Terkini | New

Konsert MAWAR 2025 Satukan Seni dan Spiritualiti Pada 10 Oktober 2025

Konsert MAWAR 2025 Satukan Seni dan Spiritualiti Pada 10 Oktober 2025


Yayasan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UKM dan Kengkawan Project akan mengadakan Konsert Malam Wakaf Rakyat 2025 (MAWAR 2025)  pada 10 Oktober 2025.


Mengangkat tema “Biarpun Nafasmu Terhenti, Pahalamu Terus Mengalir”, MAWAR 2025 mengetengahkan naratif menyentuh hati yang mengajak para penonton merenung makna kehidupan, kematian dan legasi amal yang berpanjangan.


Konsert yang menampilkan barisan artis dan personaliti terkenal seperti Datuk Ramli Sarip, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff, Lah Ahmad, Caliph Buskers, Vanidah Imran, Raihan, UNIC, Abby Fana, Dr PU Razi, Azhar Hilmi serta ramai lagi bakal diisi dengan gabungan tazkirah menyentuh kalbu, perkongsian kisah inspirasi, selawat yang mendamaikan, lakonan menggugah emosi serta persembahan nyanyian yang menjadikannya satu persembahan spiritual yang padat dan mendalam.




Konsert MAWAR 2025 lebih istimewa kerana merupakan konsert pertama seumpamanya di Malaysia yang menggunakan bahasa isyarat secara langsung sepanjang keseluruhan persembahan. Konsert ini meraikan dan mengiktiraf kehadiran komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran agar turut dapat menghayati setiap mesej dan emosi yang disampaikan.



MAWAR 2025 adalah lebih daripada sekadar hiburan, ia adalah sebuah ruang renungan dan seruan untuk menyuburkan amalan berwakaf dalam kalangan masyarakat yang menyatukan seni dan spiritualiti dalam bentuk yang halus namun bermakna.






Selain itu, konsert ini juga merupakan inovasi pendanaan wakaf baharu yang diteroka dalam usaha untuk meningkatkan kutipan wakaf di UKM yang digunakan bagi pelbagai tujuan kebajikan, pembangunan, pendidikan dan penyelidikan.



Tiket konsert yang bakal berlangsung pada 10 Oktober 2025 (Jumaat), di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM bermula jam 8:30 malam hingga 11:00 malam ini boleh dibeli melalui laman sesawang Ticket2u.com dengan harga bermula serendah RM49 sehingga RM199.


Setiap pembelian tiket adalah satu langkah ke arah menyumbang kepada dana wakaf dan menjadi sebahagian daripada amal jariah yang berpanjangan manfaatnya.

Untuk maklumat lanjut serta pembelian tiket, sila layari lawan sesawang Yayasan Canselor UKM ataupun media sosial rasmi Dana Wakaf Ilmu UKM(@DWIUKM).