Terkini | New

Hanya Doa" Karya Ciptaan Awang Bpr Kini Kembali Menyentuh Hati Versi Mohderzam

Hanya Doa" Karya Ciptaan Awang Bpr  Kini Kembali Menyentuh Hati Versi Mohderzam


Awang BPR, komposer ‘otai’ dalam industri muzik yang popular dengan lagu-lagu ciptaannya seperti Segalanya Ku Terima (Illusi), Hanya Padamu (Qiara) & Umpama Mimpi Dalam Mimpi (Damasutra) kembali dengan suatu karya yang dinyanyikan semula oleh Mohderzam yang akan di pasarkan di Aceh dan Malaysia.

“Hanya Doa” adalah lagu nyanyian asal Achik Ukays yang membawakan karya ini pada tahun 2021. Apabila didengarkan kepada produser Mohderzam - Suryadi, beliau sangat meminati lagu ini dan berhasrat untuk merakamkan semula lagu ini versi Mohderzam sendiri dengan susunan baru yang sesuai dengan ‘trend’ di pasaran yang mahukan lagu-lagu galau.

Mohderzam berasal dari Suak Raya, Aceh. Beliau mula dikenali dengan kejayaan lagu Hanle Merindu pada tahun 2022 yang menjadi salah satu lagu hits di pasaran Aceh. Beliau mengukuhkan lagi nama dengan membawakan semula lagu legendaris Payong Hitam dengan sentuhan moden dan ianya mendapat sambutan hangat selain aktif dalam laman sosial seperti Instagram, TikTok mahupun Youtube.

Mohderzam berkata, "Suatu kebanggaan baginya atas kepercayaan untuk menyanyikan lagu ‘Hanya Doa’ ini yang memiliki makna erti yang sangat mendalam. Tambahan pula, lagu ini merupakan karya sentuhan Awang BPR, seorang komposer terkenal dalam industri muzik tanah air Malaysia’’. Lirik ‘Hanya Doa’ adalah hasil tulisan I.Kay.

Versi baharu ini dinyanyikan dengan jiwa dan nuansa Aceh oleh Mohderzam yang memiliki suara syahdu dan penuh emosi tanpa menghilangkan keaslian dan kekuatan mesej asalnya.

Awang BPR berkata "Irama dan lagu sentiasa seiringan. Kekuatan sebuah lagu adalah irama dan dendangan penyanyi yang bersatu dengan melodi lagu. Semoga ‘Hanya Doa’ menjadi sebuah lagu siulan semua pendengar dan sentiasa diputarkan di semua media sosial. 

Tahniah, Erzam. Dendangkanlah 'Hanya Doa' dengan jiwa dan keikhlasan. Biarkan ia sentiasa di sanubari semua pendengar. Itulah bezanya lagu yang 'bernyawa' bukan sekadar cuma bait-bait perkataan sahaja. Harapan kami semoga Erzam terus berjaya membawa 'Hanya Doa' menjadi sebuah lagu yang bernadi indah terpahat di jiwa semua peminat'' - jelas penulis lirik, I.Kay.

Sebagai sebuah label rakaman, Luncai Emas terbuka dengan apa-apa kerjasama yang boleh membuka ruang bagi karya muzik melintasi jambatan dan merentasi sempadan di luar Malaysia.

Muhammad Cut Adek, Pengarah Urusan dari label rakaman Haba Music yang beroperasi di Aceh mengakui, kehadiran Mohderzam di Malaysia menjadi satu batu loncatan yang baik di mana penyanyi kelahiran Aceh Barat ini mampu mengulangi sejarah P Ramlee dan Bob Rizal yang juga seniman berdarah Aceh.

Diharapkan dengan kerjasama ini, lagu “Hanya Doa” dapat diterima di kedua-dua negara itu seperti bagaimana karya tempatan lain yang popular , ciptaan komposer-komposer lain seperti M. Nasir, Pak Ngah, Saari Amri dan juga LY.

“Untuk video muzik lagu ‘Hanya Doa’, Mohderzam memilih lokasi penggambaran di Gampong Atong, Aceh Besar yang dikenali sebagai destinasi wisata sawah yang terkenal kerana pemandangan sawah hijau terasering dan jalan berkelok-keloknya yang pernah viral di media sosial. Masih ada beberapa single terbaru lainnya yang sudah digarap, Insya-Allah akan diluncurkan dalam tahun ini juga” akui Mohderzam.
Kerja rakaman audio & video telah dilakukan di Aceh, Indonesia. "Hanya Doa" versi Mohderzam telah dirilis di semua platform penstriman digital pada 10 Oktober manakala video muziknya di saluran YouTube Luncai Emas.