Terkini | New

Karnival Kebajikan Bukit Bintang Menjelang Tahun Baru Cina

Karnival Kebajikan Bukit Bintang Menjelang Tahun Baru Cina


Karnival Kebajikan Bukit Bintang atau lebih sinonim dengan nama BB Charity Carnival tidak asing lagi dalam kalangan warga kota sekitar Lembah Klang. Karnival ini dinantikan oleh warga kota pada setiap kali sebelum sambutan Tahun Baru Cina.



Apa yang menariknya ialah pada setiap tahun BB Charity Carnival ini akan meraikan lebih daripada 1000 penerima bantuan dan pada tahun ini iaitu tahun ke-17, seramai 1500 warga kota yang terdiri daripada warga emas yang berumur 55 tahun dan ke atas, ibu tunggal , anak anak yatim, golongan gelandangan dan orang kurang upaya (OKU) diberi peluang untuk berdaftar.




Karnival ini dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Harmoni Bukit Bintang Kuala Lumpur dan disokong oleh syarikat tempatan ternama peruncitan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dengan kerjasama Malaysia Chinese Assembly Hall ( MCAH ). Datuk Seri Dr.KK Chai selaku Penasihat pertubuhan merangkap Pengasas syarikat KK SUPER MART serta Presiden bagi MCAH sentiasa berusaha bagi memastikan karnival kebajikan ini dianjurkan pada setiap tahun bermula pada tahun 2006. Hanya pada tahun 2021 dan tahun 2022 tiada sebarang aktiviti kebajikan diadakan sebagai langkah keselamatan ketika negara masih dalam suasana pandemik Covid - 19.




Sepanjang karnival pelbagai acara menarik dipersembahkan. Paling dinantikan ialah pengagihan angpau dan beg yang berisi penuh dengan makanan dan minuman kepada 1500 individu yang berdaftar dan layak. Persembahan daripada penyanyi Alaine Sim dan Elaine Lee yang menghiburkan penonton . Tidak kurang hebatnya persembahan Shaolin yang luar biasa oleh Shaolin Zen Material Art dan "Tarian 1 Malaysia" yang mempersona dari Aswara Malaysia telah melengkapkan karnival ini dengan elemen seni yang mengagumkan. 

Suasana lebih gamat melalui persembahan tarian singa yang memukau, memaparkan semangat perpaduan berbilang bangsa yang juga sinonim dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba. 



"Saya gembira dan terharu dengan apa yang dilihat pada malam ini. Kita boleh lihat kegembiraan di wajah penerima dan semua yang hadir. Terima kasih kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL ), PDRM, Alam Flora, RELA, Vendor, para penaja dan semua 250 sukarelawan dikalangan kakitangan KK SUPER MART dan persatuan yang bersatu hati merealisasikan kejayaan BB Charity pada malam ini. 


Harapan saya agar karnival kebajikan ini dapat diteruskan pada setiap tahun dan syarikat lain juga dialu-alukan untuk turut bekerjasama. Terima kasih jua kepada pihak media sentiasa ada bersama kami. Semoga kerjasama ini berterusan.


Antara tetamu yang hadir adalah Datuk Seri Michael Chong Ten Soo ( Penasihat Kelab Rela Kehormat & Bersekutu WP), Tuan Azharuddin bin Tukiman ( wakil RELA Dang Wangi ), YBhg The Most Ven. Chief Datuk K. Sri Dhammaratana ( Ketua Paderi Besar Buddha Malaysia) dan Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail ( Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan JAWI ).