Terkini | New

SISI RELIGI MADAM & IMAGI MENERUSI ‘DENGAN SEMPURNA’

SISI RELIGI MADAM & IMAGI MENERUSI ‘DENGAN SEMPURNA’
Gabungan Mantap Dua Band Rock Rocketfuel Entertainment Dalam Sebuah Single Rock Berkonsep Ketuhanan Sempena Ramadan.


Bersempena bulan Ramadan yang mulia, label hiburan terkenal tanah air, Rocketfuel Entertainment, buat julung-julung kalinya mempersembahkan gabungan istimewa dua band rock terkemukanya, MADAM dan IMAGI dalam sebuah single berkonsepkan religi berjudul ‘Dengan Sempurna’ hasil ciptaan komposer Amy Bong dan Haneef Al-Ansari.

“Baru sebulan single Nona dan Merasuk dilancarkan, MADAM dan IMAGI hadir pula dengan single terbaharu bagi meraikan bulan puasa. Jika pada tahun lepas, MADAM pernah muncul dengan single berjudul ‘Kekasihku’, tahun ini kami menggabungkan dua band rock sekaligus,” kata Putera, selaku vokalis MADAM.


Idea disebalik kolaborasi mantap ini terhasil melalui idea bernas pihak pengurusan Rocketfuel sendiri yang mahukan kelainan berbanding lagu-lagu berkonsep ketuhanan yang sedia ada, selain menyambut bulan Ramadan pada tahun ini. 

Menurut Haziq, vokalis IMAGI: “Kami ingin mencuba sesuatu yang baharu di mana dua kumpulan rock bergabung dalam sebuah single rock ala religi yang belum pernah dibuat lagi. Selain itu, kami semua dapat bereksperimentasi dalam muzik dan bertukar-tukar pendapat.


Dengan Sempurna bukanlah sebuah lagu Raya yang disangkakan, tetapi lebih berkonsepkan ketuhanan atau religi dengan membawa mesej keinsafan seorang hamba yang mengharapkan keampunan dari Tuhannya.

“Lagu ini tidak semestinya didengar ketika bulan Ramadan saja, dan boleh didengar pada bila-bila masa. Kami cuma mengambil keberkatan untuk melancarkannya pada bulan yang penuh rahmat ini.

“Dalam hidup, kita harus sedar siapa diri kita yang sebenarnya dan betapa kerdilnya diri ini berbanding kuasa Yang Maha Esa, oleh itu perbanyakkanlah ibadah dan sentiasa muhasabah diri. Lagu ini juga merupakan dakwah kecil dari kami semua," jelas Azuan, pemain bass MADAM.

Lagu Dengan Sempurna masih mengekalkan konsep pop rock yang menjadi identiti kedua-dua band ini, walaupun bersifat religi namun lebih toned-down dari karya-karya mereka sebelumnya supaya lebih ‘mesra’ untuk didengari pelbagai lapisan usia, dan yang paling penting adalah mesej ingin disampaikan melalui penulisan lirik yang penuh keinsafan.

“Kami mengambil masa lebih kurang seminggu untuk merakamkan masterpiece ini di Alibaba Record & Production, maklumlah ramai pemuzik yang terlibat, namun kami seronok melakukannya kerana banyak idea yang dikongsi bersama selain memupuk rasa ‘ukhwah’ atau kebersamaan sesama kami,” kongsi Fitri atau Bab, vokalis dan gitaris IMAGI.


Menurut Encik Erick Yew, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment, “Sebagaimana lazimnya pada setiap tahun, Rocketfuel akan menampilkan pelbagai variasi konsep lagu bersempena bulan puasa. Pada kali ini kami menampilkan MADAM dan IMAGI menerusi kolaborasi unik yang jarang dilakukan mana-mana label di Malaysia.Semoga pendengar terhibur dalam beringat melalui single Dengan Sempurna dan selamat berpuasa buat semua umat Islam di seluruh negara.


Ramadan dan Aidilfitri kali ini pasti berlainan buat semua kerana fasa pandemik COVID-19 yang telah beralih memasuki ke fasa endemik tanpa sebarang sekatan merentasi daerah dan negeri yang lain, ujar Herman, pemain dram MADAM, “Dua tahun telah berlalu dengan perasaan yang amat suram, dan pada tahun ini In Shaa Allah akan menjadi lebih meriah kerana kita telah memasuki era endemik, walaubagaimanapun kesihatan dan SOP harus diberi keutamaan.

“Kami semua berharap agar single Dengan Sempurna ini dapat memberi manfaat kepada semua pendengar dan lebih melonjakkan lagi nama MADAM dan IMAGI, teruskan menyokong dan memberi semangat kepada kami untuk terus menghasilkan karya-karya yang lebih baik.


Lagu ‘Dengan Sempurna’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.