Terkini | New

Memperkukuh Pencegahan dan Pengesanan Awal Diabetes di Malaysia

Memperkukuh Pencegahan dan Pengesanan Awal Diabetes di Malaysia

Oleh Shreehas Tambe, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Biocon

Mengubah trajektori beban diabetes yang semakin meningkat di Malaysia mungkin merupakan salah satu peluang kesihatan awam yang paling penting bagi negara ini pada masa kini.

​Kemajuan dalam rawatan telah memperluaskan pilihan yang tersedia untuk rakyat Malaysia yang hidup dengan diabetes. Namun, barisan hadapan seterusnya mesti melangkaui pengurusan penyakit kepada usaha mencegah atau melambatkan permulaannya, mengenal pasti risiko dengan lebih awal dan membolehkan orang ramai mengambil tindakan sebelum komplikasi bermula.

​Kepentingannya amat jelas. Diabetes semakin meningkat di seluruh rantau ini, dan Malaysia sedang menghadapi cabaran bukan sahaja daripada beban penyakit yang semakin bertambah, malah daripada sebilangan besar individu yang mungkin menghidap diabetes tanpa menyedarinya.

​Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) menganggarkan bahawa sekitar 107 juta orang dewasa di Asia Tenggara hidup dengan diabetes pada tahun 2024, dan angka ini diunjurkan mencecah hampir 185 juta menjelang tahun 2050. Malaysia mencerminkan cabaran yang lebih luas ini. Hampir satu daripada setiap lima orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS). Apa yang lebih membimbangkan ialah jurang kesedaran dalam kalangan dewasa muda: lebih 80% rakyat Malaysia berumur 18 hingga 29 tahun yang menghidap diabetes atau hipertensi dilaporkan tidak menyedari keadaan kesihatan mereka, dengan anggaran seramai 192,000 orang dewasa muda dalam kumpulan umur ini terjejas akibat diabetes.

​Ini menjadikan pencegahan dan pengesanan awal lebih daripada sekadar keutamaan penjagaan kesihatan. Ia adalah satu peluang untuk campur tangan lebih awal dalam perkembangan penyakit dan, secara progresif, mengubah trajektorinya.

​Justeru, persoalannya bukan sekadar bagaimana kita merawat diabetes dengan lebih baik. Ia adalah mengenai cara kita mewujudkan persekitaran yang mana lebih ramai orang memahami risiko mereka, mendapatkan saringan yang sewajarnya, serta mempunyai pengetahuan dan sokongan untuk mengambil tindakan lebih awal.

​Pengesanan Awal Boleh Mengubah Hasil Kesihatan

​Diabetes sering berkembang secara senyap. Seseorang boleh hidup dengan tahap glukosa darah yang tinggi tanpa mengenali tanda-tanda amaran, manakala risiko komplikasi yang menjejaskan jantung, buah pinggang, mata dan saraf meningkat dari semasa ke semasa.

​Inilah sebabnya mengapa saringan dan pengesanan awal adalah penting.

​Apabila orang ramai memahami faktor risiko mereka dan menjalani saringan kesihatan yang sewajarnya, mereka berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengambil tindakan melalui perubahan gaya hidup, pemantauan yang lebih kerap, atau intervensi perubatan jika diperlukan. Diagnosis yang lebih awal tidak boleh menghilangkan cabaran diabetes, tetapi ia boleh mewujudkan peluang untuk hasil kesihatan jangka panjang yang lebih baik.

​Apabila populasi semakin berumur dan gaya hidup berubah, membina budaya pencegahan akan menjadi semakin penting. Sistem penjagaan kesihatan perlu menganggap kesedaran dan pengesanan awal sebagai bahagian penting dalam penjagaan diabetes.

​Kadangkala langkah pertama adalah satu langkah yang mudah: perbualan dengan doktor amalan umum (GP), memahami sejarah keluarga seseorang, atau menjalani penilaian kesihatan rutin yang bersesuaian. Secara individu, tindakan ini mungkin kelihatan kecil. Pada peringkat populasi, ia boleh membantu mewujudkan peralihan yang bermakna daripada rawatan reaktif kepada pengurusan kesihatan proaktif.

​Kolaborasi Adalah Kritikal

​Tiada pihak berkepentingan tunggal yang mampu menangani cabaran sebesar ini secara bersendirian.

​Kerajaan menetapkan keutamaan kesihatan awam dan membolehkan program saringan dilaksanakan. Profesional penjagaan kesihatan menyediakan penjagaan barisan hadapan dan pendidikan pesakit. Institusi akademik menjana bukti dan melahirkan pemimpin penjagaan kesihatan masa depan. Pertubuhan pesakit and kumpulan komuniti membantu menjadikan maklumat kesihatan relevan dan mudah diakses.

