Terkini | New

Midea Bekerjasama dengan 99 Speed Mart bagi Meningkatkan Kebolehcapaian Barangan Elektrik Rumah Berkualiti di Seluruh Malaysia

Midea Bekerjasama dengan 99 Speed Mart bagi Meningkatkan Kebolehcapaian Barangan Elektrik Rumah Berkualiti di Seluruh Malaysia

Kerjasama strategik meluaskan jangkauan Midea ke lebih 3,100 cawangan di seluruh negara

Midea, pemaju global dalam barangan elektrik rumah pintar, sedang meluaskan rangkaian peruncitannya di Malaysia menerusi kerjasama strategik bersama 99 Speed Mart Sdn Bhd (“99 Speed Mart”), rangkaian pasar mini terbesar di negara ini, sekali gus menjadikan barangan elektrik rumah terbaharunya lebih mudah dicapai oleh pengguna di seluruh negara. Kerjasama ini dimeterai secara rasmi melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Midea dan 99 Speed Mart, yang menandakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang jenama itu di Malaysia.

​Mewakili Midea pada majlis penandatanganan MoU tersebut ialah Mark Tam, Pengarah Urusan Midea Malaysia dengan Zeal Jiang, Presiden Rantau Asia Pasifik (APAC) Midea Group bertindak sebagai saksi; manakala 99 Speed Mart diwakili oleh Encik Yong Eng Kwang, Ketua Pegawai Operasi dan Encik Lee Thiam Wah, Pengarah Eksekutif dan CEO bertindak sebagai saksi. Kerjasama ini menyusuli perluasan rangkaian peruncitan khusus Midea melalui pelancaran 18 Kedai Jenama Midea di seluruh negara pada tahun lalu. Secara gabungannya, saluran-saluran ini mengukuhkan kehadiran pasaran jenama tersebut dan memberikan akses yang lebih mudah kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk mendapatkan pelbagai barangan elektrik rumah Midea yang semakin berkembang.

​“Bagi pengguna, rangkaian peruncitan yang diperluaskan ini bermakna akses yang lebih mudah kepada teknologi terbaharu Midea, terutamanya barangan elektrik rumah seperti pengisar, cerek elektrik, periuk nasi, kipas, pemanggang roti, ketuhar pemanggang, pembersih vakum dan dapur gas,” kata Mark Tam, Pengarah Urusan Midea Malaysia. “Dengan bekerjasama bersama 99 Speed Mart, Midea mendapat akses kepada salah satu rangkaian peruncitan paling meluas di Malaysia, membolehkan jenama ini menjangkau lebih banyak kejiranan dan berkhidmat kepada pengguna di tempat mereka tinggal dan berbelanja, selaras dengan slogan 99 Speed Mart ‘Near n’ Save’. Langkah ini melengkapi kedai jenama dan rangkaian pengedar sah Midea sedia ada, seterusnya mencipta lebih banyak titik sentuhan untuk pelanggan meneroka, merasai dan membeli produk-produknya.”



“Kerjasama dengan Midea ini menandakan satu pencapaian penting buat 99 Speed Mart kerana kami berkembang melangkaui penawaran produk tradisional kami untuk dibawakan penyelesaian barangan elektrik rumah yang diyakini kepada pelanggan di seluruh Malaysia,” kata pengasas dan CEO rangkaian pasar mini itu, Lee Thiam Wah. “Sebagai rangkaian pasar mini terbesar di negara ini, kami sentiasa mencari jalan untuk berkhidmat dengan lebih baik bagi memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia, dan kerjasama ini membolehkan kami menawarkan kemudahan yang lebih besar dengan menjadikan barangan elektrik rumah berkualiti lebih mudah dicapai melalui rangkaian kami di seluruh negara.”


​Kerjasama ini turut menyokong aspirasi pertumbuhan Midea yang lebih luas di rantau ini. Pada Persidangan Pengedar Asia Pasifik di Bali akhir tahun lalu, syarikat itu melancarkan visi Power of One, sebuah strategi yang menghimpunkan inovasi produk, perluasan peruncitan dan pengalaman pelanggan di bawah satu agenda pertumbuhan bersatu. Meluaskan kehadiran peruncitannya di Malaysia merupakan langkah utama ke arah mencapai sasaran jualan yang digariskan di bawah visi tersebut.

​Kerjasama ini mencerminkan pelaburan berterusan Midea di Malaysia serta komitmennya untuk menyediakan barangan elektrik rumah yang inovatif dan cekap tenaga secara lebih meluas. Memandangkan permintaan pengguna semakin meningkat untuk produk yang lebih pintar, mampan dan lebih sesuai dengan kehidupan moden, Midea mengukuhkan keupayaannya untuk memenuhi harapan tersebut melalui kehadiran peruncitan yang lebih luas dan mudah dicapai.

​Bermula hari ini, pelanggan di cawangan 99 Speed Mart seluruh negara akan dapat membeli pilihan barangan elektrik rumah kecil Midea.

Rangkaian produk penuh yang boleh didapati di cawangan 99 Speed Mart seluruh Malaysia: 

Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.midea.com/my