Terkini | New

Showcase Amal Artis Legenda 4.0 Kumpulkan Artis Lagenda Bersatu Beramal.

Showcase Amal Artis Legenda 4.0 Kumpulkan Artis Lagenda Bersatu Beramal.


“BUKAN MUDAH”, akhirnya Showcase Amal Artis Legenda 4.0 dapat dilaksanakan dengan sempurna, biarpun pada awalnya hampir membatalkan niat penganjuran berikutan sukar mendapat sokongan tajaan daripada pelbagai pihak serta semangat yang pudar.





Penganjur showcase, Nizam Laksamana Production yang diterajui oleh penyanyi Nizam Laksamana melahirkan rasa gembira dan syukur kerana niat murninya dipermudahkan Allah SWT dengan tema #darikawanuntukkawan.




Selain itu penganjurannya kali ini dengan Persatuan Cancer Survivors Malaysia memberikan satu momen paling bermakna kerana hasrat untuk membantu dan menyokong penggiat seni, pengamal media serta bekas pesakit kanser menjadi kenyataan.


Menurut Nizam, biarpun nilai sumbangan yang disalurkan tidaklah besar untuk dibanggakan tetapi pengorbanan dan sumbangan barisan artis yang menjayakan persembahan pada malam tersebut cukup menyentuh hati. Ini kerana ada sebahagian artis tidak mengambil bayaran atau sebahagian bayaran disumbangkan semula untuk menjayakan showcase yang sudah masuk ke edisi terakhir itu.



Antara penerima sumbangan adalah adalah pelakon Isma Alif, Jalil Hamid, penyanyi Dwan OLAN, Nik Putra, Ezam EYE, Malek Zabarjad, Ali XPDC, Yazid Sejati bekas wartawan Rosli Manah, Huzz, Nas Ahmad dan rakan industri Johan Aziz dan Ridzuan Abdul Rahman. Paparan video sumbangan di awal acara mencetus sebak dikalangan penonton kerana wajah-wajah mereka cukup sinonim menghibur dan memeriahkan industri hiburan tabahair sebelum ini.



Antara penerima sumbangan adalah adalah pelakon Isma Alif, Jalil Hamid, penyanyi Dwan OLAN, Nik Putra, Ezam EYE, Malek Zabarjad, Ali XPDC, Yazid Sejati bekas wartawan Rosli Manah, Huzz, Nas Ahmad dan rakan industri Johan Aziz dan Ridzuan Abdul Rahman. Paparan video sumbangan di awal acara mencetus sebak dikalangan penonton kerana wajah-wajah mereka cukup sinonim menghibur dan memeriahkan industri hiburan tabahair sebelum ini.



Showcase Amal Artis Lagenda juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000.00 kepada pihak Cancer Survivor Malaysia serta RM1,000 kepada pesakit kanser otak (medulloblastoma) iaitu adik Nur Umairah binti Abdul Rahman yang berumur 10 tahun. Tidak ketinggalan juga sumbangan sebanyak RM1,000 daripada pihak persatuan KARYAWAN kepada Cancer Survivor Malaysia, disampaikan melalui presidennya Datuk Freddie Fernandez.



Untuk Showcase Amal Artis Legenda 4.0 yang berlangsung di Grand Barakah Hotel, Ampang Selangor pada 1hb Jun 2024, Nizam menghiburkan para tetamu bersama dengan rakan-rakan artis lain seperti Tam Spider, Ameng Spring, Mawi, Dwen, Ady WOW, Wann, Acong Sweetchild, Zarul Umbrella, Shafie RIO dan Zamani SLAM.

Acara tersebut dimulakan pada pukul 8 malam dan tetamu dihiburkan dengan barisan lagu hit dan malar segar artis terlibat. Dewan turut bergema dengan nyanyian bersama 700 orang tetamu bagi setiap lagu yang disampaikan.





Kata Nizam, asalnya hanya 50 meja disediakan tapi apabila sambutan menggalakkan, pihak Grand Barakah Hotel menaja 20 buah meja, di mana setiap meja akan dipenuhi oleh 10 orang penonton.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang adalah alhamdulillah kerana penganjuran showcase 4.0 tetap mendapat sambutan hangat seperti mana penganjuran showcase 1.0,2.0 dan 3.0. Ada peminat dari Singapura dan Brunei yang turut untuk memberi sokongan kepada projek ini.




“Showcase ini bukan semata-mata hiburan saja, sebaliknya adalah tempat perjumpaan antara peminat dengan penyanyi kegemaran mereka. Selepas acara selesai, peminat berpeluang untuk beramah mesra dengan artis yang terlibat. Paling penting penganjuran ini adalah untuk menyantuni pesakit dan bekas pesakit kanser,” katanya.

“Kalau ikutkan, ada penyanyi yang nak nyanyi lebih daripada dua lagu kerana mereka suka dengan konsep persembahan amal ini. Tetapi jika permintaan tersebut dipenuhi maka durasi showcase ini akan berakhir lewat malam. Namun begitu, saya hanya benarkan seorang saja penyanyi menyanyi lebih daripada dua lagu.




“Walaupun kita buat secara minus one tapi kita ada LED, dan siaran lirik untuk memudahkan penonton menyanyi bersama. Perkhidmatan LED dan penataan bunyi serta cahaya adalah tajaan AJ Event. Kiranya malam ini adalah malam karaoke untuk mereka yang datang,” katanya yang turut mendapat kerjasama baik daripada rakan-rakan artis.

Satu segmen persembahan yang meruntun hati adalah apabila Nizam menyanyikan lagu secara medley daripada lagu hit penyanyi almarhum Gimie Screen, Tia Jinbara dan Ibnor Riza. Mereka adalah barisan artis yang pernah terlibat siri persembahan showcase amal sebelum ini dan mempunyai nilai sentimental serta sumbangan tersendiri. Kepulangan mereka ke negeri abadi akibat diuji dengan penyakit kronik dan kanser memberi impak bahawa anak seni perlu dihargai.

“Sokongan pihak media yang sentiasa menyiarkan cerita membina dan positif tentang showcase ini betul-betul buat saya terharu. Laporan dan cerita yang disiarkan sangat menggerakkan jualan meja walaupun ianya hanya showcase amal. Pihak Suria FM juga sebagai rakan media memberikan sumbangan slot temubual kepada artis-artis yang terlibat dan hebahan meluas. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian.




“Harap showcase ini akan buka mata pada rakan-rakan dan penganjur lain yang mampu buat dan membantu. Jika ada anak seni muda yang lebih berkemampuan dapat meneruskan usaha murni bagi membantu rakan-rakan artis senior itu adalah lebih baik. Tiada yang lama maka tiada yang baru. Roda kehidupan itu ironinya berputar. Kejayaan diukur dengan mengingati bukan memerhati,” katanya terus terang.

Dalam kegembiraan menganjurkan siri showcase ini, Nizam memberitau bahawa showcase 4.0 adalah yang terakhir akan dianjurkan. Tidak akan ada siri yang ke 5.0 atau seterusnya.