Terkini | New

Emirates Menduduki Tempat Teratas dalam Penarafan Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia 2027 Edisi Sulung TIME

Emirates Menduduki Tempat Teratas dalam Penarafan Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia 2027 Edisi Sulung TIME

​Emirates telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia dalam senarai Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia 2027 edisi sulung TIME dan Statista, yang mengiktiraf syarikat penerbangan di seluruh dunia yang cemerlang dalam khidmat pelanggan dan prestasi operasi. Syarikat penerbangan ini juga meraih tempat pertama dalam kategori Nilai Terbaik dan Perjalanan Perniagaan, di samping pengiktirafan tinggi dalam beberapa kategori lain.

​Sir Tim Clark, Presiden, Emirates Airline, berkata: “Tanpa gentar menghadapi cabaran tahun ini, kami terus melabur dalam produk dan perkhidmatan di hampir setiap titik sentuhan. Kami akan mengekalkan tumpuan tersebut kerana, seperti yang ditunjukkan oleh kedudukan teratas dalam TIME ini, pelanggan menyedari apabila sesebuah syarikat penerbangan melaksanakan perkara asas dengan tepat. Penghargaan besar diberikan kepada kakitangan kami yang menghidupkan pengalaman Emirates di udara dan di darat. Profesionalisme dan komitmen mereka adalah apa yang dialami oleh pelanggan kami setiap hari. Dalam perniagaan kami, tiada garisan penamat, dan kami sedang berusaha ke arah tahun 2027 yang lebih kukuh dan seterusnya, jadi anda boleh menjangkakan lebih banyak lagi daripada Emirates.”

​Menurut TIME, penarafan Emirates mencerminkan reputasinya dalam menawarkan penerbangan paling mewah dalam industri, penawaran Ekonomi Premium yang semakin berkembang serta daya tarikan Dubai yang berterusan sebagai sebuah destinasi. Kerjasama dengan organisasi pelancongan di seluruh Lautan Hindi, Eropah, Asia Tenggara dan UAE turut membantu menarik lebih ramai pengunjung ke seluruh rangkaiannya.

​Niels Terfehr, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Statista R, berkata: "Keputusan Emirates tahun ini menyerlah kerana konsistensinya. Menduduki tempat teratas dalam penarafan keseluruhan Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia, sambil turut menerajui kategori Nilai Terbaik dan Perjalanan Perniagaan, mencerminkan prestasi kukuh merentasi kedua-dua pengalaman penumpang dan kebolehpercayaan operasi - dua tunjang utama yang membentuk penarafan kami. Ia adalah hasil yang bersandarkan sepenuhnya kepada maklum balas langsung daripada pengembara di seluruh dunia, digabungkan dengan data prestasi penerbangan yang bebas.”

​Penarafan ini adalah berdasarkan kajian kuantitatif yang dijalankan oleh Statista, penyedia data dan risikan perniagaan terkemuka, yang meninjau penumpang di setiap benua. Responden menilai tahap kepuasan mereka terhadap sehingga lima syarikat penerbangan yang pernah mereka naiki dalam tempoh tiga tahun yang lalu. Mereka memberikan markah bagi keselesaan kabin, kualiti perkhidmatan, hiburan dan ketersambungan, makanan dan minuman, nilai untuk wang serta ciri mesra keluarga. Statista kemudiannya menggabungkan penilaian ini dengan data prestasi operasi setiap syarikat penerbangan untuk menghasilkan skor keseluruhan.

​Pelaburan produk dan perkhidmatan jangka panjang Emirates memastikan setiap perjalanan, di dalam setiap kabin, memberikan pengalaman pengembaraan yang tidak dapat dilupakan.

​Sorotan terkini daripada syarikat penerbangan ini merangkumi:

  • ​Program pengubahsuaian kabin bernilai US$7 bilion berjalan pantas: Sehingga kini, 108 buah pesawat Emirates telah diubah suai, memberikan pelanggan pengalaman yang lebih konsisten di seluruh armada dan membawakan produk terkini syarikat penerbangan ini kepada lebih ramai pengembara, termasuk Ekonomi Premium yang mendapat pujian tinggi. Menjelang Disember 2026, Ekonomi Premium Emirates akan menawarkan perkhidmatan ke hampir 100 destinasi di seluruh rangkaiannya.

  • ​Inovasi keselesaan pertama dalam industri: Inovasi peneraju pasaran terkini Emirates merangkumi tempat duduk Ekonomi Premium berkuasa elektrik pertama di dunia dengan pembahagi privasi, dan penyandar kepala U-Dream, yang pertama seumpamanya dalam Kelas Ekonomi. Dalam tempoh enam bulan akan datang, tempat duduk Kelas Ekonomi Premium berkuasa elektrik dengan pembahagi privasi akan tersedia di 11 buah pesawat Emirates dan penyandar kepala U-Dream Tempat Duduk Kelas Ekonomi baharu akan tersedia di 29 buah pesawat Emirates.

