Terkini | New

Pusat Membeli-belah Alamanda dan MODA Mempersembahkan ADIWARNA RUNWAY sempena Hari Malaysia dari 10 hingga 13 September

Pusat Membeli-belah Alamanda dan MODA Mempersembahkan ADIWARNA RUNWAY sempena Hari Malaysia dari 10 hingga 13 September

Pertunjukan fesyen selama empat hari ini menampilkan 22 pereka tempatan, cetakan rekaan khas (bespoke) eksklusif, peragaan di pentas, bazar pereka, dan aktiviti kemasyarakatan.

Sempena sambutan Hari Malaysia, Pusat Membeli-belah Alamanda dengan kerjasama Persatuan Pereka Rasmi Malaysia (MODA) bakal menganjurkan acara sulung ADIWARNA RUNWAY di Ruang Legar Utama (Centre Court) dari 10 hingga 13 September 2026.

​Mencatatkan pencapaian penting dalam landskap peruncitan dan gaya hidup di Putrajaya, acara empat hari ini bakal mengalihkan fungsi pusat membeli-belah berkenaan menjadi sebuah hab fesyen yang dinamik. Acara ini akan dimulakan dengan persembahan khas daripada 22 pereka MODA, di mana setiap seorang daripada mereka bakal mengembalikan daya kreativiti melalui pengenalan rekaan 'signature' yang dihasilkan menggunakan cetakan tekstil eksklusif berasaskan rona ceria bunga raya, iaitu Bunga Kebangsaan Malaysia.

​Sepanjang empat hari tersebut, sebanyak 16 pereka fesyen akan menjayakan pertunjukan pentas khas masing-masing, iaitu: 3THELABEL, Ariff Atelier, Arlina Ayou, Bill Keith, CARRO, CASALWA, EL by Ellie Lim, HERA, Justin Yap Atelier, NANALYANA, Outdwell, SITI KHADIJAH, Variante, Yani Bakhtiar, Yuleza, dan Zayana Yazed Creations. Merangkumi koleksi pakaian sedia pakai moden dan fesyen sopan kontemporari, kepelbagaian rekaan ini memperlihatkan bagaimana warisan budaya mampu memacu nilai peruncitan di samping menyokong usaha negara dalam memperluaskan ekonomi kreatif serta memartabatkan usahawan tempatan.

​Francis Tan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd berkata, "Penganjuran ADIWARNA RUNWAY menandakan satu babak baharu yang mengujakan buat Pusat Membeli-belah Alamanda dalam membawakan pentas fesyen terkemuka secara terus ke Putrajaya. Sempena Hari Malaysia, objektif kami adalah untuk menyusun pengalaman peruncitan yang menarik bagi meraikan kebanggaan nasional, sekali gus menyediakan pentas utama buat para pengunjung, penjawat awam, serta ahli keluarga untuk merasai sendiri seni bakat tempatan secara dekat. Kerjasama dengan MODA ini menegaskan komitmen kami dalam menyokong bakat kreatif tempatan dan meraikan identiti budaya kita."

​Menyokong kenyataan tersebut, Cyrus Chin, Presiden MODA berkata, "Adiwarna Runway memberi tumpuan khusus kepada pereka tempatan yang berbakat dengan menyediakan pentas bermakna untuk mereka mempamerkan hasil karya, menyokong impian, serta mengangkat aspirasi mereka ke peringkat lebih tinggi. Kerjasama dengan Pusat Membeli-belah Alamanda — sebuah mercu tanda yang menarik perhatian pengunjung berbilang budaya di Putrajaya — membantu kami membina visibiliti dan peluang buat pereka Malaysia untuk berkembang dengan yakin di peringkat domestik mahupun antarabangsa."

​Selain pertunjukan fesyen di pentas peragaan, para pengunjung juga boleh membeli koleksi pakaian sedia pakai eksklusif secara terus di Bazar Adiwarna Runway dan menikmati persembahan hiburan secara langsung daripada barisan artis tempatan popular seperti Bunga Isme, Daniel Chuer, Daniesh Suffian, Datuk Syafinaz, Ernie Zakri, Farah Dolhadi, Layla Sania, dan Yazmin Aziz.

​Bagi memupuk penglibatan komuniti setempat, acara ini turut menyajikan slot Family Fashion Walk, yang menyaksikan pemenang kategori pengunjung daripada peraduan Model Search peringkat pusat membeli-belah Alamanda berluang menyusuri pentas peragaan.

​Untuk jadual program, butiran aktiviti pusat membeli-belah, dan kemas kini terkini, sila ikuti Pusat Membeli-belah Alamanda di Instagram @alamandashoppingcentre dan MODA Malaysia di @modamalaysia.