Single Terbaru Soma Berjudul 'NPD' Angkat Isu Kesihatan Mental Bersama Deretan Legenda Muzik Tanah Air
Single Terbaru Soma Berjudul 'NPD' Angkat Isu Kesihatan Mental Bersama Deretan Legenda Muzik Tanah Air

Penyanyi berbakat besar, Soma, secara rasminya melancarkan single ketiga beliau yang amat dinantikan berjudul 'NPD' di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur. Lagu yang menyentuh emosi dan sarat dengan mesej mendalam ini merupakan hasil ciptaan komposer berkaliber Belle Fatah, manakala seni kata liriknya ditulis sendiri oleh Soma.

NPD bukan sekadar sebuah karya hiburan, sebaliknya ia merupakan sebuah naskhah kesedaran yang mengetengahkan isu kesihatan mental, khususnya mengenai impak Narcissistic Personality Disorder (NPD) terhadap masyarakat. Melalui bait-bait lirik yang matang, lagu ini menawarkan nasihat, sokongan moral, serta jalan keluar dan cara mengatasi kemelut psikologi ini demi membina masyarakat yang lebih sihat dan empati.
Persembahan Live Eksklusif Bersama Pemuzik Legenda.
Pelancarkan diserikan dengan persembahan bertenaga secara langsung (live) oleh Soma, yang menyampaikan empat buah lagu daripada album Perjalanan, termasuklah single terbaru, NPD.
Istimewanya, persembahan Soma pada petang ini diiringi oleh barisan pemuzik bertaraf legenda dan pemuzik elit tanah air:
Gitar Utama: Man Keedal
Gitar Kedua: Ujang
Bass: Eddie
Drum: Adam Maulana
Piano: Belle Fatah

Majlis pelancaran dan sidang media ini dihadiri oleh barisan tetamu kehormat, tokoh industri seni, serta peneraju perniagaan negara:
Dato' Khadijah Ibrahim (Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia)
Datuk Freddie Fernandez (Presiden Persatuan Karyawan Malaysia)
Datuk Nor Hasnal Bin Hashmi (Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia)
Wakil Pengurusan Tertinggi Sony Music Entertainment
Rakan-rakan Media dan rakan-rakan artis terdekat serta peminat.

Meneruskan Legasi Album 'Perjalanan'.
NPD merupakan single ketiga Soma, menyusuli kejayaan dua single terdahulu iaitu Aku Tetap Raya dan Bila Tahmid Bergema. Lagu ini turut melengkapkan portfolio seni beliau selepas pelancaran Album EP berjudul Perjalanan pada 26 Disember 2024 yang lalu.
Album Perjalanan membawa nilai sentimental yang sangat tinggi dalam lipatan sejarah muzik tempatan kerana ia mengandungi karya-karya terakhir daripada maestro muzik tersohor, Allahyarham Datuk S. Atan, yang telah menghembuskan nafas terakhir pada November 2024. Ini sekali gus meletakkan Soma sebagai artis terakhir yang mendapat penghormatan menyanyikan lagu ciptaan arwah sebelum pemergiannya.
"NPD adalah sebuah karya yang sangat dekat dengan hati saya. Isu kesihatan mental terutamanya gangguan personaliti narsisistik ini sering berlaku dalam masyarakat tetapi jarang dikupas dalam bentuk karya lagu. Melalui lirik yang saya tulis, saya berharap dapat memberi kesedaran tentang kesannya kepada mangsa dan masyarakat, di samping memberikan kekuatan serta cara untuk mengatasinya. Ditambah pula dengan sentuhan melodi Belle Fattah dan aura pemuzik hebat seperti Abang Man Keedal, Eddie Def Gab C, Lola XPDC, dan Belle sendiri, saya harap lagu ini dapat menyentuh jiwa pendengar."


Single 'NPD' kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seperti YouTube, Spotify, Apple Music bermula hari ini.