Terkini | New

Radio ZAYAN Kini Lebih Santai Dan Penuh Berinformasi

Keadaan semasa terus mencabar walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik dan mereka yang terbabit dalam pelbagai bidang pekerjaan perlu terus berusaha dan menjadi lebih kreatif. Situasi sama turut dirasai oleh pasukan kerja Radio ZAYAN. Pengurus Kandungannya, Wan Syahrul Amry Wan Mansor, berkata walaupun tahun 2022, kerajaan sudah mengumumkan negara sedang melalui peralihan ke fasa endemik dan beberapa peraturan sudah dilonggarkan namun rakyat masih perlu berhati-hati.



“ZAYAN terus mengambil langkah berhati-hati dan jika keadaan memerlukan, penyampai akan bersiaran dari rumah dan cabaran yang menanti adalah untuk memantapkan persembahan dengan cara yang lebih kreatif.


“Kalau bersiaran dari rumah, pengisian mestilah lebih terkini, padat dengan perkembangan mengenai isu semasa yang dapat membantu mereka yang terkesan akibat pandemik C19,” kata Wan Syahrul Amry.

Jelas beliau, bertepatan dengan konsep Islamik yang menjadi tunjang utama ZAYAN dalam arena penyiaran negara, radio ini membawa pendekatan mempromosikan cara hidup masyarakat Islam yang terkini dan kotemporari. Katanya, kandungan ZAYAN mestilah yang boleh dijadikan inspirasi kepada pendengar sasaran berusia dari 18 hingga 35 tahun.

“Kapsul nasihat disertakan hadis, sirah dan doa dengan selingan lagu nasyid yang bukan saja menghiburkan tetapi memberi manfaat kepada pendengar terutama pada situasi hari ini di mana masyarakat yang terkesan sangat memerlukan kata-kata semangat, nasihat dan panduan.

“Sejak ZAYAN ditubuhkan pada 2 Oktober 2017, kelebihan ZAYAN ialah pada DNA nya yang tidak sama dengan radio lain. Identiti radio ini yang mahu mendekati golongan muda menampilkan konsep persembahan yang lebih segar, pengisian bersifat kontemporari dan akan terus mengekalkan keunikan yang ada. Kandungan ZAYAN lebih kasual, bersahaja dan santai serta bersesuaian dengan gaya hidup muslim. Meskipun informasi Islamik tetapi ia disampaikan dengan cara yang lebih ringan agar mudah menyerap ke jiwa pendengar.


“Alhamdulillah, selepas hampir lima tahun bersiaran, sambutan pendengar terhadap radio ZAYAN menunjukkan peningkatan yang ketara,” kata Wan Syahrul Amry Bercakap mengenai cabaran, beliau berkata, bagi mengekalkan keunikan ZAYAN, pasukannya terpaksa bekerja keras berbanding saluran komersial lain, sentiasa melakukan kajian dan peka kepada keperluan pendengar.

“Kami tidak mahu kandungan ZAYAN kelihatan klise. Ia mestilah terkini kerana kami mahu mereka yang tercari-cari aplikasi kandungan Islam akan memilih ZAYAN. Pada awal tahun ini juga dengan mengambil pandangan dan gabungan idea daripada JAKIM ( Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Munsyid Malaysia, rakan selebriti dan ustaz-ustaz, ZAYAN menganjurkan program USRAH ZAYAN #jomsolat sambil solat Maghrib dan Isyak berjemaah di dataran MaTiC (Pusat Pelancongan Malaysia).


“Kami mahu menjadi penentu arah aliran yang Islam itu indah dan boleh bersolat di mana sahaja dengan syarat tetap mengikut hukum syarak. Program itu juga adalah platform berdakwah secara santai sambil meraikan semua pihak,” katanya.



Kandungan ZAYAN Tahun 2022

Kandungan baru ZAYAN untuk tahun 2022 ialah Zayan Salam Bros (6 hingga 10 pagi) kendalian Mawi (Asmawi Ani) dan Anas Tahir. Seterusnya pada jam 10 pagi hingga 3 petang, konti akan diambil alih oleh Lin Ariffin (Siti Amalina Ariffin) dan Fatin Nabila untuk slot Zayan Salam Sis.

Slot seterusnya ialah ZAYAN Valet (3 petang hingga 7 malam) yang ke udara bersama Tajdid Hadhari (Muhammad Tajdid Hadhari Romli). Bekas  peserta Daie  yang berimej rugged itu juga dikenali dengan panggilan Ustaz Bola.

ZAYAN Valet juga menyisipkan slot Zayan Fit yang menampilkan kehadiran tetamu undangan. Terdapat juga sesi bacaan ayat al-Quran berserta terjemahan dan menerusi slot Valet Buzz, Hadhari membincangkan isu tular.

Untuk pengetahuan ramai, Hadhari memiliki lesen bimbingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bawah jurulatih Belia Nasional FAM, Hassan Sazali Waras. Menggantikan Zayan Valet selepas itu ialah ZAYAN Halal CafĂ© (8 malam hingga 12.30 malam) kendalian Hazwan Syah (Khairi Hazwan Muhammad Asri).

 Pada hujung minggu pula ada ZAYAN Hujung Minggu bersama penyampai hujung minggu iaitu Pendakwah Ustaz Ashraf Suarin. Segmen lain ialah Indah Di Hati, ZAYAN Fikir, Aura ZAYAN dan ZAYAN Ikhlas.

 Selain ke udara di corong radio, pendengar boleh mendengar ZAYAN menerusi Saluran Astro 876 dan terbaru aplikasi SYOK yang tersedia dalam Google Play dan App Store.

Aktiviti Ramadan ZAYAN
ZAYAN mengadakan beberapa program khusus untuk Ramadan ini seperti Satu Hari Satu Surah Bersama Ustaz Mohd Gunawan Che Abd Aziz dan Mahir Bahasa Arab melalui al-Quran bersama Ustaz Taufik Yusof. Kedua-dua program khas itu disisipkan dalam segmen ZAYAN Salam Bros.

Menerusi slot ZAYAN Salam Sis pula diselitkan Tadabbur Al-Quran. Pada sebelah malam pula, dari jam 10 malam hingga 1 pagi adalah topik perbincangan berkenaan Ramadan dan Salam Sahur ZAYAN.

Sementara untuk pengisian platform digital ZAYAN, diadakan pencarian menerusi Instagram iaitu mencari ZAYAN Next Top Bilal di mana lima bilal terbaik akan merakamkan azan yang bakal ke udara di saluran radio ZAYAN.


Pada 22 April pula, akan diadakan majlis berbuka puasa di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) yang disertai penyampai ZAYAN, pendakwah yang juga penyampai hujung ZAYAN iaitu Ustaz Ashraf Suarin dan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Aktiviti lain ialah sumbangan Al-Quran kepada orang yang datang ke bazar Ramadan Putrajaya yang akan diberikan secara random, tajaan Masjid Putrajaya. Juga diadakan Rakaman Tawarikh Talk bersama ustaz dan ustazah jemputan.

Baru- baru ini empat penyampai ZAYAN iaitu Asmawi Ani, Anas Tahir Muhammad Tajdid Hadhari Romli dan Khairi Hazwan Muhammad Asri, merakamkan takbir Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Rakaman itu akan disiarkan pada 1 Syawal di plaftom digital ZAYAN.

Untuk maklumt lanjut sila layari laman web dan laman sosial  mereka di http://www.zayan.my/