Terkini | New

MAJLIS BERBUKA PUASA DAN SUMBANGAN DUIT RAYA BERSAMA ANAK-ANAK YATIM

Bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak 1443 Hijrah dan juga sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi, Sri Lambuk Catering, Madani & Co dan Kelab Pemilik Perdana Malaysia (PROPERD) dengan kerjasama Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd telah mengadakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pada 22 April 2022 bertempat di Dewan Bankuet Megaview, THO3, Menara Kuala Lumpur.


Sebagai sebuah organisasi yang amat perihatin dan mengambil berat tentang hal-ehwal kebajikan terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan, pelbagai inisiatif CSR yang telah dirancang dan dilaksanakan untuk membantu mereka di luar sana terutama menjelangnya Aidilfitri.



"Program pada hari ini adalah sempena kesinambungan Program Sedekah Jumaat yang diadakan setiap minggu. Tetapi kelainan pada kali ini adalah kami telah mengambil keputusan untuk berkolaborasi bersama Madani & Co dan Kelab Pemilik Perdana Malaysia (PROPERD) dengan kerjasama Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd untuk menjayakan program supaya ianya dapat memberi lebih impak positif dan sedikit sebanyak dapat membahagiakan anak-anak yang diraikan." kata En Mohd Hazri Mohd Alam, Penganjur Majlis Berbuka Puasa dari Sri Lambuk Catering.



"Saya amat menyokong program-program seperti ini diadakan di Menara Kuala Lumpur dan saya ingin menjemput lebih ramai lagi NGO diluar sana untuk mengadakan program sebegini pada masa akan datang. Semoga program pada hari ini dapat melakarkan senyuman manis diwajah anak-anak semua." kata Puan Ainol Shaharina Sahar, Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.



Seramai 52 orang anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh Malaysia telah dibawa melawat ke Sky Deck dan Sky Box yang merupakan tarikan utama di Menara Kuala Lumpur. lanya merupakan peluang berharga bagi mereka semua kerana inilah pengalaman kali pertama mereka datang melawat ke Menara Kuala Lumpur.



Mereka seterusnya berbuka puasa serta menerima sumbangan duit raya daripada penyumbang utama, Madani & Co serta beberapa penyumbang individu.