Terkini | New

PENCAHAYAAN MENARA KUALA LUMPUR & PINTASAN SALOMA SEBAGAI TANDA SOLIDARITI MEMERANGI PENYAKIT TROPIKA YANG TERABAI (NTD)


PENCAHAYAAN MENARA KUALA LUMPUR & PINTASAN SALOMA SEBAGAI TANDA SOLIDARITI MEMERANGI PENYAKIT TROPIKA YANG TERABAI (NTD)



Hari Penyakit Tropika Terabai Sedunia (Neglected Tropical Diseases - NTD) disambut setiap tahun pada tanggal 30 Januari sejak tahun 2020 dan Malaysia terus komited menyertai usaha komuniti global untuk menamatkan NTD dan membebaskan generasi akan dating daripada penyakit kemiskinan. Neglected Tropical Diseases merangkumi 20 jenis penyakit seperti Denggi, Chikungunya, Chagas Disease, Buruli Ulcer dan lain-lain yang mampu melemahkan, menjejaskan fizikal serta boleh menyebabkan kematian.


Ini boleh member kesan terhadap kualiti kehidupan seharian serta menghalang perkembangan kognitif dan fizikal mereka yang menghidapinya. Pada masa ini, terdapat seramai 1.7 bilion pesakit (satu dalam lima) yang menderita penyakit NTD di seluruh dunia. Oleh itu, usaha bagi mengakhiri NTD adalah amat penting dan amat dialu-alukan. Walaubagaimanapun, penyakit NTD merupakan penyakit yang boleh ditangani. Ini terbukti apabila 43 buah negara berjaya menghapuskan sekurang- kurangnya satu penyakit NTD. Hasilnya, seramai 600 juta penduduk dunia juga sudah tidak memerlukan rawatan bagi penyakit NTD.


Sesetengah penyakit yang telah lama membelenggu manusia sejak berkurun lamanya seperti Sleeping Sickness dan Guinea Worm Disease juga berjaya dikurangkan sehingga ke tahap yang paling rendah.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Crown Prince Court of Abu Dhabi Yayasan Bill & Melinda Gates, Carter Center, The END Fund, Uniting to Combat NTDs, DNDi dan lebih 300 pemimpin kerajaan, kesihatan, komuniti dan perniagaan, menggunakan kesempatan ini untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran termasuklah ceramah daripada pakar kesihatan serta penyampaian maklumat berkenaan NTD kepada masyarakat dalam usaha menghapuskan NTD secara menyeluruh.

Tahun 2022 menyaksikan penglibatan kali kedua negara Malaysia dalam sambutan World NTD, dan fokus utama Malaysia adalah memerangi penyakit Denggi. Selama empat dekad, beban global daripada Denggi telah meningkat secara mendadak. Peningkatan ini sangat membimbangkan, terutamanya dengan perubahan iklim yang membawa kepada fenomena pemanasan global yang turut member kesan dalam transmisi penyakit Denggi.

Namun begitu, Malaysia telah berjaya mengurangkan kes Denggi daripada 90,304 kes pada tahun 2020 kepada 26,365 kes pada tahun 2021 iaitu penurunan sebanyak 70.8 peratus. Malaysia bertekad untuk meneruskan trajektori ini dengan meningkatkan kesediaan menangani Denggi demi mencapai sasaran Sustainable Development Goal (SDG) untuk mengakhiri epidemik ini menjelang 2030.

Sambutan Hari Penyakit Tropika Terabai Sedunia yang Ketiga (3rd Annual World NTDs Day 2022) pada tahun ini mengetengahkan tema 100% Committed. Ia bertujuan untuk menyeru para pemimpin peringkat global menunjukkan solidariti dan 100 peratus komitmen mendokong sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghapuskan NTD di 100 buah negara menjelang 2030.

Untuk sambutan ini juga, banyak mercu tanda atau bangunan ikonik terkenal di seluruh dunia akan dinyalakan sebagai tanda sokongan kepada kempen bagi mengakhiri NTD ini. Sebagai solidariti bersama gerakan NTD ini, KKM juga akan menyalakan struktur ikonik di negara kita seperti Menara Kuala Lumpur dan Pintasan Saloma pada 30 Januari 2022.

Malaysia menyokong penuh sambutan ini dan 100 peratus komited untuk mengakhiri NTD. Dengan pelbagai usaha bagi menangani serta mengekang penularan penyakit NTD secara komprehensif, sistem kesihatan negara dapat diperkukuhkan dan akses yang setara boleh diberikan kepada seluruh keluarga Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti di Malaysia. KKM berharap agar sambutan World NTD ini akan menjadi pemangkin kepada usaha mengakhiri NTD di seluruh dunia.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Menara KL & DNDi kerana menyokong Hari NTD Sedunia 2022. Untuk maklumat lanjut sila layari - https://worldntdday.org/