Terkini | New

Amalan snek bijak yang bermanfaat di bulan Ramadan ini

AMALKAN SNEK BIJAK DI BULAN RAMADAN INI


Sepanjang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, sedarkah anda ada di kalangan kita gemar menikmati snek sehingga lewat malam? Setelah sehari berpuasa, ramai yang cenderung untuk makan besar ketika berbuka puasa mahupun ketika bersahur. Sebahagian pula memilih untuk menikmati juadah berbuka secara sederhana. Tidak kira apa jua juadah yang anda nikmati, ianya sangat penting untuk mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat untuk kekal bertenaga dan sihat di bulan puasa.


Menurut Lim Chain Yin, Ketua Pemakanan dan Nutrisi, MondelÄ“z International Asia Tenggara, “Berpuasa di bulan Ramadan dapat membantu melancarkan sistem penghadaman, membuang toksin, serta memulihkan tubuh badan secara semulajadi. Bagi mendapat manfaat kesihatan yang sepenuhnya, kita perlu mengamalkan pemakanan sihat dan mengelakkan daripada makan berlebihan. Berbuka dengan sederhana dan pengambilan snek yang bersesuaian dapat membantu tubuh badan menggantikan nutrisi yang diperlukan setelah hampir seharian menjalani ibadah puasa,”

Snek yang sesuai untuk menggantikan air dan nutrisi selepas berbuka puasa

Kebanyakan orang makan berlebihan sewaktu berbuka terutamanya apabila dihidang juadah kegemaran mereka. Namun, harus diingatkan berbuka dengan sederhana dan seimbang sangat penting untuk mengelakkan paras gula naik mendadak dan masalah penghadaman.

“Berbukalah dengan sebiji kurma dan air, diikuti dengan juadah yang lengkap dan seimbang. Kemudian, rehat buat seketika, untuk membolehkan tubuh badan menghadam makanan dengan sempurna sebelum menikmati pencuci mulut atau snek pilihan,” saran Chain Yin.

Antara makanan yang digalakkan untuk dinikmati selepas berbuka puasa ialah pencuci mulut yang rendah gula seperti sup atau bubur untuk menghidratkan tubuh badan. Selain itu, buah-buahan dan sayur campuran seperti salad juga berkhasiat bagi menggantikan kandungan air dalam tubuh, serta kekacang dan pelbagai jenis buah beri yang kaya dengan lemak, vitamin dan mineral untuk membantu memulihkan tenaga.

Bagi memulihkan tenaga selepas menunaikan solat Tarawih, minum air secukupnya dan ambil makanan yang rendah gula, garam dan kurang minyak dalam saiz yang sederhana. Elakkan mengambil makanan berat seperti mi goreng, teh yang terlalu manis atau pencuci mulut yang tinggi kandungan gula ketika moreh. Sebaliknya, pilihlah snek seperti pisang, badam dan minuman seperti susu atau teh kosong yang mampu membantu anda tidur dengan lena. Pastikan anda tidak mengambil sebarang makanan sekurang-kurangnya 2 hingga 3 jam sebelum tidur untuk mengelakkan masalah penghadaman.

 Sahur yang ringkas lagi bertenaga membawa perubahan yang besar

Sekiranya anda jarang bersahur, tubuh badan anda mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri untuk menjalani ibadah puasa. Ada juga di antara kita yang menghadapi cabaran kurang selera makan di awal pagi sewaktu bersahur, atau lebih suka mengambil makanan berat sebelum tidur. Namun, adalah digalakkan untuk bersahur selewat yang mungkin dengan juadah yang berkhasiat supaya dapat mengekalkan tubuh badan yang bertenaga dan mengurangkan rasa lapar dan dahaga di siang hari untuk lebih lama.

Makanan yang kaya dengan protein dan serat misalnya ayam, telur, bijirin penuh seperti oat atau barli serta kekacang amat disarankan untuk menu sahur kerana memerlukan lebih masa untuk dihadam. Secara tidak langsung ianya dapat membantu mengawal rasa lapar anda sepanjang hari. Selain itu, pengambilan makanan yang kaya dengan kalsium seperti susu, yogurt, keju atau sayur-sayuran amat bersesuaian untuk kekal kenyang dan terhidrat.

Bagi mereka yang susah bangun pagi atau kurang selera makan di waktu awal pagi, Chain Yin turut menyarankan penyediaan makanan yang mudah dimakan pada bila-bila masa, “Makanan lengkap seperti telur rebus, biskut gandum, bijirin dan keju adalah mudah untuk disediakan. Lengkapkan sahur dengan makanan tinggi khasiat seperti kurma atau pisang dan segelas susu yang dapat membantu anda berasa kenyang dan bertenaga lebih lama sepanjang hari.”

Amalan snek bijak yang bermanfaat di bulan Ramadan ini

Ibadah puasa membolehkan anda mempertimbangkan semula tabiat pemakanan yang boleh diamalkan walaupun selepas berakhirnya bulan Ramadan. Dalam pada itu, amalan snek bijak adalah salah satu pendekatan mudah untuk membina tabiat pemakanan yang lebih baik. Konsep ‘snek bijak’ diilhamkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai gaya pemakanan, sebab kita makan, serta bagaimana ia memberi kesan kepada tubuh badan anda. Peka kepada bau, rasa, tekstur, bentuk serta warna dalam makanan anda untuk menikmati pengalaman snek yang sangat menakjubkan. Tabiat ini bukan saja membolehkan anda menikmati makanan anda malah membantu kita untuk mencegah pengambilan makanan secara berlebihan.

Malah, menurut kajian State of Snacking Report yang dikendalikan oleh Mondelēz International, trend terkini menunjukkan kebanyakan pengguna kerap kerap menggantikan hidangan utama dengan snek yang bertenaga tinggi dan berkhasiat, bagi membantu meningkatkan kestabilan dan keseimbangan emosi seseorang.

Tabiat pemakanan yang betul memberi manfaat dan kebaikan untuk kesihatan kita. Jadi, marilah kita sama-sama merenung semula tabiat pemakanan kita sepanjang bulan Ramadan mulia ini. Ambillah makanan secara berpada-pada dan amalkan snek bijak seperti apa yang kami kongsikan untuk mengekalkan kesihatan tubuh dan tenaga badan.

Semoga bermanfaat!