Exists Memento Mori Bersama Lagu Ikonik Manifestasi Langkah Seiringan Tujuh Anggota Utama Exists Pada 1 Ogos 2026.
Exists Memento Mori Bersama Lagu Ikonik Manifestasi Langkah Seiringan Tujuh Anggota Utama Exists Pada 1 Ogos 2026.
Diam Exists umpama DIAMMU GUNUNG BERAPI. Maka meminjam semangat kewujudan Exists yang bertahan sejak 35 tahun silam, sebuah konsert dengan judul Konsert Exists Memento Mori direncana buat kugiran legenda dunia hiburan Nusantara.
Memento Mori adalah frasa Latin yang mengangkat falsafah menghargai setiap saat dalam kehidupan dengan baik. Justeru dengan perjalanan dan roller coaster Exists sejak Untukmu Ibu menjadi fenomena sehingga karier redup sekejap kerana peredaran dan pasaran muzik sebelum kembali memikat hati penggemar dengan karya berkualiti yang bersifat malar segar, maka Exists Memento Mori menjadi manifestasi terbaharu buat mereka.


Bakal dianjurkan pada 1 Ogos 2026, Exists Memento Mori akan dilaksanakan di Unifi Area Kuala Lumpur bermula pukul 8.30 malam. Merupakan konsert berskala besar selepas kali terakhir menerusi Konsert Exists Reunion in 2019 di Shah Alam, Selangor dan Singapura, Exists Memento Mori kembali menggabungkan anggota asal Exists iaitu Ajai, Shah, Ujang, Along, Musa bersama dua vokalis mereka, Mamat dan Ezad.
Sebagai penganjur, ICON Entertainment menyifatkan Exists Memento Mori sebagai penganjuran untuk merayakan dan memperingati semangat Exists yang tidak pernah luntur, apa lagi MENCARI ALASAN untuk meninggalkan industri hiburan tanpa legasi yang baik.
“Mengekalkan usia 35 tahun dalam industri hiburan terutama beberapa dekad kebelakangan ini dengan pasaran yang tidak menentu bukan hal yang mudah. Tapi Exists, seperti maksud namanya wujud, kekal bertahan meski sempat redup kemudian menjadi relevan semula dalam pasaran bukan hanya kerana sikap tetapi karya-karya berkualiti yang pernah dihasilkan sebelum ini. Justeru ICON Entertainment sangat berbesar hati membawakan Exists Memento Mori pada 1 0gos 2026 ini di Unifi Area sebagai apresiasi dan menghargai setiap momen yang pernah dan sedang Exists hadirkan kepada peminat muzik di Nusantara,” ujar Iman Tang dari Icon Entertainment.


Meski sedar beberapa tahun kebelakangan ini Exists kerap muncul dengan persembahan panggung atau konsert, namun Iman memberi jaminan bahawa Exists Memento Mori sebagai ANUGERAH terhebat buat peminat kugiran ini apabila semua lagu yang akan dipersembahkan bersifat ‘sing along’.
“Kenapa kami kata Exists Memento Mori sebagai ANUGERAH adalah kerana ia menggabungkan kesemua anggota asal Exists Musa, Along, Shah, Ujang, Ajai bersama vokalis pertama, Mamat dan vokalis yang meneruskan perjuangan kugiran ini pada fasa baharu iaitu Ezad yang telah lama tidak sepanggung sebagai Exists.
“Dengan tujuh pemuzik yang mempunyai pengalaman cukup luas dalam industri, sementelah lagu-lagu Exists sendiri sudah DIRANTAI DIGELANGI RINDU dalam hati peminat, kami percaya Exists Memento Mori yang akan berlangsung pada 1 Ogos 2026 di Unifi Arena sebagai sebuah penganjuran wajib untuk mengingatkan peminat bahawa berapa lama atau berdekad pun Exists menjadi pemain industry, atau ada generasi baharu yang ingin berkenalan dengan Exists, mereka adalah salah sebuah kugiran terbaik yang pernah lahir di Malaysia,” kata Iman lagi.

Sementara itu, mewakili Exists, Along menyifatkan Exists Memento Mori sebagai persembahan berskala besar dengan tujuh ‘kepala’ yang telah membuat Exists meledak menerusi perkongsian kreativiti masing-masing.
“Selain menerima bantuan komposer dan pengurus yang cukup mahir dalam selok-belok indutsri hiburan selama ini, Exists kekal wujud selama berdekad-dekad kerana setiap anggota memainkan peranan penting serta tidak pernah berputus asa menjadi pemain industri. Malah, walaupun ada dalam kalangan anggota Exists yang keluar lalu menubuhkan kumpulan lain atau Exists berdepan kontroversi terkait vokalis, semua anggota menghormati satu sama lain. Kami letakkan perbezaan pendapat dan peribadi di luar konteks pekerjaan sebagai pemuzik. Maka demi menghargai setiap momen hebat yang telah kami lalu, Exists Memento Mori adalah menifestasi perjalanan dan perjuangan kami selama ini. Kali ini bertujuh, bersama ‘kepala-kepala’ yang telah mewujudkan Exists menerusi kepercayaan masing-masing,” ujar Along.
“Wujud dalam nyata, senyap diamnya mengeriap ke dalam minda akhirnya,” tambah Musa.


Untuk itu, tiket Konsert Exists Memento Mori dengan kategori RM 228 (UNTUKMU IBU), RM288 (MENCARI ALASAN), RM328 (LANGKAH SEIRINGAN), RM388 (SEPERTI DULU), RM428 (RAHSIA POHON CEMARA) dan RM 488 (PERCAYAKAN SITI) serta RM 5000 (JESNITA- sofa couple: seat) boleh dibeli bermula 30 April pukul 11 pagi diwww.ticket2u.com.my/ExistsMori .
Percayakan ICON Entertainment, Exists Memento Mori pada 1 Ogos ini bukan sekadar sebuah persembahan MENGINTAI DARI TIRAI KAMAR tapi akan menjadi LANGKAH SEIRINGAN merayakan momen-momen nostalgia dan akan datang dengan penuh BUNGA.
INFORMASI EXISTS MEMENTO MORI
ACARA: EXISTS MEMENTO MORI
ARTIS: EXISTS (ALONG, UJANG, MUSA, AJAI, SHAH, MAMAT & EZAD)
TARIKH: 1 OGOS 2026
LOKASI: UNIFI ARENA BUKIT JALIL
WAKTU: 8.30 MALAM
PENGANJUR: ICON ENTERTAINMENT
TARIKH MULA PEMBELIAN: 30 APRIL, 11 PAGI
