Terkini | New

MAJLIS PERASMIAN FESTIVAL GAYA RAYA (ABSOLUT BAZAAR X GAYA RAYA)

Festival Gaya Raya KUSKOP bersama Absolut Bazaar x Gaya Raya telah dirasmikan di MITEC, Kuala Lumpur oleh YB Tan Sri Noh Bin Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang dihadiri seramai 50 ribu orang pengunjung. YB Menteri juga sempat mengunjung ke tapak-tapak pameran dan beramah mesra dengan usahawan-usahawan dan selebriti-selebriti yang hadir.


Absolut Bazaar X Gaya Raya merupakan festival raya terulung dan terbesar sempena menyambut kedatangan Syawal pada tahun 2022. Festival ini diadakan untuk membantu para usahawan dan perusahaan tempatan untuk meraih pendapatan pasca pandemik COVID-19.


YB Tan Sri Noh Bin Haji Omar berkata, Festival ini merupakan festival terbesar di Malaysia setakat ini. Sambungnya lagi, festival ini telah memberi ruang kepada usahawan-usahawan kecil dan sederhana untuk mempromosikan produk mereka kepada orang awam.



Penganjuran festival ini sudah pasti akan menghidupkan semula kemeriahan riang ria raya setelah dua tahun disambut dalam suasana suram. Slogan festival ini, "Restart, Reboot, Refresh", sangat bertepatan dengan situasi semasa di mana seluruh Keluarga Malaysia sudah pasti mendambakan kemeriahan menyambut Aidilfitri seperti sediakala.







Festival ini menghimpunkan pelbagai sektor perniagaan seperti makanan dan minuman, pakaian, aksesori dan sebagainya di bawah satu bumbung. Festival Absolut Bazaar x Gaya Raya 2022 ini akan dijalankan selama 66 jam tanpa henti, bermula dari 22 sehingga 25 April. Terdapat penyertaan daripada lebih 450 usahawan dan penganjur dan menyasarkan sebanyak 500,000 pelawat untuk mengunjungi dan memeriahkan festival raya ini.




Puan Hema Kandy, Ketua Pegawai Eksekutif My Events International selaku Pengerusi Penganjur percaya bahawa ekonomi negara akan dapat dirangsangkan serta dipulihkan terutamanya selepas wabak Covid-19 dengan penganjuran festival sebegini.




Antara matlamat Festival ini adalah: 
Mempromosi produk para peniaga dan usahawan tempatan.
Meningkatkan kegiatan ekonomi pasca pandemik COVID-19
Memberi ruang dan peluang untuk berinteraksi bersama pengguna Menggalakkan penyertaan usahawan sekaligus dapat menjana keuntungan berterusan
Memberi platfom kepada usahawan-usahawan baru untuk berdaya saing.




Pihak MITEC jugak turut berbesar hati menyuarakan keterujaan mereka menjadi rakan strategik dalam mengendalikan festival raya ini selepas 2 tahun tidak diadakan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.


"Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti ruang aktiviti kanak-kanak, temu ramah bersama selebriti, cabutan bertuah dan yang paling menarik adalah "money machine"!", kata Encik Ben Ali, Pengasas bersama Absolut Events.







Artis seperti Dato' Siti Nurhaliza, Marsha Milan, Fasha Sandha, Aedy Asyraf, Shukri Yahya, Izzu Islam, Nelydia Senrose, Rozita Che Wan dan banyak lagi turut hadir memeriahkan lagi festival raya ini. Jenama-jenama besar seperti Jovian, Fiziwoo, Bulan Bintang dan Alha Alfa juga dapat ditemui di Absolut Bazaar x Gaya Raya ini.



Semua pengunjung disarankan untuk datang ke festival ini bersama keluarga untuk menikmati keriuhan suasana dan dalam masa yang sama menikmati aktiviti-aktiviti menarik yang akan disediakan! Festival ini akan terus berlangsung sehingga 25 April pukul 5 pagi.