Terkini | New

Rakaman semula “Buat Insan Tersayang” popularkan Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa

Menjadi trend industri muzik tempatan ketika ini apabila lagu malar segar era 90-an dirakam semula dengan susunan muzik baharu dan dinyanyikan oleh penyanyi baharu. Ternyata rakaman semula lagu-lagu lama mendapat sambutan hebat pendengar kini dan menjadi siulan golongan generasi baharu seperti lagu “Mahligaimu Dari Airmataku”, “Mengintai Dari Tirai Kamar”, “Tragedi Cinta”,”Resah Kerinduan” dan “Dalam Diam Aku Mencintaimu”.



Terbaharu, syarikat rakaman Nova Music tidak ketinggalan untuk merakam semula lagu yang pernah popular suatu ketika dahulu iaitu lagu “Buat Insan Tersayang” yang dinyanyikan sebelum ini oleh Ashira dan Eddie Hamid. Lagu ciptaan Eddie Hamid yang dikeluarkan pada tahun 2000 itu dirakam semula oleh penyanyi muda, Ahmad Syafiq dan pendatang baharu, Wawa Shazwa.

Ahmad Syafiq, 22, juga naib juara program ‘Lagu Cinta Kita’ musim kedua berkata, dia pada awalnya terkejut apabila mendapat tawaran untuk merakamkan semula lagu “Buat Insan Tersayang” itu. Apatah lagi menurut Syafiq, dia tidak biasa mendengar lagu itu walaupun mengetahui sejarah lagu terbabit yang pernah mencipta fenomena satu ketika dahulu.

“Saya pada mulanya rasa terkejut dan takut sebab genre lagu ini berbeza sangat dengan lagu-lagu yang saya rakam sebelum ini. Lagu ini macam ada lenggok dangdut sikit. Tapi lagu ini sebenarnya balada dan sedih. Melalui versi terbaru ini, kami beri nafas baharu dengan susunan yang lagi rancak tapi ia masih lagu sedih. “Dalam masa sama, saya berasa beruntung dipilih oleh abang Eddie Hamid sebab lagu ini dulu dikeluarkan pada tahun 2000, tahun kelahiran saya sendiri.

“Sejujurnya, dari kecil saya jarang sangat dengar lagu ini walaupun saya tahu kewujudannya. Saya tak pernah ambil tahu lagu ini sebab lagu ini meletup sewaktu saya kecil lagi dan tahun itu saya baru lahir. Jadi apabila diberi tugas dan peluang untuk menyanyikan semula lagu ini, saya rasa teruja. Lagu ini pula kena dengan saya yang berjiwa jiwang,” katanya.

Mengenai trend merakamkan semula lagu lama, Syafiq tidak menolak ia sesuatu yang berleluasa sekarang dan secara tak langsung mampu menonjolkan lagi namanya di persada muzik tanar air. “Lagu lama dijadikan single baru sekarang ini memang sangat ‘trending’. Ia menjadi seakan satu 'ombak' dalam industri seni nyanyian ini. Boleh dikatakan ramai artis baharu macam Fieya Julia, Luqman Faiz, Amsyar Leee, Afieq Shazwan dan Tajul sudah buat. Tidak dinafikan, nama mereka semakin popular setelah menyanyikan semula lagu lama berkenaan.




“Bagi rakaman semula lagu Buat Insan Tersayang ini saya anggap kalau ada rezeki adalah, kalau tak ada, tak adalah. Cuma lagu ini dia agak ringan sikit dan 'feel' tak berat macam dulu. Muzik video pula bertemakan ala filem Bollywood,” katanya. Berkongsi mengenai gandingannya dengan Wawa Shazwa, Syafiq mengakui timbul sedikit kesukaran pada awalnya kerana perbezaan vokal antara mereka.

“Saya dapat bergandingan dengan seorang penyanyi baharu yang juga artis baharu Nova Music iaitu Wawa Shazwa daripada kumpulan Darul Aman Buskers. Dia pernah tular di YouTube jadi rasa terkejut dan takut sebenarnya kali pertama digandingkan dengan dia. Apa-apa pun, saya telah buat yang terbaik untuk sampaikan lagu ini bersamanya.

“Cuma, pada mulanya kami menghadapi sedikit kesukaran untuk menyanyikan lagu ini bersama sebenarnya. Sebab ada perbezaan antara vokal saya dengan Wawa. Vokal Wawa bila makin tinggi makin halus suaranya dan saya jenis vokal yang lebih lantang. Jadi nak menyeimbangkan vokal kami ambil masa juga.

“Wawa pandai menggunakan kelebihan yang ada pada suaranya. Dia ada keunikan suara, kalau nyanyi lagu yang ada lenggok-lenggok sebegini, memang 'makanan' Wawa sebenarnya. Saya pula kena haluskan sedikit suara supaya tak menjadi macam bapak dengan anak menyanyi. Dari situ, baru nampak macam pasangan kekasih yang menyanyi. Sukar jugalah untuk sesi rakaman lagu ini,” katanya.



Sementara itu, Wawa, 22, atau nama sebenarnya Nor Shazwa Atiqah Shamshul meluahkan rasa bertuah apabila dipilih menyanyikan lagu “Buat Insan Tersayang” yang pernah dipopularkan oleh Ashira dan Eddie Hamid. “Perasaan saya apabila dapat lagu lama yang dikeluarkan pada tahun 2000 iaitu tahun kelahiran saya dan dipilih untuk menyanyikan lagu ini sudah tentu berasa bertuah. Ia disebabkan generasi sekarang dan saya sendiri pun tak pernah tahu lagu lama macam itu.

“Saya rasa bangga sebab dipilih untuk menyanyikan dan menaikkan semula lagu zaman dulu. Tapi sejujurnya saya tak biasa dengar lagu ini sebab lagu yang lama-lama memang jarang saya dengar. Jadi apabila dapat nyanyi semula lagu ini barulah saya tahu mengenai lagu ini. Rupanya lagu ini seronok, kata-kata dan liriknya sangat menarik,” katanya.



Menjadi pengalaman pertamanya merakamkan lagu di studio, Wawa berharap kemunculannya bersama Syafiq menerusi lagu “Buat Insan Tersayang” itu dapat diterima baik. “Walaupun ini sekadar lagu rakaman semula, tapi ia memberikan pengalaman baharu buat saya. Ia sangat berharga dan memberikan banyak ilmu baharu dalam diri. Ternyata ia bukan semudah disangka. Banyak lagi yang perlu saya pelajari jika mahu terus mengorak langkah dalam bidang seni ini.

“Terima kasih kepada Nova Music kerana memilih saya untuk menggalas tanggungjawab ini. Terima kasih juga kepada Abang Eddie Hamid kerana membantu sepanjang proses rakaman. Saya berharap lagu ini dapat diterima baik seperti mana ia pernah popular suatu ketika dahulu. Paling penting, saya dan Syafiq sudah memberikan yang terbaik dalam lagu ini dengan cara nyanyian kami tersendiri,” katanya.


Video muzik rasmi lagu “Buat Insan Tersayang” yang dirakam di Desaru, Johor Bahru baru dimuatnaik ke saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada 5hb. Ogos ’22 yang lalu dan kini boleh ditonton di diatas ini!