Transformasi Tandas Awam Kl Art Toilets Kini Mewarnai Ibu Kota
Transformasi Tandas Awam Kl Art Toilets Kini Mewarnai Ibu Kota

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini membawakan pendekatan inovatif melalui pengenalan Tandas Kompak Seni Kuala Lumpur atau KL Art Toilets di bawah program Art in the City. Inisiatif ini menyaksikan transformasi tandas awam kompak di tepi jalan dengan menggabungkan elemen seni, reka bentuk moden, fungsi, dan kelestarian demi memperkukuh identiti visual Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya kreatif dan berdaya huni.

Menariknya, projek perintis yang terletak di Plaza Batik ini direka oleh arkitek muda tempatan dengan saiz kompak menyamai satu petak parkir sahaja, namun tetap mengutamakan aspek keselesaan, keselamatan, pengudaraan semula jadi, serta dilengkapi akses mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Sidang media pelancaran inisiatif ini telah dihadiri oleh YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur; serta YBrs. Encik Shamshul Joehari Zainal Mokhtar, Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL. Dalam majlis tersebut, YB Hannah Yeoh menekankan bahawa transformasi bandar dapat dipercepatkan apabila kerajaan dan sektor swasta berganding bahu untuk memberikan impak yang nyata kepada rakyat. Usaha murni ini akan diperluaskan lagi ke beberapa lokasi tumpuan awam lain termasuk kawasan Jalan Masjid India dan Jalan Saloma.
Melalui kerjasama berimpak tinggi seperti ini, DBKL bakal meneroka lebih banyak penambahbaikan kemudahan kota pada masa akan datang termasuklah perabot jalanan, hentian bas yang lebih selesa, serta penghasilan mural yang akan terus memperindah dan menghidupkan semula karakter ibu kota tercinta. Sama-sama kita nantikan dan jaga kemudahan awam kita dengan baik.