Terkini | New

Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru,
 Kampung Bharu, Kuala Lumpur Kini Berada Pada Fasa Penting Cabutan Undi Unit Ganti.

Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru,
 Kampung Bharu, Kuala Lumpur Kini Berada Pada Fasa Penting Cabutan Undi Unit Ganti.


KL City Gateway Sdn Bhd telah melaksanakan Majlis Cabutan Undi Unit Ganti bagi Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu, Kuala Lumpur dengan lancar, teratur dan penuh ketelusan, selaras dengan perjanjian serta tatacara yang telah dipersetujui oleh semua pihak berkaitan.



Majlis ini merupakan satu lagi fasa penting dalam pelaksanaan projek pembangunan semula tersebut, yang menjadi kesinambungan kepada Majlis Pecah Tanah pada 31 Oktober 2025, yang telah disempurnakan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.




Pihak pemaju menegaskan bahawa proses penentuan unit ganti telah dilaksanakan secara telus, adil, berintegriti dan berpandukan sepenuhnya kepada Perjanjian Usahasama antara pemaju dan pemilik hartanah. Perjanjian tersebut merupakan dokumen asas yang mengikat semua pihak dalam pelaksanaan projek ini, termasuk mekanisme penentuan unit ganti bagi pemilik-pemilik yang terlibat.



Sehubungan itu, keputusan cabutan undi unit ganti yang telah dilaksanakan adalah muktamad, selaras dengan mekanisme yang telah dipersetujui bersama di bawah Perjanjian Usahasama tersebut.




Majlis turut mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memastikan proses pembangunan semula ini dilaksanakan secara teratur, berstruktur dan mematuhi prinsip tadbir urus yang telah ditetapkan.

Menurut Puan Sanita, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, " Majlis pada hari ini merupakan satu lagi perkembangan penting dalam merealisasikan Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru. Pelaksanaan Majlis Cabutan Undi Unit Ganti ini membuktikan komitmen semua pihak dalam memastikan setiap proses dilaksanakan secara teratur, telus dan adil, selaras dengan perjanjian yang telah dimeterai. Ia merupakan satu lagi langkah penting yang membuktikan bahawa Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru terus bergerak ke hadapan. Ia mencerminkan kemajuan yang nyata hasil kerjasama dan komitmen semua pihak dalam merealisasikan pembangunan semula yang telah lama dinantikan oleh para pemilik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KL City Gateway Sdn Bhd, Encik Abdul Hadi bin Ahmad, berkata "proses penentuan unit ganti tersebut telah dilaksanakan secara telus, berdisiplin dan mengikut perjanjian yang telah dipersetujui oleh semua pihak. Proses penentuan unit ini telah dilaksanakan secara telus, berdisiplin dan mengikut perjanjian yang telah dipersetujui oleh semua pihak. Keputusan cabutan undi ini adalah muktamad dan dilaksanakan berdasarkan mekanisme yang telah ditetapkan dalam Perjanjian Usahasama,” katanya.




Beliau turut memaklumkan bahawa selepas proses cabutan undi ini, semua pemilik yang terlibat akan melalui proses penyempurnaan dokumen berkaitan unit ganti masing-masing. Dokumen tersebut akan menjadi rujukan rasmi sehingga unit-unit ganti berkenaan disiapkan kelak.



KL City Gateway Sdn Bhd turut berterima kasih kepada wakil Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu, Peguam Persatuan, Peguam Pemaju dan juga wakil dari Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru yang hadir sebagai PEMERHATI bagi memastikan proses Cabutan Undi Unit Rumah Ganti berjalan dengan telus dan lancar.