Terkini | New

U Mobile Manfaatkan Rangkaian Gentian TM Di Seluruh Negara Untuk Mempercepatkan Pelaksanaan Rangkaian 5G Generasi Baharunya

U Mobile Manfaatkan Rangkaian Gentian TM Di Seluruh Negara Untuk Mempercepatkan Pelaksanaan Rangkaian 5G Generasi Baharunya

*U Mobile telah melantik TM untuk menyediakan sambungan backhaul gentian pajakan bagi pelaksanaan rangkaian 5G Generasi Baharu di seluruh negara.

*Pelantikan ini membolehkan U Mobile mempercepatkan pelaksanaan dengan memanfaatkan rangkaian gentian TM yang meluas serta Perkhidmatan Backhaul 5G Mudah Alih yang menyeluruh.




U Mobile, penyedia rangkaian 5G Generasi Baharu Malaysia, telah mengumumkan pelantikan TM, pemboleh digital Malaysia, sebagai rakan backhaul gentian utama bagi mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5Gnya di seluruh negara.

Perjanjian kerjasama bernilai RM2.4 bilion untuk tempoh 10 tahun telah dimeterai hari ini dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Sofitel Kuala Lumpur Damansara dan disaksikan oleh YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi.

Dengan kerjasama ini, TM akan menyediakan perkhidmatan infrastruktur backhaul yang menyeluruh kepada U Mobile, termasuk akses talian gentian pajakan ke Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G U Mobile, pajakan pusat data dan TM Edge Facility untuk Titik Hubungan (POI), serta talian pajakan trunk bagi memastikan keterhubungan antara wilayah.

Dengan jaringan gentian TM yang meliputi lebih 740,000 km di seluruh negara dan merupakan liputan backhaul gentian paling meluas di Malaysia, U Mobile dalam kedudukan untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G Generasi Baharunya di seluruh negara. Perkongsian strategik ini membolehkan U Mobile memanfaatkan Perkhidmatan Backhaul 5G Mudah Alih TM yang menyeluruh bagi memastikan prestasi rangkaian yang tinggi dan sambungan yang stabil untuk perusahaan dan pengguna.

“U Mobile berbesar hati melantik TM sebagai rakan strategik gentian backhaul kami. Memandangkan TM memiliki liputan yang meluas di Malaysia, pelantikan ini membolehkan U Mobile mempercepatkan lagi peluasan rangkaian 5G kami. Bersama TM dan rakan-rakan strategik lain, kami komited untuk mencapai 80% liputan kawasan berpenduduk dalam tempoh 12 bulan, sambil memastikan pengalaman 5G unggul, dengan keupayaan menampung kapasiti tinggi dan kelajuan amat pantas demi manfaat perusahaan dan pengguna di seluruh Malaysia,” kata Wong Heang Tuck, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile.

“TM berbangga menyokong keperluan rangkaian 5G U Mobile dengan menawarkan backhaul gentian berkapasiti tinggi, tulang belakang penting kepada ekosistem 5G yang berdaya tahan dan berprestasi tinggi. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam membina infrastruktur inklusif dan bersedia untuk masa depan, yang turut menyemarakkan inovasi, mempertingkatkan keterhubungan, dan memacu kemajuan digital di seluruh negara. Ini adalah sejajar dengan peranan TM sebagai pemboleh Digital Malaysia – tonggak kepada aspirasi kami untuk menjadi ‘Digital Powerhouse’ menjelang 2030,” kata Amar Huzaimi Md Deris, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM.

Melalui kerjasama ini, U Mobile dan TM mengukuhkan komitmen mereka untuk mempercepatkan sambungan 5G Malaysia, memupuk inovasi digital, dan memperkasakan perusahaan dan komuniti di seluruh negara.

###

Mengenai U Mobile

U Mobile ialah nama yang dipercayai dalam industri telekomunikasi, dikenali kerana pemikiran yang inovatif dan keupayaan rangkaiannya. Sebagai penyedia rangkaian 5G Malaysia, U Mobile juga berusaha untuk menawarkan penyelesaian konvergen yang tiada tandingan serta pengalaman pelanggan yang luar biasa melalui rangkaian 5G generasi baharu bertaraf perusahaan, sekali gus memacu penerimagunaan dan merangsang transformasi digital. Visi U Mobile adalah untuk menjadi rakan perkhidmatan digital pilihan utama Malaysia dengan menyampaikan penyelesaian inovatif yang sentiasa merealisasikan segala kemungkinan.

Mengenai Telekom Malaysia

TM ialah syarikat telekomunikasi dan teknologi bersepadu yang terkemuka di Malaysia, menawarkan infrastruktur rangkaian dan rangkaian perkhidmatan komunikasi yang komprehensif. Perkhidmatan ini merangkumi penyelesaian dalam pendigitalan perusahaan, tetap (telefoni dan jalur lebar), mobiliti, kandungan, WiFi, ICT, perkhidmatan awan dan penyelesaian pintar. Dengan fokus strategik untuk menjadi sebagai kuasa besar digital menjelang 2030, TM komited kepada pertumbuhan yang dipacu oleh penciptaan nilai pihak berkepentingan. Kumpulan mengutamakan penyampaian pengalaman pelanggan yang dipertingkat melalui penambahbaikan berterusan dalam kualiti perkhidmatan pelanggan dan inovasi, di samping memastikan peningkatan kecekapan operasi dan produktiviti. Komited untuk menambah baik kehidupan dan menyediakan capaian teknologi secara lestari kepada seluruh rakyat Malaysia, TM telah menetapkan sasaran kelestarian yang tinggi untuk menjejak prestasi jangka pendek dan jangka panjangnya. Menerusi ekosistem tadbir urus korporatnya yang kukuh, TM mematuhi piawaian etika, integriti dan ketelusan tertinggi. Untuk maklumat lanjut, layari www.tm.com.my.