​Industri juga mempunyai peranan yang melangkaui usaha membangunkan dan membekalkan ubat-ubatan.

​Pengalaman Biocon di Malaysia telah mengukuhkan kepentingan pendekatan yang lebih luas ini. Sejak memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2016, Biocon telah mewujudkan kehadirannya dalam landskap penjagaan diabetes Malaysia. Melalui operasi insulin kami dan perkongsian awam-swasta dengan kerajaan Malaysia, Biocon telah membekalkan lebih 120 juta katrij insulin, menyokong rawatan untuk lebih 450,000 pesakit.

​Namun, menangani beban diabetes yang semakin meningkat memerlukan usaha yang melangkaui rawatan semata-mata. Ia juga memerlukan kesedaran risiko yang lebih tinggi, literasi kesihatan yang lebih kukuh dan pengesanan yang lebih awal, supaya orang ramai mempunyai peluang untuk mengambil tindakan sebelum penyakit itu menjadi lebih teruk atau komplikasi bermula.

​Pemikiran inilah yang telah membentuk penglibatan kami di Malaysia. Selain peranan kami dalam menyediakan insulin, kami berusaha untuk menyumbang kepada ekosistem diabetes yang lebih luas dengan menyokong usaha yang membawa kesedaran, pendidikan dan saringan lebih dekat kepada komuniti. Bekerjasama dengan profesional penjagaan kesihatan, pembuat dasar, pertubuhan pesakit, institusi akademik dan kumpulan komuniti telah membantu memperluaskan usaha ini ke pelbagai lapisan masyarakat, termasuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan sekata.

​Membina Keupayaan untuk Masa Depan

​Memandangkan cabaran penjagaan kesihatan menjadi semakin kompleks, asas bakat yang kukuh merentas penjagaan klinikal, kejururawatan, farmasi, penyelidikan dan kesihatan awam, di samping kemahiran yang relevan dengan sektor bioteknologi, adalah penting untuk menyokong ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia.

​Kolaborasi yang lebih erat antara institusi akademik, institusi penjagaan kesihatan, kerajaan dan industri boleh membantu merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan aplikasi dunia sebenar.

​Inilah pemikiran di disebalik inisiatif seperti Siri Bioperaseutikal MyMahir BioTechies, di mana Biocon Academy mengambil bahagian sebagai rakan kongsi pengetahuan dan para peserta menerima latihan berasaskan sains yang dilengkapi dengan pendedahan industri di Biocon.

​Pulangan daripada melabur dalam bakat mungkin tidak selalu dapat dilihat serta-merta. Tetapi membina pengetahuan saintifik, keupayaan praktikal dan kesediaan industri mewujudkan asas untuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih berdaya tahan dan asas inovasi yang lebih kukuh dari semasa ke semasa.

​Pencegahan Adalah Tanggungjawab Bersama

​Beban diabetes Malaysia yang semakin meningkat merupakan satu cabaran yang ketara. Ia juga merupakan peluang untuk memikirkan semula di mana dan bagaimana kita melakukan intervensi.

​Rawatan akan terus kekal penting bagi jutaan orang yang hidup dengan diabetes. Pada masa yang sama, kesedaran yang lebih tinggi, literasi kesihatan yang lebih kukuh, saringan yang sewajarnya dan intervensi yang lebih awal boleh membantu lebih ramai orang mengenali risiko sebelum penyakit itu berkembang.

​Tiada satu pun daripada ini boleh dicapai oleh satu institusi atau satu sektor yang bertindak secara bersendirian. Ia memerlukan kolaborasi yang berterusan merentas kerajaan, penjagaan kesihatan, akademia, industri dan komuniti.

​Menangani diabetes memerlukan tumpuan yang berterusan bukan sahaja kepada rawatan yang berkesan, tetapi juga kepada pencegahan dan langkah-langkah yang boleh membantu mengurangkan atau melambatkan risiko menghidap penyakit tersebut.

​Itulah aspirasi yang amat wajar diusahakan bersama, demi Malaysia yang lebih sihat dan berdaya tahan.

​Rujukan

  1. ​Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023

  1. ​Persekutuan Diabetes Antarabangsa (International Diabetes Federation)
  2. ​Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey)
  3. ​Siaran Akhbar: Biocon Perkukuh Komitmen terhadap Penjagaan Diabetes di Malaysia apabila Rakan Kongsi Duopharma Biotech Memastikan Tender Insulin