Terkini | New

RHB PAMER LEBIH 80 KARYA SENI OLEH 66 ARTIS DI PAMERAN ART WITH HEART KE-7

RHB PAMER LEBIH 80 KARYA SENI OLEH 66 ARTIS DI PAMERAN ART WITH HEART KE-7



Kumpulan Perbankan RHB (“RHB”) hari ini melancarkan edisi ketujuh Art with Heart, platform seni visual utamanya, yang bertemakan Breaking Boundaries. Diadakan dari 11 hingga 17 Ogos 2026 di Bangsar Shopping Centre, pameran ini menampilkan lebih daripada 80 karya seni oleh 66 artis, sekali gus mengesahkan semula komitmen berterusan RHB dalam menyokong komuniti seni visual negara.

​Dato’ Mohd Rashid Mohamad, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, berkata, “Di RHB, kami percaya bahawa kemajuan tidak hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi juga melalui bagaimana kami memeperkayakan komuniti yang kami khidmati. Melalui Art with Heart, kami bangga dapat menyediakan platform bagi artis-artis Malaysia untuk memamerkan bakat mereka, berhubung dengan pengumpul seni, khalayak baharu, dan komuniti yang lebih luas, serta mengilhamkan perspektif baharu menerusi tema tahun ini, Breaking Boundaries. Dengan menyatukan semua orang, kami berharap dapat memupuk penghargaan yang lebih tinggi terhadap seni tempatan sambil menyumbang kepada pertumbuhan berterusan ekosistem kreatif Malaysia.”

​Sejak penubuhannya pada tahun 2016, program RHB Art with Heart telah berkembang menjadi platform yang diiktiraf bagi mengetengahkan bakat seni Malaysia. Menerusi enam edisi terdahulu, pameran ini telah menampilkan 306 artis dan 772 karya seni, menjana jualan melebihi RM1.57 juta dengan kadar jualan keseluruhan kira-kira 46%.

​Program ini memberi peluang kepada artis yang mengambil bahagian untuk memamerkan dan mengomersialkan karya seni mereka di samping menghubungkan mereka dengan pengumpul seni, penaung, serta khalayak baharu. Melalui platform ini, RHB terus memperjuangkan bakat tempatan dan memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap komuniti seni visual Malaysia yang dinamik.

​“Kami amat berbangga kerana, buat julung kalinya, 14 belia neurodivergen daripada program RHB #Empower turut mengambil bahagian dalam Art with Heart. Sepanjang program berjalan selama 12 minggu, mereka telah menerokai seni lukis menerusi sesi pameran seni terbimbing yang menggalakkan penerokaan kreatif, ekspresi diri, dan keyakinan. Malam ini, mereka memamerkan 28 karya seni di Art with Heart, menandakan penyertaan sulung Program RHB #Empower dalam pameran ini. Penyertaan mereka mencerminkan semangat Breaking Boundaries dengan mencetuskan peluang bagi individu mengekspresikan kreativiti mereka, memamerkan karya seni kepada khalayak yang lebih luas, di samping memamerkan karya bersama-sama artis Malaysia yang terkenal dan juga yang baru bertapak,” tambah Dato’ Mohd Rashid.

​Di bawah tema Breaking Boundaries, pameran ini meraikan artis-artis yang mencabar pendekatan konvensional melalui teknik, bahan, dan perspektif yang inovatif. Secara keseluruhan, karya-karya seni ini menjemput khalayak untuk merasai subjek-subjek biasa dalam cara baharu di samping mencerminkan kekayaan serta kepelbagaian arena seni kontemporari Malaysia.

​Dengan menjadikan seni lebih mudah diakses dan memupuk hubungan bermakna antara artis, pengumpul seni, dan komuniti umum, RHB berharap dapat menggalakkan penghargaan yang lebih tinggi terhadap artis Malaysia dan sumbangan mereka kepada struktur budaya negara. Pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 11 hingga 17 Ogos 2026 di Bangsar Shopping Centre. Masuk adalah percuma.