Terkini | New

DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Berkenan Mencemar Duli Merasmikan Galeri Pelawat Siti Khadijah di Laman Khadijah, Nilai.

DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Berkenan Mencemar Duli Merasmikan Galeri Pelawat Siti Khadijah di Laman Khadijah, Nilai.


Laman Khadijah dengan penuh rasa hormat menerima keberangkatan rasmi Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, bagi merasmikan Majlis Perasmian Galeri Pelawat Siti Khadijah. Keberangkatan tiba DYMM Tunku
Ampuan Besar Negeri Sembilan bersama para tetamu kehormat dan kenamaan (VIP), telah disambut mesra oleh Puan Padzilah Enda Sulaiman, Pengasas Siti Khadijah; Encik Mohammad Munzir Aminuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group Sdn. Bhd.; bersama barisan kakitangan Enda Group Sdn. Bhd.




Sembah ucapan menjunjung kasih telah disampaikan oleh Encik Mohammad Munzir Aminuddin, sebagai tanda penghargaan atas limpah perkenan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, mencemar duli merasmikan Galeri Pelawat Siti Khadijah ini. Galeri yang berkonsepkan ‘One-Stop Centre’ ini merangkumi pelbagai elemen yang memperkayakan pengalaman pengunjung. 





Ia mempersembahkan kisah sejarah penubuhan dan perjalanan Siti Khadijah sepanjang 15 tahun, bagaimana sebuah jenama dengan permulaan yang sederhana berkembang menjadi ikon keanggunan, ketelitian dan kekuatan nilai tradisi. 




Antara tarikan utama di dalam Galeri ini termasuk ruang pameran rekaan bentuk muka telekung, makmal Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), dan sudut interaktif di mana pengunjung-pengunjung berpeluang merasai sendiri kualiti fabrik.




Kemuncak acara menyaksikan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, menyempurnakan upacara penyingkapan plak perasmian sebagai simbol pelancaran rasmi Galeri Pelawat Siti Khadijah. Seterusnya, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, berkenan meluangkan masa meninjau ruang galeri. 





Turut mengiringi DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, ke Galeri adalah paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-'Abidin ibni Tuanku Muhriz; Yang Mulia Che Puan Isteri Che Puan Anis binti Sobari, isteri YTM Tunku Besar Tampin, serta para tetamu kehormat dan kenamaan (VIP) yang lain. Encik Mohammad Munzir Aminuddin bertindak sebagai penyampai maklumat Galeri serta mengetuai lawatan ke kilang penghasilan telekung Siti Khadijah.

Majlis turut diserikan dengan demonstrasi eksklusif menjahit sejadah mini di ruangan ‘Experience Centre’ oleh kakitangan Siti Khadijah, Puan Zaidah Abu Bakar.




Demonstrasi ini memperlihatkan seni jahitan, iaitu satu kemahiran yang amat sinonim dengan identiti Siti Khadijah. DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan turut berkenan mencemar duli menyaksikan demonstrasi tersebut.


Jelas Encik Mohammad Munzir Aminuddin, “Siti Khadijah merupakan satu-satunya jenama tempatan dalam segmen pakaian ibadah dan produk gaya hidup yang menyediakan sebuah destinasi lawatan istimewa bagi memperkayakan pengalaman pengunjung dalam memahami warisan budaya, sejarah serta daya kreativiti anak tempatan. Kami percaya bahawa pengalaman yang dibawakan oleh galeri ini bukan sahaja mendekatkan para pengunjung dengan jenama Siti Khadijah, malah menjadi inspirasi kepada generasi usahawan tempatan pada masa hadapan.”




Pihak Enda Group Sdn. Bhd. juga menaruh harapan agar Galeri Pelawat ini dapat memberi nilai tambah kepada industri pelancongan Negeri Sembilan mahupun Malaysia secara keseluruhan.

Galeri Pelawat Siti Khadijah kini telah dibuka kepada orang awam setiap hari. Untuk tempahan slot, sila layari https://sitikhadijah.com/products/visitor-center-admission atau hubungi 013-365 0145.