Terkini | New

Mercure Living Putrajaya Rai Ulang Tahun Ke-4 Perkenal Pengalaman "Discover Local" kepada Tetamu Korporat dan Kerajaan

Mercure Living Putrajaya Rai Ulang Tahun Ke-4 Perkenal Pengalaman "Discover Local" kepada Tetamu Korporat dan Kerajaan


Mercure Living Putrajaya terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan bagi penginapan, mesyuarat, acara korporat dan pengalaman gastronomi di Putrajaya menerusi penganjuran Sesi Libat Urus Bersama Tetamu Korporat Kerajaan dan Rakan Media sempena sambutan ulang tahun ke-4 hotel. Program ini menjadi platform bagi memperkenalkan hala tuju baharu hotel yang berteraskan konsep "Discover Local", selari dengan identiti jenama Mercure di bawah Accor yang mengetengahkan keunikan budaya, komuniti dan cita rasa tempatan.

​Majlis yang berlangsung di Infinity Hall, Mercure Living Putrajaya menghimpunkan wakil kementerian, agensi kerajaan, pelanggan korporat, rakan strategik serta pengamal media bagi meraikan pencapaian hotel sepanjang empat tahun beroperasi, di samping memperkenalkan pelbagai penawaran baharu yang bakal memperkayakan pengalaman tetamu.


​Terletak di lokasi strategik di tengah-tengah Putrajaya, Mercure Living Putrajaya menawarkan konsep hotel apartmen moden yang menampilkan unit penginapan yang luas dan selesa, menjadikannya pilihan ideal bagi pengembara perniagaan, keluarga mahupun tetamu yang menginap untuk tempoh lebih panjang. Kemudahan mesyuarat yang lengkap, dewan acara yang moden serta akses mudah ke pusat pentadbiran kerajaan dan kawasan komersial turut menjadikan hotel ini antara destinasi utama bagi segmen korporat dan kerajaan.



​Selain kemudahan penginapan, Mercure Living Putrajaya turut dikenali menerusi Volcano Shabu-Shabu & Grill, sebuah restoran yang menawarkan pengalaman bufet bertema dengan gabungan hidangan tempatan dan antarabangsa. Konsep makan yang interaktif bersama pilihan shabu-shabu dan sajian bufet kreatif memberikan pengalaman gastronomi yang unik kepada para tetamu, sekali gus menjadi antara tarikan utama hotel.

​Sempena ulang tahun ke-4 ini, Mercure Living Putrajaya memperkenalkan siri Thematic Buffet & Tea Break yang diinspirasikan daripada konsep "Discover Local". Inisiatif ini mengetengahkan pengalaman kulinari yang lebih kreatif dan relevan dengan kehendak pelanggan korporat melalui pilihan seperti Healthy Tea Break, Sports Tea Break dan Muhibbah Tea Break, yang menggabungkan elemen kesihatan, gaya hidup aktif serta kepelbagaian budaya Malaysia dalam setiap hidangan.



Sebagai bahagian daripada usaha memperkasa komuniti setempat, hotel turut bekerjasama dengan pengusaha tempatan bagi mengetengahkan produk-produk gastronomi beridentiti Malaysia. Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah penggunaan pemanis mulut berasaskan madu kelulut, yang bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pengalaman kulinari tetamu, malah menyokong kelestarian perusahaan tempatan serta mempromosikan khazanah makanan Malaysia kepada pelancong domestik dan antarabangsa.



​Menurut Pengurus Besar Mercure Living Putrajaya, Wan Enderi Mohd Saad, konsep "Discover Local" bukan sekadar menawarkan hidangan tempatan, malah merupakan komitmen hotel dalam menghubungkan tetamu dengan budaya, komuniti dan warisan Malaysia melalui pengalaman hospitaliti yang autentik.

"Di Mercure Living Putrajaya, kami percaya setiap destinasi mempunyai cerita tersendiri. Melalui konsep 'Discover Local', kami mahu setiap tetamu bukan sahaja menikmati penginapan yang selesa, malah membawa pulang pengalaman yang lebih bermakna melalui cita rasa tempatan, kerjasama bersama komuniti serta budaya Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian. Sambutan ulang tahun ke-4 ini mencerminkan komitmen kami untuk terus berinovasi dalam memberikan pengalaman yang lebih bernilai kepada setiap tetamu," katanya.


​Pada majlis yang sama, Mercure Living Putrajaya turut memperkenalkan Nurtaj Spa & Beauty, kemudahan spa terbaharu hotel yang terletak di Aras 3. Spa ini menawarkan pengalaman kesejahteraan yang diinspirasikan daripada warisan urutan tradisional Malaysia menerusi enam pilihan terapi utama yang menggabungkan teknik urutan tempatan bersama rawatan Deep Tissue Massage, bagi memenuhi keperluan tetamu yang mengutamakan kesihatan fizikal dan keseimbangan minda.





​Selain menawarkan pengalaman spa yang autentik, spa ini turut menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila dianugerahkan Best Muslim Friendly Spa & Beauty di World Islamic Tourism Awards, sekali gus mengukuhkan komitmen hotel dalam menyediakan pengalaman kesejahteraan yang memenuhi keperluan pelancong Muslim tanpa mengabaikan standard hospitaliti bertaraf antarabangsa.

​Sambutan ulang tahun ke-4 Mercure Living Putrajaya bukan sahaja meraikan perjalanan hotel sepanjang empat tahun, malah menandakan permulaan kepada pelbagai inisiatif baharu yang memfokuskan kepada pengalaman tetamu, penglibatan komuniti dan pembangunan gastronomi tempatan. Melalui konsep "Discover Local", Mercure Living Putrajaya komited untuk terus menjadi destinasi pilihan bagi pengembara perniagaan, pelancong domestik dan antarabangsa yang mencari pengalaman hospitaliti yang autentik, berkualiti dan berinspirasikan identiti Malaysia.