Terkini | New

LSH Capital Rai Perayaan Kuih Bulan Dengan Tarian Singa Cipta Rekod Malaysia Book Of Records Di Kuala Lumpur Tower

LSH Capital Rai Perayaan Kuih Bulan Dengan Tarian Singa Cipta Rekod Malaysia Book Of Records Di Kuala Lumpur Tower

LSH Capital menganjurkan Karnival Kuih Bulan di Sky Garden, tarikan baharu yang terletak 292 meter dari aras tanah di Kuala Lumpur Tower, yang dikendalikan dan diuruskan oleh anak syarikatnya, LSH Service Master Sdn. Bhd.

​Bertemakan "Terangi Malam, Nikmati Bulan Purnama di Langit KL", acara tersebut menghimpunkan tetamu jemputan dan wakil media untuk menyaksikan persembahan tarian singa, menyertai perarakan tanglung serta menikmati keindahan bulan purnama berlatarbelakangkan panorama ibu kota. Tarian singa yang lazimnya dipersembahkan di jalanan dan di hadapan premis perniagaan sebagai simbol membawa tuah, kali ini dipersembahkan tinggi di langit Kuala Lumpur, memberikan dimensi baharu kepada seni warisan ini di salah satu mercu tanda paling dikenali di negara ini.

​Berjaya Cipta Rekod Malaysia Book of Records

​Kemuncak acara pada malam ini ialah kejayaan LSH Capital dan Kuala Lumpur Tower mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records menerusi kategori Persembahan Tarian Singa pada Altitud Tertinggi di Sebuah Pencakar Langit ("Highest Altitude Lion Dance Performance in a Skyscraper"). Pencapaian tersebut membawa salah satu warisan budaya masyarakat Cina yang paling dikenali ke tahap yang lebih tinggi, di tengah-tengah panorama Kuala Lumpur.


Tarian singa merupakan warisan budaya yang terus dipelihara dari generasi ke generasi, serta mencerminkan nilai disiplin, kerja berpasukan dan ketekunan. Ia juga kekal sebagai sebahagian penting daripada kepelbagaian budaya Malaysia. Menerusi penganjuran acara seperti ini, LSH Capital terus menyokong usaha memelihara warisan budaya serta mengeratkan hubungan masyarakat, sejajar dengan semangat pertemuan semula dan kebersamaan yang menjadi teras Perayaan Kuih Bulan.

​Perarakan Tanglung Di Sky Garden

​Sebagai sebahagian daripada tradisi Perayaan Kuih Bulan, para tetamu turut dijemput membawa tanglung masing-masing dan menyertai perarakan di sekitar Sky Garden sambil menikmati panorama bandar raya dalam suasana malam yang diterangi cahaya tanglung, selaras dengan tema karnival.


Sempena sambutan ulang tahun ke-30 Kuala Lumpur Tower pada tahun ini, pengunjung kini boleh menikmati lebih daripada pemandangan panoramik yang menjadi tarikan utamanya. Pelbagai sambutan perayaan dan tarikan baharu turut diperkenalkan untuk pengunjung tempatan serta antarabangsa, selaras dengan usaha menyokong Visit Malaysia 2026.


​Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng, Pengerusi LSH Capital, berkata, "Pada dasarnya, Perayaan Kuih Bulan membawa semangat pertemuan semula dan kebersamaan. Meraikannya dengan persembahan tarian singa yang mencipta rekod, tinggi di atas kota Kuala Lumpur, merupakan cara kami berkongsi semangat tersebut bersama masyarakat. Kami akan terus menyokong inisiatif yang memelihara warisan, mengeratkan hubungan sesama masyarakat serta memberi sumbangan positif kepada masyarakat majmuk Malaysia."

​"Kuala Lumpur Tower menyambut ulang tahunnya yang ke-30 pada tahun ini, dan hasrat kami adalah agar Kuala Lumpur Tower bukan sekadar dikenali kerana pemandangannya, tetapi turut diingati kerana pengalaman dan detik bermakna yang tercipta di sini. Penganjuran karnival ini di Sky Garden, bersama pencapaian Malaysia Book of Records, menawarkan cara baharu untuk menikmati Perayaan Kuih Bulan di salah satu mercu tanda paling ikonik negara. Inisiatif seperti ini memperkukuh peranan kami dalam menyokong agenda pelancongan dan kebudayaan Malaysia melalui program inovatif yang memperkayakan pengalaman pengunjung," tambah Encik Khairil Faizal Hj. Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur Tower.

​