad dan 30 orang yang berada di dalam wad di mana kami telah mengagihkannya pada sesi pagi. Untuk makluman, majlis agihan seumpama hari ini adalah kali pertama dilaksanakan.



Pada kebiasaannnya agihan akan dilakukan secara edaran di homestay KIDS yang terletak di Plaza Rah, Kg Bharu, Kuala Lumpur. Agihan sumbangan dilakukan sebanyak dua (2) kali dalam sebulan dengan anggaran kos sebanyak RM5,000.00.

Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS) merupakan sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan yang berdaftar, (PPM-056-14-19012016). Kami menjalankan aktiviti kebajikan untuk ibu bapa dan anak-anak pesakit kanser di Wad Kanser Kanak-kanak (Wad 10B),

Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur. Aktiviti kebajikan ini termasuk aktiviti-aktiviti untuk anak-anak kanser dan program-program amal bagi membantu dari segi kewangan dan sokongan emosi serta harapan kepada ibu bapa anak-anak kanser.

Segala kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan diucapkan ribuan terima kasih. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Puan Hamidah (Pengerusi) di talian 019-328 2846 atau Puan Nor Shida (AJK Kebajikan) di talian 011-1180 3026.