TP-Link dan Kolej Universiti New Era Bekerjasama untuk Memajukan Pembangunan Kemahiran Rangkaian Perusahaan
TP-Link dan Kolej Universiti New Era Bekerjasama untuk Memajukan Pembangunan Kemahiran Rangkaian Perusahaan
.jpg)
TPLink Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama tiga tahun dengan Kolej Universiti New Era, mengukuhkan lagi komitmennya untuk membangunkan bakat rangkaian perusahaan yang sedia industri di Malaysia. Kerjasama ini bertujuan untuk merapatkan jurang di antara pembelajaran akademik dan keperluan industri yang berkembang dengan mengintegrasikan keupayaan rangkaian perusahaan, laluan pensijilan profesional, dan pendedahan industri praktikal ke dalam pengalaman pembelajaran pelajar.
Melalui perkongsian ini, TP-Link Malaysia akan menggunakan penyelesaian rangkaian perusahaan Omada miliknya di dalam persekitaran pembelajaran Kolej Universiti New Era, membolehkan para pelajar memperoleh pengalaman praktikal (hands-on) dengan infrastruktur yang mencerminkan rangkaian perniagaan di dunia sebenar. Kerjasama ini juga akan merangkumi bengkel teknikal, sesi perkongsian pengetahuan, dan akses kepada laluan pensijilan Pentadbir Rangkaian Bertauliah Omada (Omada Certified Network Administrator - OCNA), yang membolehkan pelajar membangunkan kecekapan rangkaian yang diiktiraf oleh industri.
Melangkaui pembelajaran di dalam bilik darjah, para pelajar akan mendapat manfaat daripada latihan industri dan peluang latihan amali (internship) dengan TP-Link Malaysia, yang memberikan pendedahan praktikal serta laluan yang lebih jelas dari universiti ke alam pekerjaan berteknologi.
Encik Cai Zhenbiao (Hugo Cai), Pengarah Serantau TP-Link Malaysia, berkata, “Sambil organisasi terus mempercepatkan usaha transformasi digital mereka, permintaan terhadap profesional yang mempunyai keupayaan untuk menyokong dan mengurus infrastruktur teknologi moden juga terus berkembang. Membangunkan bakat ini memerlukan kerjasama yang lebih erat di antara industri dan para akademik untuk memastikan pelajar dilengkapi dengan pengetahuan yang sejajar dengan keperluan dunia sebenar. Melalui perkongsian kami dengan Kolej Universiti New Era, kami menyasarkan untuk menyumbang kepakaran industri kami dan memberikan pelajar pendedahan yang bermakna kepada teknologi dan amalan perusahaan.”
“Institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam menyediakan graduan untuk ekonomi yang semakin dipacu oleh teknologi. Dengan bekerjasama bersama rakan industri seperti TP-Link Malaysia, kami dapat meningkatkan perjalanan pembelajaran pelajar kami dengan menghubungkan pengetahuan akademik dengan aplikasi praktikal serta perspektif industri. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan pelajar dengan peluang membangunkan kemahiran yang relevan dan lebih bersedia untuk peluang kerjaya pada masa hadapan,” kata Pen. Prof. Dr. Ang Yang Yi, Dekan Fakulti Pengkomputeran dan Teknologi Inovatif, Kolej Universiti New Era.
Kedua-dua organisasi ini juga akan meneroka peluang untuk kerjasama selanjutnya dalam inisiatif penyelidikan, pertukaran pengetahuan teknikal, dan libat urus di antara profesional industri dan pakar akademik, seterusnya mengukuhkan hubungan di antara amalan industri dan pembelajaran akademik.
Kerjasama dengan Kolej Universiti New Era ini terus membina usaha berterusan TP-Link Malaysia untuk memperkukuh libat urus industri-akademik di dalam pendidikan rangkaian perusahaan. Kerjasama sebelum ini dengan Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mewujudkan rangkaian perkongsian universiti yang semakin berkembang, dengan laluan pensijilan Pentadbir Rangkaian Bertauliah Omada (OCNA) diperkenalkan merentas institusi yang mengambil bahagian. Pada tahun 2025 sahaja, kira-kira 500 pelajar mengambil bahagian dalam laluan pensijilan tersebut, yang mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap kecekapan rangkaian perusahaan yang sejajar dengan keperluan industri.
Dengan Malaysia yang terus memajukan cita-cita ekonomi digitalnya, keupayaan untuk membangunkan profesional mahir yang mampu menyokong infrastruktur digital moden akan kekal kritikal. Melalui perkongsian yang berterusan dengan institusi akademik, TP-Link Malaysia kekal komited untuk menyokong pertumbuhan ekosistem bakat teknologi mampan yang sejajar dengan keperluan industri.