Terkini | New

Nafalia Corporation Raikan Tenaga Produksi Dan Barisan Pelakon ‘SHOWTIME 1958’ Serta Jamuan Raya Di FINAS

Nafalia Corporation telah menganjurkan sebuah majlis jamuan hari ini bagi meraikan kejayaan filem ‘Showtime 1958’. Diadakan di Pawagam Mini P.Ramlee yang bertempat di FINAS, Hulu Klang, majlis yang berlangsung dalam suasana hari raya, turut dihadiri tetamu-tetamu jemputan khas, pegawai pegawai FINAS, penaja-penaja, wakil media elektronik dan digital, serta rakan-rakan influencer.



Tetamu-tetamu jemputan telah dihiburkan dengan tayangan treler filem dan persembahan lagu ‘Selamat Hari Raya’ oleh barisan pelakon filem tersebut yang hadir.


Menurut penerbit ‘Showtime 1958’ yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nafalia Corporation, En. Farid K. Ahmad, tujuan utama majlis yang diadakan hari ini adalah bagi meraikan dan menghargai tenaga produksi dan barisan pelakon yang terlibat dalam pembikinan filem ‘Showtime 1958’. Beliau menzahirkan rasa syukur atas kejayaan ‘Showtime 1958’ yang berjaya membuka tayangan perdana di platfom striming antarabangsa, Netflix pada 3 Mei 2022 yang lalu.


“Kami amat bersyukur kerana pihak Netflix telah sudi mengangkat filem ini sebagai salah sebuah naskah untuk tayangan di Netflix, dan dengan promosi yang dilakukan, filem ‘Showtime 1958' telah mendapat pendedahan yang sungguh meluas,” ujar En, Farid K. Ahmad yang ditemui di majlis tersebut.


Selaku wakil FINAS di majlis tersebut, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Produksi & Teknikal FINAS iaitu Encik Syirfan Indra Mitra Surya bin Hussin, memuji inisiatif Nafalia Corporation yang mengambil langkah berani menerbitkan filem berunsurkan sejarah seperti ‘Showtime 1958’.


Tambah Encik Syirfan Indra, “Kami percaya usaha menjadikan peristiwa sejarah sebagai intipati sesebuah filem jika diolah dengan kaedah terkini dan segar, mampu menarik minat golongan muda, penonton boleh mengetahui peristiwa penting dalam sejarah negara dengan lebih mendalam. Dengan adanya platform penstriman seperti Netflix, bahan sejarah ini boleh dikongsi, ditonton berulang kali dan akan tersimpan selamanya dalam bentuk digital.”


‘Showtime 1958’ menceritakan tentang sebuah kisah benar di sebalik terciptanya lagu ikonik ‘Selamat Hari Raya’ ciptaan biduan negara P. Ramlee dan Jamil Sulong. Selaku penulis, pengarah veteran Anwardi Jamil memberitahu bahawa ‘Showtime 1958’ ditulis berdasarkan penceritaan dan tulisan arwah ayahnya, lagenda Aliahyarham Jamil Sulong.

‘Showtime 1958’ memaparkan detik-detik getir kejatuhan empayar filem Melayu di Singapura. Anwardi Jamil telah dinobatkan sebagai ‘Pengarah Asia Terbaik’ di Asian Cinematography Award, yang berlangsung di Manila. Di acara anugerah berkenaan, ‘Showtime 1958’ turut memenangi anugerah ‘Sinematografi Terbaik’ hasil sentuhan Norazam Mohd. Yusof.



‘Showtime 1958’ turut berjaya menerima anugerah bagi “Skor Musik Terbaik (Raja Iskandar Raja Ibrahim)” di anugerah Singapore World Film Carnival, yang juga telah memberi penghargaan bagi “Pencapaian Luar Biasa” bagi kategori Pengarahan, Ciri Naratif dan Sinematografi.


Filem ‘Showtime 1958’ dibarisi nama-nama besar industri perfileman tanah air antaranya Amai Kamaruddin, Bell Ngasri, Shah Iskandar dan Mubarak Majid, di samping bakat-bakat baharu seperti Asry Azizan Banks, Yna Rose Noah, Wan Nur Afiyah, Irfan Zaini, Amalina Arham, Muhammad l|zzat Mustaq, Raja Muhammad Hafiz, Dhia Farhana, Farah Ahmad, Frankie Lee, Henzi Andalas Nusantara.


Diedarkan secara ekslusif ke Netflix oleh Nafalia Corporation Sdn Bhd melalui Nads Media Entertainment Sdn Bhd sebagai pengedarnya, ‘Showtime 1958’ sedang rancak distrim di Netflix seluruh dunia dan mula menduduki carta filem trending di Netflix.



Treler rasmi filem ‘Showtime 1958’ boleh ditonton dan untuk mengetahui kisah-kisah menarik di sebalik tabir filem ini, ikuti akaun media sosial Nafalia Corporation di Facebook dan Instagram. Peminat-peminat filem tempatan pastinya tidak mahu terlepas menonton filem ‘Showtime 1958’ yang kini rancak distrim di platfom Netflix.