Terkini | New

AEON Bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Cipta Malaysian Book Of Records

AEON Bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Cipta Malaysian Book Of Records Sempena Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2025


28 AEON Mall di seluruh negara telah melaksanakan Mall Walking ini dari 1hb sehingga 20hb September 2025 bagi menyokong gaya hidup sihat melalui Bulan Malaysia Sihat Sejahtera. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah menyempurnakan majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera 2025. 


Hasil Tinjauan Literasi Kesihatan (2023) mendapati tahap literasi rakyat Malaysia berada pada tahap Terhad: 27.05%, Mencukupi: 48.5% dan Cemerlang : 24.5%. Manakala, Indeks Hidup Sihat Malaysia (Malaysia Healthy Lifestyle Index) 2022 melaporkan 39% dewasa mencapai skor indeks di tahap rendah, 29% di tahap sederhana dan 32% di tahap tinggi.



Dalam usaha meningkatkan tahap literasi kesihatan rakyat Malaysia Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperkenalkan satu lagi inisiatif berimpak tinggi iaitu Pusat Beli-Belah Mesra Pembudayaan Hidup Sihat atau Healthy Living Mall bersempena Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan (BMSS) 2025. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan strategik ANMS yang memberi penekanan kepada penglibatan aktif sektor komersial dalam mempromosikan budaya hidup sihat. Tahun ini, pusat beli-belah diberi fokus sebagai platform utama, di samping pelaksanaan sambutan BMSS di peringkat agensi kerajaan, institusi pendidikan, dan komuniti setempat.



Inisiatif ini relevan dengan keperluan semasa, memandangkan pusat belibelah mencatatkan jumlah kehadiran yang tinggi merentasi pelbagai lapisan masyarakat – termasuk keluarga, remaja, golongan dewasa bekerja dan warga emas. Dengan lokasinya yang strategik dan mudah diakses, serta fungsinya yang telah berkembang daripada sekadar lokasi membeli-belah kepada ruang sosial, rekreasi dan budaya hidup sihat, pusat beli-belah mempunyai potensi besar sebagai medium bagi menyemai nilai-nilai kesihatan dalam kehidupan harian masyarakat.



Pusat Beli-belah Mesra Pembudayaan Hidup Sihat atau Healthy Living Mall merupakan fasiliti pusat beli-belah yang menyediakan persekitaran sihat untuk pengunjung beriadah, melakukan aktiviti fizikal, bebas daripada asap rokok dan menawarkan pilihan makanan yang sihat dan selamat, Pelaksanaan inisiatif ini disokong oleh pendekatan Sains Tingkah Laku (Behavioural Science) dan strategi "nudge", iaitu teknik yang mempengaruhi keputusan pengguna secara tidak langsung ke arah pilihan yang lebih sihat.


Healthy Living Mall ini merangkumi komponen:

a) Kekal Aktif- menyediakan sinage laluan berjalan, tempat permainan dan rekreasi, “healing space” bagi kesihatan mental yang positif serta mejalankan aktiviti berterusan seperti showcase dan aktiviti fizikal berkala.

b) Makanan sihat dan selamat- mempromosikan produk makanan dan minuman Healthier Choice Logo (HCL) dan pengusaha premis makanan yang memperolehi pengiktirafan bersih dan selamat (BeSS). Menyusun sayur-sayuran dan buah-buahan di pintu masuk bagi mempengaruhi pengunjung membeli buah dan sayur. Mempromosikan pilihan susu dan produk tenusu.

c) Bebas asap rokok berpandukan kepada Akta 852- Akta 852 merujuk kepada akta kawalan produk merokok bertujuan untuk melindungi orang awam khususnya golongan muda daripada bahaya produk merokok seperti rokok dan vape. Mengikut akta ini para pengunjung tidak boleh merokok di dalam dan sekitar pusat beli-belah dan perokok yang ingin merokok perlu ke kawasan 10 kaki atau 3 meter daripada bumbung terakhir pusat beli-belah;

d) Kitar semula- Pusat beli-belah AEON di seluruh negara bekerjasama dengan KKM untuk kitar semula E-waste seperti wayar dan perkakasan elektrik bersama sukarelawan MyCHAMPION yang berdaftar di bawah KKM. Hasil daripada kitar semula yang dikumpulkan akan digunakan oleh sukarelawan MyCHAMPION untuk manfaat komuniti.

e) Promosi Media - Pusat beli-belah mengoptimumkan platform media yang sedia ada dan melalui inisiatif ke arah meningkatkan pencarian maklumat kesihatan pengunjung. Contoh mesej kesihatan di lif/troli/platform media dan membuat jualan ‘healthy hour’ dan lain-lain.




Selain itu, Menteri Kesihatan juga menyeru agar pengusaha premis makanan dan minuman di pusat beli-belah menyokong usaha Kerajaan dalam meningkatkan pilihan sihat pengunjung dengan menyediakan makanan dan minuman yang lebih sihat. KKM berhasrat memperluaskan kerjasama strategik bersama pusat beli belah seluruh negara dalam menjadikan pusat beli-belah mesra pembudayaan hidup sihat atau Healthy Living Mall. 



AEON Mall Walking Challenge telah berlangsung dari 1 hingga 20 September di kesemua 28 pusat beli-belah AEON di seluruh negara. Cabaran ini menggalakkan setiap peserta untuk mencapai sekurang-kurangnya 10,000 langkah sehari di dalam pusat beli-belah dan mendapati Sambutan yang menggalakkan. Sepanjang 20 hari penganjuran, lebih daripada 2,000 peserta telah menyahut cabaran ini. Kejayaan ini membuktikan bahawa masyarakat kita semakin prihatin terhadap kepentingan menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri.Melalui kerjasama ini, AEON bukan sahaja dapat memberikan pengalaman membeli-belah yang terbaik kepada pelanggan kami, tetapi juga berpeluang memainkan peranan aktif dalam membina komuniti yang sihat dan sejahtera.


Inisiatif seperti ini sejajar dengan komitmen AEON untuk mempromosikan gaya hidup sihat melalui pelbagai aktiviti sukan dan riadah. Pusat beli-belah bukan sekadar tempat untuk berbelanja. Ia juga boleh menjadi ruang komuniti dan tempat kita berkumpul serta berinteraksi untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Selain memberikan peluang ini kepada komuniti setempat, AEON juga sentiasa menitikberatkan aspek kesihatan dan kesejahteraan seluruh warga AEON.



Kesihatan mereka adalah keutamaan kami kerana kami percaya bahawa warga kerja yang sihat dan cergas akan lebih focus dan seterusnya meningkatkan produktiviti kerja. Baru-baru ini, AEON telah melancarkan AEON Weight Loss Rally, sebuah program cabaran yang berlangsung dari Julai hingga November. Sepanjang tempoh ini, pelbagai aktiviti kesejahteraan diadakan bagi membantu warga AEON mencapai berat badan yang lebih sihat.



Pada bulan lepas pula, AEON menganjurkan Charity Run di Putrajaya – sebuah acara tahunan yang menggabungkan aktiviti riadah sambil beramal, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta sambil menyumbang kepada komuniti.

Dalam majlis ini, KKM turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Cabaran Langkah Sihat Putrajaya Antara Kementerian 2025 di Putrajaya melibatkan 13,445 penjawat awam bermula 13 Mei 2025 hingga 27 Mei 2025 sebagai satu inisiatif di bawah Putrajaya Sihat Sejahtera (PSS). 


#AEONMALL #AEONMallWalkingChallenge #SambutanBulanMalaysiaSihatSejahtera #mallwalk #malaysianbookofrecords