Perasmian Temasya Aneka 2026 Bakal Memeriahkan Aneka Walk
Perasmian Temasya Aneka 2026 Bakal Memeriahkan Aneka Walk
KRU Entertainment hari ini memperkenalkan 18 acara yang bakal berlangsung di Aneka Walk sehingga penghujung 2026 menerusi Temasya Aneka, sebuah acara prebiu khas yang menghimpunkan barisan acara, tarikan dan penyewa utama di destinasi tersebut.

Penganjuran Temasya Aneka menandakan langkah baharu dalam usaha membangunkan Aneka Walk di SA Sentral sebagai Destinasi Gaya Hidup & Hab Kebudayaan, dengan pengisian merangkumi muzik, seni, budaya, gastronomi, hiburan serta aktiviti keluarga dan komuniti.




Menurut Dato’ Norman Abdul Halim, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, pengisian secara konsisten merupakan antara strategi utama untuk memastikan Aneka Walk sentiasa menawarkan pengalaman baharu kepada pengunjung.


“Hari ini kami bukan sekadar memperkenalkan Aneka Walk, tetapi apa yang bakal berlaku di sini dalam beberapa bulan akan datang. Sebanyak 18 acara telah dirancang sehingga penghujung 2026, dengan setiap acara menawarkan pengalaman dan sasaran pengunjung yang berbeza. Kami mahu sentiasa ada sebab untuk pengunjung datang dan kembali ke Aneka Walk,” katanya.


Menjadi antara tarikan utama ialah “Kayangan”, sebuah pengalaman eksklusif yang menggabungkan persembahan budaya dengan sajian tradisional Melayu yang dikurasi oleh Dato’ Chef Zam. Persembahan sulung Kayangan, “Hikayat Nusantara”, membawa pengunjung menyusuri perjalanan sejarah dan budaya Nusantara menerusi gabungan penceritaan, persembahan langsung, muzik, tarian, visual dan pengalaman gastronomi.



Kayangan bakal menjadi persembahan mingguan utama Aneka Walk dengan tiga sesi setiap minggu pada malam Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai 4 September 2026, sekali gus menjadi produk pelancongan budaya yang menyasarkan masyarakat tempatan serta pelancong domestik dan antarabangsa.


Temasya Aneka turut memperkenalkan barisan penyewa terawal yang bakal memperkukuhkan penawaran gastronomi di destinasi ini, termasuk Kek Lapis Warisan, yang mengetengahkan kek lapis sebagai produk warisan tempatan, serta KRU Café, yang akan membuka outlet pertamanya di Aneka Walk.


Promosi bagi 18 acara sehingga penghujung 2026 turut mendapat kerjasama Astro Audio, selain menyediakan pakej pengiklanan kepada penyewa dan pempamer menerusi rangkaian radio serta platform media sosialnya.



Menerusi sidang media di penghujung majlis, pihak penganjur berharap program sebegini mampu menghidupkan suasana kebudayaan dan mendapat sambutan positif. Beliau turut menambah bahawa kawasan tempat letak kereta adalah mencukupi serta berdekatan dengan stesen LRT.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.anekawalk.com atau ikuti platform media sosial Aneka Walk.