ERNIE ZAKRI NYANYIKAN SEMULA ‘HAL HEBAT’ BERSAMA GOVINDA

Julai 23, 2022



ERNIE ZAKRI NYANYIKAN SEMULA ‘HAL HEBAT’ BERSAMA GOVINDA
Paduan Mantap Dua Benua Malaysia-Indonesia Temukan Penyanyi Wanita Popular Tanah Air Dengan Band Spektakuler Dari Seberang


KUALA LUMPUR, 22 Julai 2022 – Muzik adalah bahasa universal yang sering menyatukan kebanyakan manusia walau di mana berada, dan pertembungan muzik di antara dua benua, Malaysia dan Indonesia telah terjalin secara harmonis sekian lamanya. Terbaharu, penyanyi-penggubah lagu wanita bersuara emas dari Malaysia, Ernie Zakri, dengan band ‘spektakuler’ dari Indonesia, Govinda, dipertemukan dalam sebuah single berjudul ‘Hal Hebat’.


Sebagaimana yang diketahui, Hal Hebat adalah single paling hit pernah dinyanyikan oleh Govinda dengan jumlah tonton menghampiri 20 juta sejak pelancarannya kira-kira 2 tahun lalu. Alhamdulillah, saya telah pun selesai merakamkan semula lagu Hal Hebat bersama-sama kumpulan Govinda dari Indonesia di Jakarta tempoh hari lalu. Ini adalah sebuah kolaborasi istimewa di antara Malaysia dan Indonesia yang jarang-jarang berlaku.

“Idea disebalik ‘pertemuan’ ini datangnya dari pihak Rocketfuel Entertainment dan juga MyMusic Records Indonesia yang mahukan kerjasama muzikal di antara dua benua terjalin,” jelas Ernie.

Walaupun sedang sibuk membesarkan puteri sulungnya bersama suami, penyanyi terkenal, Syamel, Ernie berkata, “Khawla hampir memasuki usia 5 bulan, Syamel dan saya seronok melihat keletah puteri kami kini yang sudah mula berkomuikasi, dan momen-momen tersebut membuatkan kami tersenyum. Jiwa muzik itu memang sebati dalam diri saya, ketika mengandung, dalam tempoh berpantang dan kini membesarkan anak, saya akan tetap menghasilkan muzik dan terus berkarya.

Single Hal Hebat ciptaan Ade Govinda yang dihasilkan sekitar awal tahun 2020 telah mendapat sambutan luar biasa di negara asalnya, Indonesia, sehingga menjadi tular di Malaysia.

Encik Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment berkata, “Di Indonesia, lagu ini menjadi kegemaran penduduk di sana sehingga hari ini. Manakala di Malaysia pula, lagu ini turut mendapat tempat di hati penggemar muzk.

“Setelah itu, saya mendapat idea untuk menghubungi pihak MyMusic Indonesia dan meminta pendapat mereka, dan setelah berbincang, kami rasakan lagu ini adalah yang terbaik untuk dinyanyikan semula secara duet oleh kedua-dua buah negara.

Lagu pop dalam nuansa balada ini menceritakan tentang mensyukuri perkara hebat dalam hidup kita dalam perhubungan yang tidak akan terganti sehingga akhir usia.

Menurut Ernie, “Proses rakaman lagu ini mengambil masa selama sehari kerana mengejar jadual kerja yang agak padat. Komposisi dan susunan muziknya turut diberi nafas baharu oleh penciptanya sendiri iaitu Ade sesuai dengan konsep duet yang kami tampilkan, namun masih mengekalkan feel yang sama kerana melodi terdahulu sudah cukup sempurna.

“Selain itu, proses penggambaran video muziknya (MV) turut diadakan di sana dalam waktu yang singkat. Walaupun agak lelah berkejar-kejar ke sana dan ke sini, semuanya sangat berbaloi. Ketika ditanya bagaimana rasanya bekerja dengan tenaga muzik dari seberang, Ernie menjawab, “Saya belum pernah berkolaborasi dengan mana-mana band sebelum ini tetapi mereka sangat mesra walaupun baharu pertama kali bersua dan chemistry di antara kami terus terjalin memudahkan proses rakaman.


“Govinda adalah sebuah kumpulan muzik yang berpengaruh dengan pengalaman lebih 10 tahun lamanya dalam bidang muzik. Mereka sangat terkenal dan sudah menempa nama di Indonesia.

“Saya rasakan peluang sebegini tidak seharusnya dipersia kerana bukan mudah untuk band besar seperti mereka mahu berduet dengan artis dari Malaysia seperti saya, tambahan pula menyanyikan semula lagu hit mereka.


Encik Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment juga menyatakan bahawa, “Ini adalah usaha Rocketfuel dalam percubaanya menembusi pasaran Indonesia sebagaimana yang telah diwar-warkan ketika malam ulang tahun Rocketfuel yang ke-5.

“Semoga usaha ini menjadi batu loncatan buat Ernie untuk melebarkan sayapnya ke arena muzik Indonesia.

Perjalanan seni Ernie tidak kurang lamanya dan berusia lebih dari sedekad, kini, berbekalkan azam dan usaha yang jitu, anak Malaysia kelahiran Kuala Lumpur ini bakal membanggakan negara yang dicintainya dengan memasuki pasaran Indonesia.

“Saya tidak mahu berada pada satu takuk sahaja, saya juga mahu cuba melebarkan sayap ke negara luar. Namun semua ini tidak akan menjadi tanpa usaha yang berterusan serta doa-doa anda semua, jadi teruskanlah mendoakan perjalan seni saya agar saya dapat membina nama yang dapat membanggakan kita semua.

“Semoga Hal Hebat nyanyian kumpulan Govinda dan saya dapat diterima baik bukan sahaja di Malaysia bahkan di Indonesia juga, dan teruskanlah menyokong kerjaya saya sampai bila-bila,” akhiri Ernie.


Lagu ‘Hal Hebat’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

You Might Also Like

0 comments