Terbaharu | New

Sumbangan Kumpulan Syarikat SURIA KLCC Kepada PIHAK HOSPITAL Untuk Membantu MANGSA BANJIR

Pusat membeli belah di bawah Kumpulan Syarikat Suria KLCC sekali lagi bangkit menghulurkan bantuan berikutan banjir yang melanda beberapa kawasan di Lembah Klang dengan sumbangan barangan keperluan kepada kakitangan dan pesakit yang terkesan di Hospital Kuala Lumpur.



Pada 20 Disember, Pusat Membeli Belah Alamanda Putrajaya telah menyumbangkan barangan bernilai RM10,000 kepada Hospital Putrajaya untuk membantu 168 kakitangan hospital yang terkesan dengan banjir yang melanda sebahagian negeri Selangor seperti Dengkil, Kota Warisan, Banting, Bukit Changgang, Labohan Dagang, Shah Alam dan Warisan Bestari bulan lalu.


Barangan yang disumbangkan termasuklah makanan sedia untuk dimakan dan air minuman yang selalunya sangat diperlukan selepas kejadian bencana alam seperti ini.


Pada 31 Disember pula, usaha Alamanda dilengkapkan dengan keprihatinan Suria KLCC yang telah menyumbangkan barangan makanan serta keperluan peribadi bernilai RM20,000 kepada mangsa banjir di Hospital Kuala Lumpur yang terdiri daripada pesakit and kakitangan hospital itu sendiri. Kakitangan tersebut menetap di kawasan yang dilanda banjir seperti Sri Muda, Hulu Langat, Puchong, Shah Alam Dengkil, Gombak dan Jalan Ipoh.


Sumbangan telah disampaikan oleh Pengurus Besar Suria KLCC, Ameer Thajudeen kepada Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datin Paduka Dr. Rohana Johan. Selain dari barangan makanan dan minuman, Suria KLCC turut menyumbangkan barangan keperluan peribadi, peralatan mencuci dan mandian.

Hospital Kuala Lumpur dipilih kerana ia merupakan salah satu hospital yang paling sibuk dalam menangani pandemik Covid-19. Sepanjang tahun lalu, Kumpulan Syarikat KLCC juga telah menyumbangkan barangan makanan sedia untuk dimakan kepada anggota barisan hadapan perubatan di Hospital Sungai Buloh and Hospital Putrajaya.


Berikutan sumbangan tersebut, Dr. Rohana mengulas, “Kami berterima kasih kepada Kumpulan Syarikat Suria KLCC yang sentiasa menghargai anggota barisan hadapan perubatan ketika waktu sukar ini. Sumbangan ini tepat pada waktunya yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban anggota barisan hadapan yang sebahagiannya begitu runsing dengan keadaan rumah mereka selepas dilanda banjir.”


Bersimpati dengan sebahagian rakyat Malaysia yang ditimpa musibah di penghujung 2021 dan permulaan 2022 ini, Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Suria KLCC berkata, “Kami sangat berbesar hati untuk menghulurkan bantuan kepada anggota barisan hadapan perubatan dan penduduk yang terkesan dengan kejadian banjir disaat mereka memerlukan. 

Kami sangat bersimpati dengan penempatan yang musnah akibat banjir ini ketika kita menantikan kedatangan tahun baru. Kami percaya usaha kami ini dapat diterima sebagai solidariti bersama mangsa banjir, di mana juga mereka berada. Di samping keadaan cuaca yang tak menentu, kami menyeru kepada semua untuk kekal selamat dan sentiasa siap siaga terhadap sebarang ancaman terhadap keselamatan dan kesihatan awam.”

#####

Mengenai Suria KLCC Sdn Bhd
Suria KLCC Sdn Bhd adalah sebuah syarikat usaha sama yang dimiliki oleh KLCC Property Holdings Berhad (60%) dan CBRE Global Investors (40%). Ia merupakan kumpulan pengurusan aset runcit bertaraf dunia yang memfokuskan kepada pembangunan dan operasi pusat membeli belah di Malaysia. Portfolio terkininya merangkumi tiga pusat membeli belah iaitu Suria KLCC (Kuala Lumpur), Alamanda (Putrajaya) dan Mesra Mall (Kertih). Dengan lebih 550 aneka kedai dan lebih 2 juta kaki persegi ruang runcit keseluruhannya, syarikat ini memberi peluang kepada peruncit tempatan dan antarabangsa untuk mendekati golongan pembeli berkemampuan tinggi di Malaysia.