Magika Studios Tarikan Eko-pelancongan Dan Edutainment Baharu Di Selangor
Magika Studios Tarikan Eko-pelancongan Dan Edutainment Baharu Di Selangor
LLSB dan KRU Entertainment umum kerjasama strategik, pupuk kesedaran terhadap pemuliharaan Sungai Klang melalui kisah kreatif dan persembahan cahaya yang memukau
Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), pemaju induk projek Selangor Maritime Gateway (SMG), dan KRU Entertainment Sdn Bhd (KRUESB) hari ini mengumumkan kerjasama strategik bagi melancarkan pembangunan Magika Studios, sebuah destinasi eko-pelancongan dan didik-hibur terbaharu di Mangrove Point, Pelabuhan Klang.
Tarikan ini menggabungkan keindahan alam semula jadi, teknologi moden dan elemen penceritaan kreatif bagi meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan Sungai Klang.


Terletak di kawasan Mangrove Point seluas 70 ekar, yang merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Raja Lumu, Magika Studios bakal menjadi tarikan unik yang mempamerkan keindahan hutan paya bakau serta mempromosikan nilai kelestarian melalui hiburan dan pendidikan.


Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan berasaskan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) di bawah SMG, yang menekankan penggunaan teknologi dan hiburan sebagai medium pendidikan alam sekitar kepada masyarakat. Ia menonjolkan bagaimana pembangunan mampan dapat diwujudkan selaras dengan pemeliharaan ekosistem semula jadi, sekali gus menjadikan Sungai Klang bukan sekadar sungai yang dipulihkan, tetapi nadi baharu kepada ekonomi hijau dan pelancongan negeri.


Melalui persembahan cahaya imersif dan penceritaan kreatif menggunakan watak-watak dongeng tempatan, Magika Studios dibangunkan dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap inisiatif LLSB sebagai agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab memulihkan dan memelihara ekosistem Sungai Klang.

Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin berkata, “Pembangunan Magika Studios merupakan satu pencapaian penting di bawah Fasa II Pelan Pembangunan Selangor Maritime Gateway (SMG) iaitu Pembangunan Berdaya Impak (2024–2030), yang bertujuan untuk merealisasikan potensi ekonomi melalui usaha pemuliharaan dan pembangunan mampan di sepanjang Sungai Klang.”
“Projek ini mencerminkan komitmen kami terhadap prinsip ESG, khususnya dalam memperkukuh kesedaran awam tentang pemuliharaan alam sekitar melalui pendidikan kreatif dan pelancongan bertanggungjawab.
Dengan menggabungkan elemen alam semula jadi, inovasi dan penceritaan, Magika Studios bukan sahaja dapat meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap pemuliharaan sungai, malah merangsang aktiviti ekonomi dan pelancongan di Selangor, menjadikan Sungai Klang lambang kelestarian dan kebanggaan negeri.”


Antara tarikan utama yang ditawarkan termasuk:
i. Persembahan “animatronics” dan audio visual yang menghidupkan watak-watak dongeng tempatan dan mesej pemeliharaan alam sekitar;
ii. Pencahayaan ‘immersive’ di hutan paya bakau;
iii. Pameran untuk memupuk perasaan sayang terhadap haiwan;
iv. Aktiviti lawatan berpandu di sepanjang 1 kilometer ‘boardwalk’ untuk menikmati keindahan hutan paya bakau dan hidupan liar di habitat semula jadi.
v. Aktiviti sungai dan air untuk pelancong dan komuniti setempat.
Dengan jarak hanya 30 minit dari Kuala Lumpur, Magika Studios dijangka menjadi produk pelancongan baharu Selangor yang akan menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa, seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.



Tambah Syaiful Azmen, “Melalui kerjasama dengan KRU Entertainment, kami memperkenalkan bentuk pelancongan sungai yang baharu, menggabungkan hiburan, pendidikan alam sekitar, dan penglibatan komuniti. Sungai Klang kini menjadi simbol kebanggaan dan inspirasi rakyat Selangor.”
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment Sdn Bhd, Dato’ Norman Abdul Halim, pula berkata, “Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor dan LLSB atas peluang merealisasikan visi kami untuk mengadaptasi pengalaman sinematik filem Magika, yang telah memenangi pelbagai anugerah sebelum ini, kepada tarikan taman tema berbentuk didik-hibur. Kerjasama ini membolehkan kami menggabungkan kepakaran dalam bidang hiburan dan teknologi digital dengan aspirasi LLSB untuk memupuk kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar.”


“Magika Studios akan menjadi platform di mana kreativiti, pendidikan dan kelestarian disatukan, menghasilkan pengalaman unik kepada pengunjung sambil menyampaikan mesej penting tentang penjagaan sungai dan alam semula jadi. Inisiatif ini membuktikan bahawa pembangunan mampan boleh diwujudkan melalui pendekatan kreatif yang memberikan manfaat kepada alam sekitar, masyarakat dan ekonomi. Kami percaya bahawa projek ini bukan sahaja mendekatkan masyarakat dengan Sungai Klang, tetapi juga membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, pendidikan dan ekonomi hijau.”




Majlis pengumuman hari ini menandakan permulaan kepada pembangunan penuh Magika Studios, yang dijangka dibuka secara rasmi pada pertengahan tahun 2026. Inisiatif ini memperkukuh pelaksanaan projek Selangor Maritime Gateway ke arah pembangunan berimpak tinggi yang menyeimbangkan kemajuan ekonomi dan kemampanan alam sekitar, selaras dengan visi menjadikan Sungai Klang sebagai sungai yang lestari dan berdaya huni di Malaysia.
