Terkini | New

Majlis Penghargaan Bersempena Ulang Tahun Ke-100 Tun Dr. Mahathir & Ke-99 Tun Dr. Siti Hasmah Dan Terima Kasih Penderma: "Sumbangan Anda, Harapan Buat Pesakit Ijn"

Majlis Penghargaan Bersempena Ulang Tahun Ke-100 Tun Dr. Mahathir & Ke-99 Tun Dr. Siti Hasmah Dan Terima Kasih Penderma: "Sumbangan Anda, Harapan Buat Pesakit Ijn"


Institut Jantung Negara (IJN) hari ini telah mengadakan majlis penghargaan bagi mengiktiraf sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat dalam menaja rawatan pesakit jantung yang kurang berkemampuan. Majlis ini turut diadakan bersempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-100 tokoh perintis penubuhan IJN, Tun Dr. Mahathir Mohamad, serta ulang tahun kelahiran ke-99 Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.


Majlis Hi-Tea Penghargaan NGO yang berlangsung di Sofitel Kuala Lumpur ini menghimpunkan 21 pertubuhan bukan kerajaan dan rakan korporat utama yang telah menyalurkan sokongan bagi membolehkan ratusan pesakit mendapatkan rawatan jantung tepat pada masanya di IJN.



Sepanjang tahun 2024 sahaja, lebih RM49.9 juta telah berjaya dikumpulkan menerusi usaha kolektif Kerajaan Malaysia (melalui Unit Taksiran Khas Kementerian Kesihatan Malaysia - UTK-KKM), Yayasan IJN, dan 17 NGO, yang telah memberi manfaat secara langsung kepada 2,517 pesakit. Sehingga kini, bagi tahun 2025, sebanyak RM20,702,470 lagi telah disalurkan bagi menyokong lebih ramai pesakit yang memerlukan.



Majlis ini turut memberikan penghargaan khas kepada Kementerian Kesihatan Malaysia atas kerjasama berterusan melalui UTK-KKM yang telah memainkan peranan penting dalam membiayai rawatan pesakit kurang berkemampuan di IJN. Usaha ini merupakan pemangkin utama dalam memastikan akses kepada rawatan jantung yang saksama tanpa mengira latar belakang kewangan pesakit.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof. Dato' Sri Dr. Mohamed Ezani Md Taib, dalam ucapannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kongsi: "Di sebalik setiap ringgit yang didermakan, wujudnya satu degupan jantung yang masih terus hidup, menyayangi dan menyumbang kepada masyarakat. Kami berbangga bekerjasama dengan rakan-rakan yang memungkinkan penyembuhan, bukan sekadar menerusi kepakaran perubatan, tetapi melalui keikhlasan dan kepedulian."

Antara wakil yang turut hadir ialah:
*UNIT TAKSIRAN KHAS, KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
* YAYASAN IJN
* LEMBAGA ZAKAT SELANGOR
* ONE HOPE CHARITY & WELFARE
*MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN
* SOCIETY FOR THE SABAH HEART FUND
* YAYASAN MAYBANK
* YAYASAN TENAGA NASIONAL BERHAD
* KITAFUND
* STAR FOUNDATION
* CCEP FOUNDATION
* YAYASAN JANTUNG KONGENITAL MALAYSIA
* YAYASAN CHOW KIT
* SINAR HARIAN
* NEW STRAITS TIMES PRESS
* MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR
* MAJLIS UGAMA ISLAM & ADAT RESAM MELAYU PAHANG

Majlis turut diserikan dengan sesi perkongsian khas oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menceritakan visi dan cabaran dalam penubuhan IJN pada awal 1990-an. IJN telah diasaskan di bawah kepimpinan beliau dengan misi menyediakan rawatan jantung bertaraf dunia kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira status mahupun tahap pendapatan. 



Dalam ucapannya, Prof. Dato Sri Dr. Mohamed Ezani turut menyatakan: "Visi Tun telah melahirkan sebuah institusi yang menyelamatkan nyawa tanpa diskriminasi. Dan dedikasi seumur hidup Tun Hasmah terhadap bidang perubatan dan kesihatan keluarga kekal menjadi inspirasi. Kami berbesar hati menjaga mereka berdua, sebagaimana mereka telah menjaga negara ini."



IJN terus menyeru lebih banyak organisasi dan individu untuk tampil bekerjasama menerusi sumbangan kepada Yayasan IJN atau melalui kolaborasi terus dengan NGO, khususnya bagi kumpulan berkeperluan tinggi seperti kanak-kanak, pesara, dan golongan terpinggir.

Mengenai Institut Jantung Negara (IJN)

Institut Jantung Negara (IJN) merupakan satu-satunya pusat khusus pakar jantung di Malaysia dan antara institusi perubatan terbesar di negara ini. Ditubuhkan pada tahun 1992, IJN berdedikasi dalam pengurusan dan rawatan penyakit jantung dengan menyediakan perkhidmatan kardiologi, kardiologi pediatrik dan pembedahan kardiotorasik bagi dewasa dan kanak-kanak. Sehingga kini, IJN telah merawat lebih 5 juta pesakit jantung.

Selepas lebih tiga dekad penubuhannya, IJN kini diiktiraf sebagai salah satu pusat perubatan terbaik untuk penjagaan kardiovaskular dan torasik di Malaysia dan rantau ini. IJN sentiasa mengikuti perkembangan teknologi perubatan terkini daripada prosedur menutup lubang di jantung hinggalah ke pemindahan jantung dan paru-paru. Sebagai Pusat Jantung utama Malaysia dan terbesar di Asia Tenggara, IJN kini giat memperluas kehadirannya di peringkat tempatan dan serantau dengan jenama yang diyakini dan sinonim dengan penjagaan kesihatan jantung yang berkualiti tinggi.