Teater Muzikal Dol Said Pahlawan Naning Menghidupkan Sejarah, Maruah Dan Perjuangan Di Panggung Seri JKKN Melaka
Teater Muzikal Dol Said Pahlawan Naning Menghidupkan Sejarah, Maruah Dan Perjuangan Di Panggung Seri JKKN Melaka
Naskhah karya Raja Azrey satukan sejarah, muzik, lakonan dan visual untuk membawa kisah perjuangan Dol Said ke pentas Oktober 2026 ini.

Kisah perjuangan Dol Said dan masyarakat Naning bakal dihidupkan kembali melalui sebuah pementasan yang menggabungkan sejarah, drama, muzik, nyanyian, koreografi dan visual pentas menerusi Teater Muzikal "Dol Said: Pahlawan Naning". Pementasan ini akan berlangsung pada 9 dan 10 Oktober 2026, jam 8.30 malam di Panggung Seri JKKN Melaka.

Naskhah ini merupakan karya yang ditulis, diterbitkan dan diarahkan oleh Raja Azrey bin Raja Kamaruzzaman, menerusi Pondok Karya Kreatif Venture.
Dol Said Pahlawan Naning bukan sekadar usaha menceritakan kembali satu peristiwa sejarah, sebaliknya merupakan sebuah usaha untuk menghidupkan jiwa, emosi dan konflik manusia yang berada di sebalik sejarah perjuangan Naning.

"Saya tidak mahu Dol Said hanya dilihat sebagai satu nama dalam buku sejarah. Saya mahu penonton mengenali manusia di sebalik nama itu perjuangannya, maruahnya, tanggungjawabnya terhadap masyarakat serta harga yang perlu dibayar apabila seseorang memilih untuk mempertahankan tanah dan amanahnya." kata Raja Azrey .

Sejarah Diterjemahkan Melalui Bahasa Muzikal
Keistimewaan naskhah ini terletak pada pendekatan yang menggabungkan penceritaan sejarah dengan bahasa teater muzikal. Lagu, muzik, dialog, lakonan, koreografi dan visual tidak digunakan sebagai elemen sampingan semata-mata, tetapi menjadi sebahagian daripada perjalanan cerita.
Melalui pendekatan tersebut, penonton dibawa menyelusuri dunia Naning daripada kehidupan masyarakat dan kepimpinan tempatan sehinggalah kepada tekanan kuasa British serta konflik yang membawa kepada perjuangan Dol Said. Naskhah ini turut mengetengahkan persoalan mengenai maruah, amanah, kesetiaan, persaudaraan, pengorbanan dan keberanian mempertahankan tanah.


"Muzikal memberi ruang kepada kita untuk bercerita dengan cara yang lebih emosional. Ada perkara yang boleh disampaikan melalui dialog, tetapi ada emosi yang lebih kuat apabila ia diterjemahkan melalui lagu, muzik dan pergerakan. Cabaran menghasilkan karya sejarah adalah untuk mencari keseimbangan antara latar sejarah dengan keperluan dramatik sebuah naskhah pentas. Sejarah menjadi asas, manakala teater memberikan ruang untuk penonton menyelami watak dan emosi yang berada di sebalik peristiwa tersebut," Ujar Raja Azrey lagi.

