Terkini | New

Plong! Mengangkat New Wave Rock Tersendiri Dengan Single Baru - Gadis Shampoo

Plong! Mengangkat New Wave Rock Tersendiri Dengan Single Baru - Gadis Shampoo


Kumpulan new wave rock tempatan, Plong!, kembali dengan single terbaharu mereka berjudul Gadis Shampoo, sebuah lagu yang ringan, bertenaga, dan dipacu groove—mengangkat momen-momen tarikan kecil seharian yang sering kita alami tanpa sedar. Dengan ritma yang rancak, bassline yang melekat, dan karakter yang sengaja sedikit ‘lari’ daripada kebiasaan, lagu ini mencerminkan pendekatan Plong! dalam berkarya: spontan, jujur, dan penuh rasa hidup. Selaku single kedua mereka sejak menjadi sebuah kumpulan di bawah naungan Luncai Emas, Gadis Shampoo menandakan kesinambungan perjuangan Plong! dalam mengangkat bunyi mereka dalam landskap musik alternatif Malaysia yang masih berkembang.

Plong! pada awalnya ditubuhkan oleh Yayat Nasir (gitar) dan Akmal Borhan (bass), dua rakan yang bertemu ketika mereka masih menuntut di Malaysian Institute of Art. Sekarang kumpulan ini turut dianggotai oleh Fahmi Samsudin (vokal) dan Yasin Nasir (keyboard). Bunyi Plong! lahir daripada gabungan art rock yang eksperimental, pergerakan disco yang dinamik, tenaga punk yang ringkas, serta ritma reggae yang tersendiridisatukan dengan disiplin struktur new wave dan kepekaan budaya tempatan.

Nama Plong! asalnya tercetus secara santai, diinspirasikan oleh bunyi “PLONG!” apabila dua kepingan logam berlaga. Maknanya kemudian berkembang apabila mereka menemui lagu berjudul Plong! oleh artis Indonesia, Didi Kempot, yang membawa maksud tenang atau damai—nyaman. Gabungan makna ini mencerminkan identiti Plong!: muzik yang boleh kedengaran bising dan ganjil, namun pada masa yang sama terasa dekat dan menenangkan.

Gadis Shampoo tercipta secara semula jadi semasa sesi latihan. Bermula dengan idea ringkas daripada keyboard, lagu ini berkembang apabila bass, gitar, dan melodi vokal disusun melalui jamming yang santai dan penuh gelak ketawa. Tanpa tekanan atau perancangan berlebihan, lagu ini akhirnya membentuk identitinya sendiri—dipacu gitar yang rangup, groove yang mudah dihayati, serta tenaga reggae–punk–disco yang terasa organik.

Dari sudut lirik, Gadis Shampoo berkisar tentang perasaan tertarik kepada seseorang yang tidak cuba untuk menonjol, tetapi tetap meninggalkan kesan. Tajuk lagu ini menjadi metafora kepada pesona yang berbekas—ringkas, biasa, namun sukar dilupakan. Ia adalah tentang bau, memori, dan detik-detik singkat yang kekal dalam ingatan lebih lama daripada yang dijangka.

Dipilih sebagai single kerana sifatnya yang mudah didekati dan menyeronokkan, Gadis Shampoo menampilkan sisi Plong! yang lebih playful tanpa mengorbankan prinsip mereka yang enggan mengikut arus. Dengan pengaruh daripada nama-nama seperti Talking Heads, Blondie, Steely Dan, Kembara, Sudirman, dan P. Ramlee, Plong! terus bereksperimen dengan bunyi yang tidak dijangka, sambil mengekalkan kejujuran estetika mentah mereka.

Plong! tidak mengejar kesempurnaan bunyi sebaliknya mahu setiap persembahan terasa hidup dan bertenaga. Melalui “Gadis Shampoo”, Plong! mengajak pendengar untuk tersenyum, mengimbau kenangan, atau sekadar menikmati alunannya. Segar, ringan, dan mudah diulang dengar, single ini menjadi satu lagi langkah penting dalam perjalanan muzik mereka.

Selain dilancarkan di semua platform penstriman digital, video muzik “Gadis Shampoo” juga boleh ditonton di YouTube. Diterbitkan oleh Krew Filem Sek Kito, sebuah kolektif yang dikenali dengan pendekatan videografi D-I-Y yang mentah dan bersahaja, video ini menjanjikan pengalaman visual yang penuh nostalgia, eksentrik, dan menyeronokkan.