Terkini | New

Nestlé Malaysia Ganding Bahu dengan UiTM, APU & MUST untuk tingkatkan kemahiran digital dan kebolehpasaran graduan muda

Nestlé Malaysia Ganding Bahu dengan UiTM, APU & MUST untuk tingkatkan kemahiran digital dan kebolehpasaran graduan muda

Pakatan strategik di bawah platform “Nestlé Needs Youth” tawarkan program latihan amali dan bimbingan mentor kepada ratusan pelajar dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memperkasakan belia dan membangunkan bakat, Nestlé Malaysia telah memeterai kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), dan Malaysia University of Science and Technology (MUST). Kerjasama ini akan memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan amali tersusun dalam bidang Pembuatan dan Rantaian Bekalan di Nestlé Malaysia, lantas meningkatkan kemahiran digital dan pengalaman bekerja, yang seterusnya melengkapkan mereka untuk berkembang maju dalam dunia kerjaya yang semakin dinamik dan digital.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program “Nestlé Needs Youth” dan juga menyokong keutamaan untuk membangunkan bakat negara yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, inisiatif Penambahbaikan TVET, Strategi Kebolehpasaran Graduan 2021–2025 dan Rangka Kerja Ekonomi Madani. Dengan penekanan kukuh terhadap transformasi digital dan inovasi, kerjasama ini bertujuan melahirkan graduan yang sedia untuk menyahut cabaran masa depan, yang boleh memberikan sumbangan bermakna kepada pertumbuhan Malaysia. Inisiatif ini melengkapi beberapa inisiatif “Nestlé Needs Youth” sedia ada lain di Malaysia, yang dilaksanakan menerusi pengambilan pekerja secara langsung, latihan amali atau program keusahawanan yang menyokong beribu-ribu anak muda Malaysia setiap tahun.

Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, berkata, “Selaras dengan usaha Malaysia membina ekonomi yang terangkum dan maju dari segi digital, kita perlu memastikan bahawa bakat muda kita dilengkapi dengan keupayaan teknikal dan kemahiran digital untuk menempa kejayaan. Sebagai sebahagian daripada program berterusan “Nestlé Needs Youth”, kami sukacita untuk berganding bahu dengan institusi-institusi pengajian tinggi Malaysia yang terkemuka untuk memperkasakan graduan baharu atau bakal graduan dengan kelengkapan, pengalaman dan ketetapan minda yang sewajarnya untuk meningkat naik dalam dunia kerjaya profesional.

YBrs. Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, Timbalan Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), berkata, “Kerjasama strategik antara Nestlé dan institusi akademik ini merupakan contoh terbaik bagaimana jalinan antara pendidikan dan industri dapat diperkukuhkan. Melalui penyediaan pengalaman serta pendedahan dunia sebenar kepada para pelajar, kita dapat melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran masa depan. Di MPC, kami percaya bahawa produktiviti bermula dengan modal insan – dan inisiatif bersama seperti ini memainkan peranan penting dalam membina bakat, mempercepatkan proses pembelajaran, serta memperkukuh daya saing ekonomi negara secara berterusan.”

Pelajar boleh memanfaatkan peluang menyertai latihan amali dalam fungsi-fungsi perniagaan Nestlé, termasuk rantaian bekalan, kejuruteraan, kelestarian, pendigitalan dan jaminan kualiti. Penempatan kerja ini akan memberikan pendedahan dunia sebenar, melengkapkan pelajar dengan pengalaman praktikal dan kefahaman lebih mendalam tentang jangkaan industri. Kumpulan awal 10 pelajar telah dikenal pasti, dan sehingga 100 pelajar dijangka mengambil bahagian dalam fasa pertama program sepanjang tempoh 6 bulan akan datang.

Program ini memperkenalkan pelajar kepada alat digital dan teknologi canggih, serta juga usaha menggabungkan kelestarian di dalam proses operasi. Matlamatnya adalah untuk memupuk pemikiran kritikal, keupayaan menyelesaikan masalah dan kemahiran digital, ciri-ciri penting bagi mencapai kejayaan dalam dunia kerjaya moden.

Pelajar seterusnya diberi sokongan menerusi proses pembangunan bakat komprehensif yang termasuk bimbingan daripada profesional Nestlé, ceramah jemputan oleh para pemimpin industri dan juga laluan kesediaan kerjaya. Sebuah sistem maklum balas dan penilaian prestasi akan memberikan panduan berkala, di samping membolehkan Nestlé mengenal pasti calon-calon berprestasi terbaik untuk menyediakan peluang prapekerjaan.

Sambil Nestlé Malaysia terus meluaskan program “Nestlé Needs Youth,” kerjasama ini menekankan lagi peranan Syarikat sebagai penggalak yang membuka peluang pekerjaan bermakna. Dengan memenuhi aspirasi negara dan bekerjasama rapat dengan institusi akademik tempatan utama, Nestlé bertekad untuk membantu membina tenaga kerja Malaysia yang berwibawa dan dilengkapi dengan nilai dan visi untuk membina masa depan yang lebih baik.

Majlis tandatangan tersebut telah dihadiri oleh YBrs. Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, Timbalan Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC); Prof. Ts. Shafinar binti Ismail, Dekan, UiTM; Profesor Dr. Ho Chin Kuan, Naib Canselor APU; dan En. Thiagarajan Marappan, Pensyarah Kanan MUST. Turut hadir ialah wakil-wakil lain daripada universiti dan anggota pasukan kepimpinan Nestlé Malaysia.

Untuk mengetahui lebih lanjut sila lawati laman web di https://www.nestle.com.my/ask-nestle/kami-nestle.