Terkini | New

Percikan Joy Splash di Zepp Kuala Lumpur Hangat

Percikan Joy Splash di Zepp Kuala Lumpur Hangat


Sesuai dengan nama konsert solo pertama Joy, 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH), siri jelajah yang menyaksikan Joy singgah ke Malaysia tepatnya di Zepp Kuala Lumpur pada 25 April lalu telah meninggalkan percikan sensasi dan cukup mengujakan buat ReVeluvs.

2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH) malah menjadi lebih bermakna kerana ia hanya bukan sekadar sebuah persembahan pentas, tetapi menjadi medan pertemuan intim buat si idola bersama ReVeluvs yang menanti kehadirannya sejak sekian lama.

Tidak mengecewakan, Joy yang membuka ‘pesta percikan cinta’ terhadap peminat dengan lagu Hello telah memberi penampilan terbaik di hadapan di lebih 1,500 Reveluvs.



Ruang Zepp Kuala Lumpur terus ‘dibasahi’ percikan persembahan yang konsisten daripada Joy apabila hit seperti Je T’aime dan La Vie En Bleu disampaikan sebelum menghangatkan malam dengan beberapa siri lagu yang diambil menerusi runut bunyi K Drama termasuk Introduce Me a Good Person, My Lips Like Warm Coffee, Yeowooya dan Shiny Boy.

Tentu sahaja pemilihan lagu dengan persembahan penuh energi Joy membuat peminat tidak keruan. Apa lagi saat Joy atau nama sebenarnya, Park Soo-young menyapa Reveluvs mesra dan melahirkan kerinduan kepada mereka.

“Saya sangat merindui anda semua. Sangat hebat dapat berkumpul dan bertemu kembali seperti ini,” ujarnya.

Percikan sensasi Joy juga dapat dirasakan menerusi bakat tariannya yang mendapat sambutan luar biasa. Aksi tarian Joy menerusi lagu Red Flavor, Feel My Rhythm dan Peek-a-Boo telah mengisi kerinduan peminat terhadap hit Red Velvet.


Pertemuan Joy dan ReVeluvs menjadi intim dan peribadi apabila wanita membaca surat yang ditulis kepadanya. Salah seorang peminat secara terbuka mengaku berasa ‘selamat’ daripada masalah anxiety selepas ‘berkenalan’ dan menikmati karya Joy.

“Karya anda membuat saya rasa selamat dan menyentuh hati,” ujar Joy yang menerima jeritan peminat selepas membaca isi surat tersebut.

Dan momen emas yang sentiasa dinantikan peminat adalah pada segmen interaktif apabila Joy membuat persembahan secara acapela menerusi lagu Ice Cream Cake yang menyaksikan ‘kolaborasi’ Joy dan ReVeluvs. Malam Joy Splash juga menjadi semakin indah apabila bintang itu turut melengkapkan persembahan dengan Love Splash, Day by Day, Happy Birthday tp You dan Scent of Green.


Malah segmen Joy ‘berbalas’ pesanan dan kasih sayang termasuk permainan teka lukisan bersama ReVeluvs mengisi matlamat penghibur itu untuk mendekati peminat bukan hanya sebagai penyanyi tetapi sebagai idola yang melakukan komunikasi dua hala bersama mereka.

“Saya sangat gembira hari ini, terima kasih banyak! Melihat anda semua berkongsi momen manis dan menikmati Joy Splash membuatkan saya telah melakukan keputusan yang tepat dengan siri jelajah ini,” ujar Joy.

Kata-kata ucapan tersebut melengkapkan encore Joy Splash dengan hit popular yang menjadi kegemaran peminat selama ini daripada Red Velvet termasuk Zimzalabim dan You Better Know serta Hello.

Puas Hati, Mahu Lihat Red Velvet Bergabung

Sebelum hadir dengan Joy Splash, Joy dan anggota Red Velvet telah menghiburkan peminat pada tahun lepas.

Pada bulan September lalu, Irene dan Seulgi mengadakan ‘‘BALANCE World Tour’ di Mega Star Arena, manakala pada bulan Disember, Wendy membawanya jelajah ‘W: EALIVE’ ke Zepp Kuala Lumpur dengan kedua-duanya tidak kalah memberi persembahan yang cukup energatik dan meninggalkan kenangan manis buat ReVeluvs.


Justeru, ramai ReVeluvs yang memasang impian untuk melihat Red Velvet kembali bersatu melakukan persembahan secara berkumpulan selepas usai dengan siri jelajah dan aktiviti solo masing-masing.