HIJRAH, TEMA SYAHADAH MUSIM KE-16 DI RTM

Mac 23, 2022

Jenama Syadahah sudah menjadi sebahagian daripada persiapan menyambut Ramadan dan rutin yang dinantikan penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak mula diterbitkan tahun 2005 sehingga kini.

Memasuki edisi ke-16 tahun ini, dokumentari berbentuk sejarah keislaman yang bersiaran sepanjang Ramadan ini menjanjikan pendekatan lebih segar dan dekat di hati seluruh rakyat Malaysia dengan tema, Hijrah: Pendekatan Kandungan Islamik Dan Perspektif Komuniti Etnik Di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.



Bakal bersiaran sepanjang Ramadan 2022 mulai 3 April ini di tiga saluran RTM iaitu pukul 6.30 petang (siaran ulangan pukul 4.30 pagi) di TV1, pukul 8.30 malam (siaran ulangan pukul 1.30 tengahari) di Saluran Berita RTM dan pukul 9.30 malam di TV Okey. Dokumentari ini membawa semua penonton setia RTM menjelajah pelbagai kisah yang ada di Malaysia, negara tercinta yang sarat dengan sejarahnya yang tersendiri.



Program diterbitkan Unit Majalah dan Dokumentari TV RTM ini menyaksikan penglibatan seramai 12 orang penerbit kesemuanya yang dibahagikan mengikut zon yang dipilih iaitu zon selatan, pantai timur dan utara, Sabah, Sabah dan Sarawak juga Sarawak.

Perjalanan penerbitan program ini dibahagikan dua bahagian iaitu sebanyak 15 episod di Semenanjung Malaysia pada 16 hingga 30 Oktober 2021, manakala bahagian kedua pada 12 hingga 28 Februari 2022 yang membawa memaparkan keindahan Islam dari pelbagai sudut perspektif di Sabah dan Sarawak. 


Jajaran dan intipati dokumentari Syahadah musim ini membawa penonton menyusuri keindahan Islam dalam konteks hijrah dan memaparkan perubahan komuniti mahupun individu terhadap cara hidup Islam di Malaysia.  Asas dan pendekatan turut merungkai pendekatan pada asas Islam, pendidikan, ekonomi, gaya hidup, srikandi Islam, sahabat muslim, konsep halal, komuniti, seni dan budaya setempat yang dipilih. 


Majlis Penyerahan Tajaan Syahadah 2022 iaitu tajaan kos hadiah kuiz mingguan dan utama oleh pihak SASA SALT yang diwakili oleh Syarikat Red Sea Industries Sdn Bhd, Aet Travel Sdn Bhd, Rabbani Productions dan D-Saji kepada RTM.


Perkongsian 30 tajuk yang menemui penonton sepanjang Ramadan ini bermula dengan zon selatan yang mengetengahkan tajuk Kunci Syahadah, Mencari Hidayah, Lantera Hidup, Tarbiyah Husnul Khatimah, Perjalanan Hidayah, dan Jihad Ekonomi. Seterusnya tajuk Permata Syahadah, Ibrah Anbiya, Warisan Muslim di Georgetown, Hikmah Di Tanjung Bungah, Jihad Mualaf dan Sinar Islam mengandungi kandungan perspektif unik dari zon pantai timur dan utara. 




Ikuti juga tajuk menarik yang dibawakan daripada zon Sabah dan Sarawak iaitu Transformasi al-Quran Emas, Warisan Terngganu, E-Braille al-Quran, Nostalgia Pos Dipang, Raudhatul Sakinah, Denai Zikrullah, Tasbih Rindu, Infaq Kasih, Legasi Rosili Bardi, Kekal Satu Kalimah, Legasi Malakalu, Kalam Sufi, Wasilah Perajurit Negara, Kasih Bario, Hijrah Muhibah, Sujud Ini Miliknya, Sampiku Dilemai Ari Kidurong, Vik Ulauk dan Seruan Dakwah Pesisir. 




Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store. 

You Might Also Like

0 comments