Terkini | New

SIDANG MEDIA FESTIVAL FILEM MALAYSIA KE-35: ISTANA BUDAYA RAKAN KERJASAMA STRATEGIK FFM35

SIDANG MEDIA FESTIVAL FILEM MALAYSIA KE-35: ISTANA BUDAYA RAKAN KERJASAMA STRATEGIK FFM35


Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) dilancarkan oleh YBhg. Datuk Bahria Mohd Tamil, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi. Festival yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan sokongan Kementerian Komunikasi merupakan platform pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap kecemerlangan, mutu serta profesionalisme penggiat industri perfileman tempatan. Sebanyak 30 kategori dipertandingkan di FFM35. Semua penerbit dan penggiat industri diundang mengemukakan penyertaan bagi FFM35 mulai 29 Julai hingga 11 Ogos 2026.

Mengangkat tema “Spektrum Sinema”, FFM35 menampilkan kepelbagaian warna, perspektif, idea dan kreativiti dalam dunia perfileman tanah air yang merangkumi pelbagai genre, budaya, teknologi serta bakat tempatan. Tema ini turut mencerminkan peranan filem sebagai medium perpaduan nasional dan wadah untuk mengangkat karya tempatan ke peringkat antarabangsa.

Istana Budaya berbesar hati dipilih menjadi lokasi penganjuran Malam Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 21 November 2026 tanda kepercayaan kepada satu-satunya Panggung Negara Malaysia.

Kerjasama strategik ini memperlihatkan komitmen berterusan Istana Budaya dalam memperkasa industri kreatif negara serta menyokong perkembangan seni dan budaya melalui jaringan kerjasama bersama pemain industri kreatif tanah air.

#IstanaBudaya #FFM35 #PentasBertarafDunia #MalaysiaMADANI #taatsetia