Terkini | New

Qwork - Platform Komuniti Gig Inklusif yang Mendemokrasikan Peluang Pekerjaan Secara Lestari

Qwork - Platform Komuniti Gig Inklusif yang Mendemokrasikan Peluang Pekerjaan Secara Lestari

Qwork menawarkan cara bagi pekerja gig untuk meningkatkan pendapatan menerusi peningkatan kemahiran - sedang bersedia untuk pusingan Pendanaan Siri A di samping mengembangkan lagi operasi di Asia Tenggara.


Qwork, sebuah platform tempatan yang menawarkan solusi moden kepada majikan untuk mencari pekerja fleksi atau pekerja gig - mengumumkan pelaburan daripada Artem Ventures. Pelaburan tersebut akan membolehkan syarikat itu mengembangkan penawarannya kepada lebih banyak industri yang ingin mengoptimumkan tenaga kerja menerusi penggunaan pekerja gig yang berkemahiran. Artem Ventures (Artem) merupakan sebuah syarikat pengurusan dana modal urus niaga (VCMC) yang ketika ini menguruskan dana sulung RM45 juta di Malaysia yang dilabur ke dalam syarikat teknologi kewangan (fintech) dan teknologi insurans (insurtech) peringkat awal.

Diasaskan pada 2017, Qwork merupakan sebuah platform gig inklusif yang menawarkan pekerja gig manfaat serta faedah sosial yang sama seperti pekerja sepenuh masa. Platform tersebut memadankan kemahiran dengan keperluan tenaga kerja dinamik bagi pelbagai industri berbeza.

Qwork membolehkan pekerja fleksi atau pekerja gig untuk meningkatkan pendapatan menerusi program-program peningkatan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan syarikat dari pelbagai industri.


Dr Mimi Aminah

Sepanjang tempoh 6 tahun yang lalu, Qwork telah berjaya mengendali lebih 100,000 pekerja gig untuk pelbagai syarikat di Asia Tenggara. Antara syarikat-syarikat yang giat melanggan pekerja gig dari Qwork termasuk Zalora, Busybees Asia, Dynapack Asia, J&T Express, dan Jakel. Qwork juga telah membayar upah melebihi AS$3 juta (>RM10 juta) kepada pekerja gig dan memberikan penjimatan kos operasi sehingga 60% kepada syarikat-syarikat ini.

Pada tahun 2023 sahaja, Qwork telah menghubungkan lebih daripada 15,000 pekerja gig dengan syarikat-syarikat di seluruh rantau ini yang telah mencatatkan hampir 2 juta jam bekerja (man-hours). Qwork juga telah meluangkan lebih daripada 280,000 jam bekerja untuk aktiviti peningkatan kemahiran pekerja gignya.


“Pengalaman saya dalam bidang pengeluaran memberikan gambaran tentang betapa payahnya untuk mengupah pekerja fleksi yang berkemahiran bagi sesuatu projek.

Situasi sama turut dihadapi oleh syarikat-syarikat dalam pelbagai industri, di mana setiap projek memerlukan pekerja yang mempunyai gabungan pengalaman dan kemahiran tertentu. Namun, tidak semua orang mempunyai masa serta sumber untuk mencari dan mengupah bakat yang diperlukan. Inilah isu yang saya dan kakak saya, Dr. Mimi Aminah, harap dapat ditangani dengan Qwork. Kami mahu merapatkan jurang antara individu berbakat dan bakal majikan di samping memastikan pekerja gig dibayar dengan sewajarnya dan pelanggan kami dapat menjimatkan kos pengambilan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Qwork, Muna Munirah.

Pada tahun-tahun yang akan datang, Qwork berharap untuk mengembangkan lagi perkhidmatannya ke negara-negara kuasa ekonomi di Asia Tenggara, serta bekerjasama dengan rakan strategik di Thailand, Vietnam, dan Filipina bagi memenuhi keperluan tenaga kerja PKS dan syarikat permulaan dalam pasaran masing-masing. Dengan sokongan dana yang dikumpulkan daripada Artem Ventures, Qwork berharap untuk memulakan operasinya di Vietnam, dan juga Thailand, pada tahun hadapan dan menggandakan bilangan penyertaan pekerja gig serta jumlah jam latihan peningkatan kemahiran menjelang suku ke-4 2024. Qwork turut berharap untuk meluaskan lagi jangkauannya dalam pasaran yang sedia ada di Malaysia, Indonesia, dan Singapura - melangkaui kawasan bandar, bagi memberi manfaat kepada pemilik perniagaan yang juga berada di kawasan luar bandar. Ini akan dapat meningkatkan ekonomi tempatan dan kehidupan masyarakat di seluruh negara itu.

“Kami yakin bahawa masa depan pekerjaan bergantung kepada infrastruktur ekonomi gig. Qwork telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain ekosistem yang penting dalam membantu perusahaan menerima pakai pekerja gig dan memastikan mereka mendapat manfaat yang sama seperti pekerja sepenuh masa - termasuk menerima faedah insurans, bantuan kewangan, perkhidmatan dan banyak lagi. Matlamat pendanaan kami sejajar dengan usaha untuk mendorong keterangkuman dan pembangunan sosial,” kata Prinsipal Artem Ventures, Tunku Omar Asraf.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Qwork, sila layari laman sesawang syarikat itu di (www.qwork.my), Facebook, Instagram, atau LinkedIn.