Terkini | New

MHLife 2026 RAIKAN KEPELBAGAIAN GAYA HIDUP DAN PELANCONGAN MESRA MUSLIM MALAYSIA

MHLife 2026 RAIKAN KEPELBAGAIAN GAYA HIDUP DAN PELANCONGAN MESRA MUSLIM MALAYSIA

​Malaysia Halal Lifestyle Festival (MHLife) 2026 bakal menghimpunkan pelbagai tarikan gaya hidup dan pelancongan mesra Muslim apabila berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026 di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam, Selangor.

​Diraikan sebagai festival gaya hidup dan pelancongan mesra Muslim premier negara, MHLife 2026 merupakan sebahagian daripada Islamic Tourism Month (ITM) 2026 anjuran Islamic Tourism Centre (ITC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang bertanggungjawab membangunkan segmen pelancongan Islam di Malaysia. Festival ini turut mendapat sokongan rasmi daripada rakan-rakan strategik RHB Islamic Bank Berhad, Mohd Chan Group Berhad, Siti Khadijah Group dan Istana Budaya.

​MHLife 2026 turut bertujuan memberi pendedahan yang lebih luas tentang destinasi dan perniagaan tempatan, menggalakkan aktiviti pelancongan serta memperlihatkan kaitan antara kekuatan industri halal Malaysia dengan sektor pelancongan, hospitaliti, budaya dan gaya hidup.

​Bertemakan Rasa, Gaya, Warisan, MHLife 2026 membawakan konsep "Taste Malaysia, Wear Malaysia, Experience Malaysia" dengan mengetengahkan cita rasa, kreativiti dan tradisi yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.

​Pengunjung boleh meneroka 16 pavilion yang mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, selain menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman, jenama tempatan, persembahan kebudayaan serta aktiviti interaktif sepanjang festival.

​MHLife 2026 turut menawarkan pelbagai program dari bidang pelancongan mesra Muslim, kecantikan dan kesejahteraan, kraftangan, aktiviti keluarga, beli-belah, pertandingan serta hiburan secara langsung.

​Antara tarikan utama ialah Harmony Night Concert, yang akan menampilkan barisan penghibur tempatan menerusi persembahan kontemporari dan tradisional.

​Maklumat lanjut mengenai vendor, program, persembahan, aktiviti dan tarikan MHLife 2026 akan diumumkan dari semasa ke semasa menjelang festival.