Terkini | New

PAPUH Anjur Karnival Pelancongan Islam Papuh Muslim Travel Fair 2026 Bagi Memperkasa Industri Pelancongan Sah Dan Melindungi Pengguna

PAPUH Anjur Karnival Pelancongan Islam Papuh Muslim Travel Fair 2026 Bagi Memperkasa Industri Pelancongan Sah Dan Melindungi Pengguna

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) akan menganjurkan Karnival Pelancongan Islam PAPUH Muslim Travel Fair 2026 pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam.


Penganjuran karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan perkhidmatan pelancongan, Umrah dan Haji daripada syarikat pelancongan yang berdaftar, berlesen dan sah di sisi undang-undang. Sejak kebelakangan ini, pelbagai kes penipuan pakej pelancongan dan umrah terus dilaporkan, melibatkan kerugian jutaan ringgit serta menjejaskan impian ramai rakyat Malaysia untuk menunaikan ibadah dan melancong dengan selamat.


Selain menawarkan pelbagai pakej umrah, haji, pelancongan domestik dan antarabangsa, karnival ini turut menyediakan sesi perkongsian ilmu, konsultasi pelancongan, promosi istimewa serta peluang kepada pengguna untuk memahami hak mereka sebagai pelanggan.



Majlis pelancaran dan sidang media ini telah dihadiri oleh Dato' Sri Haji Razali bin Mohd Sham, Presiden PAPUH merangkap Pengerusi Karnival Pelancongan lslam PAPUH Muslim Travel Fair 2026, bersama Tuan Haji Muhammad Mursyid Abu Hassan, Naib Presiden PAPUH (Kebajikan & Keusahawanan) merangkap Timbalan Pengerusi Karival, serta Encik Hafeezuddin Abdul Razak, Pengurus Besar PAPUH Sdn. Bhd. merangkap Ketua Sekretariat Karnival.

Menurut Dato' Sri Haji Razali, "Karnival ini bukan sekadar platform jualan, tetapi juga satu usaha pendidikan kepada masyarakat. Kami mahu pengguna lebih peka dalam memilih agensi Pelancongan yang berlesen dan berdaftar bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan yang semakin berleluasa."

Beliau turut menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati terhadap tawaran pakej yang terlalu murah dan tidak munasabah. "Dalam keadaan kos operasi industri pelancongan yang terus meningkat termasuk kos hotel, bahan api, tiket penerbangan dan kos berkaitan lain, pengguna perlu lebih berhati-hati dengan tawaran pakej yang terlalu murah. Jika harga yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa, pengguna perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran."

Selain itu, penganjuran karnival ini juga bertujuan memperkukuhkan ekosistem pelancongan Islam dan pelancongan mesra Muslim di Malaysia, selain menyediakan platform terbaik kepada pemain industri untuk mempromosikan produk, perkhidmatan serta destinasi pelancongan dalam dan luar negara kepada masyarakat umum.


Menurut beliau lagi, karnival ini dijangka menjadi antara acara pelancongan Islam terbesar di Selangor yang menghimpunkan agensi pelancongan, pengendali umrah dan haji.

Pemilihan Kompleks PKNS Shah Alam sebagai lokasi penganjuran adalah sejajar dengar matlamat PAPUH untuk mendekatkan industri pelancongan kepada pengguna melalui lokasi yang nenjadi tumpuan harian pengunjung dan keluarga. Konsep ini membolehkan para peserta pameran berinteraksi secara terus dengan pengguna sekali gus meningkatkan kesedaran serta keyakinan terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.



Penganjuran di Shah Alam ini juga merupakan permulaan kepada siri jelajah nasional PAPUH Muslim Travel Fair Roadshow yang akan diperluaskan ke beberapa pusat membeli-belah utama di seluruh negara selepas tamat program di Selangor.

Antara negeri yang telah dikenal pasti untuk siri jelajah seterusnya ialah Johor, Melaka, Perak, Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak dengan objektif memperluaskan capaian industri pelancongan Islam kepada masyarakat di setiap wilayah.


Pendekatan ini akan mewujudkan satu ekosistem pemasaran yang lebih efektif dan berterusan kepada penggiat industri pelancongan, selain memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat terkini, pakej promosi khas serta berinteraksi secara langsung dengan syarikat-syarikat pelancongan yang sah dan berdaftar. 

Ia mampu memperkukuhkan hubungan antara industri dan pengguna, Pendekatan ini juga diyakini selain menjadikan maklumat berkaitan umrah, haji dan pelancongan Islam lebih mudah diakses oleh masyarakat setempat.  

Semua rakyat Malaysia di jemput hadir memeriahkan Karnival Pelancongan Islam Papuh Muslim Travel Fair 2026 kali ini.