Terkini | New

FILEM ROMANTIK-THRILLER TEMPATAN “SERATUS” MERUPAKAN FILEM PERTAMA DENGAN PENAMPILAN 100 ORANG PELAKON TERNAMA MALAYSIA.

FILEM ROMANTIK-THRILLER TEMPATAN “SERATUS” MERUPAKAN FILEM PERTAMA DENGAN PENAMPILAN 100 ORANG PELAKON TERNAMA MALAYSIA.

Majlis Malam Gala Tayangan Perdana Filem Seratus telah dilancarkan di GSC MID VALLEY dengan kehadiran barisan pelakon, rakan media cetak, media elektronik, rakan selebriti, penerbit filem Malaysia, KOL, para karyawan dan kru produksi.


Filem ini telah mencipta sejarah dengan penampilan 100 orang pelakon terkenal yang digabungkan di dalam sebuah filem bergenre romantik-thriller dan sekaligus merupakan filem pertama di Malaysia yang paling ramai dibintangi.


Filem “SERATUS” merupakan filem pertama hasil gabungan antara dua  produksi hebat Malaysia iaitu UNOMEDIA SDN.BHD yang dimiliki oleh Encik Basree Rakijan dan FJ PICTURES SDN.BHD yang dimiliki oleh pengarah terkenal serta pemilik idea asal filem ini sendiri iaitu Encik Feroz Abdul Kader.

Filem yang penuh dengan aksi-aksi mendebarkan ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Hafiz yang perlu menyelamatkan ibunya daripada dibunuh. Hafiz perlu mencari semula wang RM100 yang mempunyai “klu” tentang pendrive yang terkandung sebuah rahsia besar. Hafiz melalui pelbagai situasi yang mencemaskan demi mendapatkan wang RM 100 itu sebelum ibunya mati dibunuh.

Pengarah terkenal Feroz Kader mengambil simbolik tajuk filem ini daripada wang kertas RM100 serta SERATUS penglibatan pelakon tanah air. Beliau juga dengan beraninya mempertaruhkan Sharul Kamal sebagai tunjang utama dalam filem ini.

Selain itu, Sara Ali, Marissa Yasmin, Fauzi Nawawi dan Wan Hanafi Su turut membarisi barisan hadapan filem SERATUS ini. Filem ini juga dihiasi dengan nama-nama besar seperti Nora Danish, Dato Awie, Dato Adi Putra, Fify Azmi, Pablo Amirul, Syazwan Zulkifli, Izzue Islam, Beto Kusyairi, Nadiya Nisaa, Ungku Ismail Aziz dan ramai lagi.

Penerbit UNOMEDIA SDN.BHD, Encik Basree Rakijan dan Datuk Wira Vincent Lye selaku penasihat telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pengarah yang tidak asing lagi di dalam industri seni Malaysia iaitu Encik Feroz Kader untuk menghasilkan sebuah filem yang berkualiti tinggi.

Tambahan pula, kerjasama yang telah terjalin selama 10 tahun membuatkan Encik Basree Rakijan sangat berkeyakinan penuh dengan sentuhan pengarahan oleh Encik Feroz Abdul Kader yang pernah memenangi Anugerah Pengarah Filem Terbaik Seri Angkasa pada tahun 2015 serta pemenang Pengarah Drama Terbaik, Anugerah Drama Sangat, TV3.


Meskipun filem ini telah menjalani penggambaran dalam tempoh kawalan SOP pendamikCovid-19 dan pastinya telah melalui pelbagai masalah, namun filem ini berjaya disiapkan kerana mendapat kerjasama sepenuhnya dari semua pihak yang terlibat.


Filem “SERATUS” telah dihiasi dengan lagu OST berjudul “BUNGA TERINDAH” nyanyian pelakon utama iaitu Sharul Kamal. Filem ini juga bakal menemui penonton pada 6 Oktober 2022 di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.