Terkini | New

Majlis Pelancaran Jualan Negaraku Selamat dan Aktif Sempena Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2020

Majlis Pelancaran Jualan Negaraku Selamat dan Aktif  Sempena Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2020 .


Yang Berhormat Datuk Alexander Nanta Linggi Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyempunakan Majlis Pelancaran Jualan Negaraku Selamat dan Aktif anjuran Kumpulan AI-Ikhsan di Pusat Membeli-Belah MyTown. Kuala Lumpur. 


Program ini adalah bersempena Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang telah bermula sejak bulan Julai 2020. 


Program ini juga bertepatan dengan tema PJM bagi bulan Oktober iaitu “Jualan bertemakan Gaya Hidup“ serta sambutan bulan Sukan Negara yang akan disambut pada 10 Oktober 2020.


Kumpulan Al-Ikhsan telah menyahut seruan kerajaan dengan mengadakan jualan besar-besaran dari bulan Oktober hingga Disember 2020 yang dijenamakan sebagai Kempen Jualan Malaysiaku Selamat dan Aktif yang akan melibatkan 135 cawangan Al-Ikhsan di seluruh negara. 

Program ini merupakan aktiviti pertama sebelum pelancaran Hari Sukan Negara pada 10 Oktober 2020 di mana ia merupakan penaja utama pakaian sukan bagi Hari Sukan Negara.


Objektif Kempen Jualan Negaraku Selamat dan Aktif adalah bagi memberi nilai terbaik kepada rakyat Malaysia dikala Kerajaan menggalakkan rakyat untuk berbelanja untuk menjana semula ekonomi negara. 

Harga “value for money" di setiap pembelian barangan di Premis Al-Ikhsan kelak diharap dapat diterjemahkan sebagai satu (1) motivasi untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan selamat.

Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna amat mengalu-alukan peranan pihak korporat seperti usaha yang telah dilakukan oleh Kumpulan Al-Ikhsan ini.


Usaha pihak swasta seperti Al-Ikhsan ini wajar dicontohi atas rasa tanggungjawab dan sumbangan mereka kepada negara melalui penawaran produk yang “value for money" kepada rakyat Malaysia. 

Ini akan membolehkan wang yang dijimatkan dapat dibelanja kepada perkara lain juga.


Kementerian mengalu-alukan rakyat Malaysia amnya dan pencinta sukan dan riadah khususnya untuk berbelanja dan menyokong menjana ekonomi negara serta terus aktif bersukan agar Malaysia terus kekal sihat dan selamat daripada wabak COVID19. 


Kementerian juga turut mengucapkan terima kasih kepada agensi kerajaan dan pihak korporat terutamanya Kementerian Belia dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kumpulan Al-Ikhsan dan pihak pengurusan MyTown kerana berjaya mengadakan Kempen Jualan Negaraku Selamat dan Aktif bersempena dengan Program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web dan sosial media Al-Ikhsan