  • ​Ketersambungan ultra-pantas: Wi-Fi Starlink, yang kini terdapat di 74 buah pesawat Emirates, adalah percuma untuk pelanggan di semua kabin untuk menstrim kandungan, bermain permainan video, membuat panggilan, bekerja dan melayari media sosial sepanjang perjalanan mereka pada kedua-dua skrin di belakang tempat duduk dan peranti peribadi secara serentak.

  • ​Hiburan yang memenangi anugerah: ice, sistem hiburan atas permintaan dalam penerbangan Emirates, menawarkan lebih 6,500 saluran filem, rancangan TV, muzik, permainan dan audio siar (podcast) terkini, atas permintaan dan dalam lebih 40 bahasa.

  • ​Sajian kulinari bertaraf tinggi dalam penerbangan: Daripada hidangan istimewa serantau hinggalah kegemaran global, menu berinspirasikan destinasi Emirates mencerminkan cita rasa tempat-tempat yang diterbanginya. Pada bila-bila masa, syarikat penerbangan ini menawarkan lebih 1,570 menu harian di seluruh rangkaiannya. Menu dalam penerbangan bertukar setiap bulan, dan resipi sentiasa disemak serta diperhalusi. Dalam tahun lalu, syarikat penerbangan ini juga telah memperkenalkan barisan champagne dan wain baharu di setiap kabin, di samping menu istimewa dan bermusim bagi meraikan cuti umum, sambutan khas serta acara sukan tajaannya.

  • ​Pengalaman yang mengutamakan keluarga: Di hampir semua laluan dan dalam setiap kelas, kanak-kanak dihidangkan dengan makanan kanak-kanak yang lazat dan berkhasiat. Keluarga yang mengembara bersama bayi ditawarkan makanan bayi organik, susu formula, botol susu disediakan atas permintaan dan kit kemudahan bayi turut dibekalkan. Di ice, kanak-kanak boleh memilih daripada ratusan pilihan hiburan termasuk koleksi Disney, Marvel Studios, Star Wars, atau menikmati siri Harry Potter, selain saluran kartun khas kanak-kanak dan lebih 100 permainan video. Kanak-kanak daripada setiap peringkat umur juga mendapat mainan dan cenderamata percuma, dan kru kabin boleh mengambil gambar Polaroid segera yang diletakkan di dalam bingkai foto edisi terhad sebagai kenang-kenangan. Syarikat penerbangan ini juga telah menjalankan Latihan Perjalanan (Travel Rehearsals) yang menyokong keluarga kanak-kanak autisme di lebih 80 destinasi.

  • ​Dibina untuk perniagaan: Emirates terus meningkatkan standard bagi perjalanan perniagaan, dengan pelancaran kabin Kelas Perniagaan yang diperbaharui serta tempat duduk terkini di seluruh armada Boeing 777, Airbus A380 dan A350. Di darat, pelanggan boleh berehat, bekerja atau menjamu selera di 42 ruang istirahat (lounge) di seluruh dunia, termasuk ruang istirahat utama di Dubai, manakala perkhidmatan pemandu peribadi percuma di pasaran yang layak menjadikan setiap perjalanan lancar dari pintu ke pintu. Secara keseluruhan, pelaburan ini menjadikan Emirates pilihan semula jadi bagi pengembara perniagaan.

​

​###

​Emirates di Malaysia

  • ​Emirates telah berkhidmat di Malaysia sejak tahun 1996, menawarkan ketersambungan global yang lancar dari Kuala Lumpur ke Dubai dan destinasi seterusnya.

  • ​Syarikat penerbangan ini mengendalikan 21 penerbangan mingguan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Dubai.

  • ​Perjanjian perkongsian kod (codeshare) Emirates dengan Batik Air memberikan pelanggan akses mudah ke lima destinasi domestik (Pulau Pinang, Langkawi, Johor Bahru, Kota Kinabalu, dan Kuching) serta tiga destinasi serantau Asia Tenggara, melalui Kuala Lumpur.

  • ​KLIA merupakan lapangan terbang pertama di Malaysia yang berupaya mengendalikan Airbus A380, dengan Emirates melancarkan perkhidmatan ikonik A380 ke Kuala Lumpur pada tahun 2012.

​Mengenai Emirates

Kisah Emirates bermula pada tahun 1985 apabila kami melancarkan operasi dengan hanya dua buah pesawat. Hari ini, kami menerbangkan armada Airbus A380 dan Boeing 777 terbesar di dunia, menawarkan pelanggan kami keselesaan pesawat berbadan lebar yang terkini dan paling cekap di ruang udara.

​Kami memberi inspirasi kepada pengembara di seluruh dunia melalui rangkaian destinasi global kami yang semakin berkembang, hiburan dalam penerbangan yang menerajui industri, sajian kulinari berinspirasikan serantau, dan perkhidmatan bertaraf dunia. https://www.emirates.com/my/english/

​