NASIR BILAL KHAN KEMBALI KE PENTAS
Antara daya tarikan utama pementasan ini ialah kemunculan Nasir Bilal Khan sebagai Dol Said Tua. Selepas sekian lama tidak terlibat dalam pementasan teater, kepulangan Nasir Bilal Khan ke pentas menerusi naskhah ini menjadi satu detik yang cukup bermakna buat produksi.
Beliau akan bergandingan dengan pereka terkenal A. Aris Kadir sebagai Dol Said Muda, selain barisan pelakon seperti Ani Maiyuni, Lando Zawawi, Man Raja Lawak, Wan Raja, Riez Radzi, Ucop Zaidey, Hairie Mohamad, Hery Sejagat dan Najip Rahim.
Bagi Raja Azrey, kekuatan pementasan ini bukan bergantung kepada seorang pelakon sahaja, tetapi kepada gabungan pengalaman, tenaga dan karakter setiap pelakon dalam menghidupkan keseluruhan naskhah. Segala Gerak tari dalam teater muzikal ini di arahkan oleh pereka tari Aznizar Abd Ghani.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
"Saya sangat menghargai kesediaan Nasir Bilal Khan untuk kembali ke pentas. Beliau membawa pengalaman dan jiwa seorang pelakon yang sangat besar. Apabila digabungkan dengan pelakon-pelakon lain, saya percaya setiap watak akan memberikan warna tersendiri kepada perjalanan cerita ini."
PENGHARGAAN KEPADA RAKAN DAN PIHAK YANG MENYOKONG PRODUKSI
Dalam kesempatan ini, pihak produksi Pondok Karya Kreatif Venture ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, kerjasama dan ruang kepada produksi Dol Said: Pahlawan Naning untuk direalisasikan.
Penghargaan khusus ditujukan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atas sokongan menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang membantu menjayakan pelaksanaan produksi ini.


Sedikit persembahan perkenalan bagi memperkenalkan para pelakon bersama media sebelum pementasan bakal berlansung.
GSSK merupakan inisiatif MOTAC bagi menyokong pemerkasaan, pemuliharaan dan pembangunan sektor kebudayaan negara melalui pelaksanaan program dan aktiviti seni, budaya dan warisan.
"Kami amat menghargai sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan. Sokongan sebegini amat bermakna kepada penggiat seni kerana ia memberikan ruang kepada karya-karya berteraskan sejarah, seni dan budaya untuk terus dihasilkan dan dipersembahkan kepada masyarakat."
Penghargaan turut ditujukan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka selaku rakan strategik yang memberikan sokongan dan kerjasama dalam merealisasikan pementasan ini, termasuk penggunaan Panggung Seri JKKN Melaka sebagai lokasi persembahan. Begitu juga Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP). Pihak produksi turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia Tourism Centre (MATIC) yang menyediakan ruang latihan kepada produksi sepanjang tempoh persediaan dan latihan.



"Produksi seperti ini tidak mungkin dapat digerakkan seorang diri. Ia memerlukan gabungan tenaga, ruang, kepakaran, sokongan dan kepercayaan daripada banyak pihak. MOTAC melalui GSSK, JKKN Melaka sebagai rakan strategik, MATIC masing-masing memainkan peranan yang sangat bermakna dalam perjalanan produksi ini. Kami melihat gabungan dan kerjasama ini sebagai satu contoh bagaimana penggiat seni, agensi kerajaan, badan seni serta institusi berkaitan dapat bergerak bersama untuk mengangkat karya seni dan sejarah tempatan."
DOL SAID: PAHLAWAN NANING SEBUAH KARYA UNTUK GENERASI
Melalui pementasan ini, produksi berharap kisah Dol Said dan Naning dapat diperkenalkan kepada penonton daripada pelbagai generasi dalam bentuk persembahan yang lebih dekat, hidup dan mudah dirasai.
Naskhah ini bukan sekadar membawa penonton melihat peperangan dan konflik, tetapi turut mengajak mereka melihat nilai manusia di sebalik sejarah tentang bagaimana seseorang pemimpin berdepan dengan tekanan, bagaimana masyarakat mempertahankan tanah mereka dan bagaimana keputusan yang dibuat oleh seseorang boleh meninggalkan kesan kepada generasi selepasnya.
"Harapan saya mudah. Selepas menonton teater ini, penonton bukan sahaja mengingati nama Dol Said, tetapi mereka pulang dengan rasa ingin tahu untuk mengenali sejarah Naning dengan lebih mendalam." Tambah beliau lagi.
.jpg)
Orang ramai boleh membeli tiket dengan mengimbas QR kod yang tertera di atas. Jom kita bersama-sama memeriahkan Teater Muzikal Dol Said Pahlawan Naning kali ini. Pementasan akan berlangsung pada 9 dan 10 Oktober 2026, jam 8.30 malam di Panggung Seri JKKN Melaka.