Terkini | New

OLABOLA “I COVER YOU” 2022 KEMBALI DENGAN MUSIM TERHAD!

LEBIH PADAT DAN DIPENUHI AKSI, OLABOLA “I COVER YOU’ 2022 KEMBALI DENGAN MUSIM TERHAD!


Enfiniti (M) Sdn Bhd kembali ke pentas teater muzikal dengan persembahan OLABOLA “I COVER YOU”. Produksi yang telah memenangi 8 Anugerah di 16th BOH Cameronian Arts Awards ini bakal menghangatkan panggung The Platform, Menara KEN TTDI untuk musim terhad bermula 9 hingga 19 November 2022.

Pementasan dan diarahkan oleh Puan Sri Tiara Jacquelina, OLABOLA “I COVER YOU” merupakan versi 90 minit yang lebih padat, dipenuhi aksi, dan mengasyikkan lagi dengan adanya interaksi bersama penonton. Versi ini pada asalnya, merupakan versi jelajah untuk kempen Merdeka pada 2019 dan telah dipersembahkan kepada penonton di Pulau Pinang, Kuantan, Kota Kinabalu dan Kuching.

Apabila ditanya mengenai perbezaan antara versi ini dan versi penuh (2.5 jam) persembahan OlaBola The Musical di Istana Budaya pada tahun 2018 dan 2019, Puan Sri Tiara berkata “Oh, sangat berbeza dengan versi penuh. Versi ini seolah-olah OLABOLA versi roller-coaster!” katanya sambil ketawa.

“Sewaktu persembahan jelajah tahun 2019, kami telah menyaksikan reaksi yang sangat luar biasa daripada penonton. Dari bermulanya jelajah tersebut, ternyata tahap adrenalin, emosi, dan keterujaan penonton di Malaysia terhadap bola sepak memang lain daripada yang lain. Setiap persembahan dibuka dengan interaksi penonton bersorak sepenuh hati dipimpin kumpulan sorak bolasepak Malaysia, Ultras Malaya, diikuti pula dengan semangat “takkan kalah” Harimau Malaya dalam sesi latihan ke Sukan Olimpik 1980. Ini ditambah lagi dengan kemunculan Sarjan Ahmad, watak yang dibawa rapper terkenal Malaysia - Altimet, penonton terbawa sekali dalam penceritaan kisah pasukan bola sepak negara ini. Saya pasti, persembahan kali ini merupakan sesi “warm-up” yang sangat sesuai bagi penonton dan peminat bola sepak dalam menanti demam World Cup tahun ni.”

OLABOLA “I COVER YOU” ditonton lebih kurang 80,000 penonton di Pulau Pinang, Kuantan, Kota Kinabalu dan Kuching disamping penonton “on-line” di seluruh dunia. Ini merupakan kali pertama penonton di Kuala Lumpur akan mendapat peluang menonton versi yang lebih padat dan menarik ini.

OlaBola The Musical telah memenangi 8 anugerah di 16th BOH Cameronian Arts Awards pada tahun 2018 termasuk anugerah Best Direction (Tiara Jacquelina), Best Actor (Brian Chan), Best Set Design (Raja Malek), Best Original Score (Mia Palencia & Altimet), Best Choreographer (Adzwani Sani & Stephen Rahman-Hughes), Best Lighting Design (Ee Chee Wei), Best Performance by an Ensemble, dan Best of 2018.

Musim terhad versi 90 minit kali ini akan menyaksikan kembalinya pelakon-pelakon dari pementasan muzikal asal yang membawakan watak-watak kesayangan ramai. Altimet sebagai Sarjan Ahmad, Brian Chan sebagai “Tauke” Chow Kwok Keong, Luqman Hafidz sebagai Ahmad Ali (Ali) dan Lim Jian Wen sebagai Ong Tiam Chai (Ah Chai). 

Produksi dibawah Enfiniti ini diaptasi dari filem dengan tajuk yang sama keluaran tahun 2016, arahan Chiu Keng Guan, terbitan Astro Shaw, Golden Screen Cinemas dan Multimedia Entertainment Sdn Bhd. 

Raja Jastina Raja Arshad selaku Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw berkata, “mewakili pihak penerbit filem OlaBola, Astro Shaw, GSC dan Multimedia Entertainment, kami rasa amat berbesar hati apabila karya kami sekali lagi diangkat dan dikembangkan melalui platform berbeza. Sebagai pengkarya industri kreatif, kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak jika filemfilem lain terbitan kami di bawa ke pentas teater. Kami harap dengan kehadiran pementasan OlaBola “I Cover You” mampu merancakkan lagi industri pementasan teater dan sekali gus menarik penonton untuk kembali menghargai seni teater selepas fasa pandemik.”

Terdapat hanya 500 tiket untuk setiap persembahan dalam musim yang terhad ini, oleh itu dapatkan tiket-tiket anda sebelum terlepas!” ,

OLABOLA “ I COVER YOU” 2022 akan bermula pada 9 hingga 19 November 2022 di The Platform, Menara KEN TTDI. Ikuti perkembangan mengenai OlaBola “I Cover You” di laman Instagram dan Facebook rasmi @EnfinitiMY. 

Dapatkan tikat anda di laman web www.myticket.asia dan follow hashtag kami #AyuhMalaysiaku #OlaBolaMusical #ICoverYou #EnfinitiMakesMagic.